Tatkala pengkhianat kehilangan cermin - Utusan Malaysia

Tatkala pengkhianat kehilangan cermin

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau dan ahli Parlimen yang memihak kepadanya akan menolak Belanjawan 2021, pengkritik dan mereka yang skeptikal dengannya menganggap ia hanya sekadar lakonan.

Mereka ini kebanyakannya masih berpaut kepada teori bahawa ‘Langkah Sheraton’ pada Februari lalu yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan merupakan gerakan oleh Dr. Mahathir bagi mengelak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan perdana menteri (PM).

Para pengkritik ini yang sebahagian besarnya daripada PKR dan segelintir lagi DAP beranggapan Dr. Mahathir akan membuat pusingan U apabila tiba masa untuk mengundi belanjawan di Parlimen.

Sekiranya belanjawan ditolak, maka ia akan diterima sebagai undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang boleh membawa kepada kemungkinan pembentukan sebuah kerajaan baharu. Malah, membuka laluan bagi Anwar menjadi PM yang kesembilan.

Pada Khamis lalu, semasa belanjawan dikemukakan untuk undian serta selepas seorang ahli Parlimen pembangkang meminta pengundian dibuat secara belah bahagi dan bukannya hanya berdasarkan jumlah suara, hanya 13 ahli Parlimen bangun berdiri berbanding 15 yang diperlukan untuk membolehkan undi belah bahagi dilakukan.

Dr. Mahathir dan tiga ahli Parlimen daripada Parti Pejuang Tanah Air bangun berdiri bersama-sama sembilan ahli Parlimen termasuk enam lain yang dikatakan daripada Parti Amanah Negara, seorang PKR, seorang DAP (Sarawak) dan seorang daripada Parti Sarawak Bersatu. Manakala ahli Parlimen pembangkang lain yang tertekan dengan kenyataan ahli Parlimen kerajaan bahawa mereka yang menentang belanjawan adalah pengkhianat rakyat, hanya mampu berdiam diri.

MENJERUT

Adalah sukar untuk menjelaskan mengapa ahli Parlimen pembangkang yang lain memilih untuk tidak turut berdiri. Media sosial riuh apabila kelihatan gelagat beberapa ahli Parlimen pembangkang yang mahu berdiri tetapi ‘ditarik kembali’ ke tempat duduk masing-masing oleh rakan mereka sendiri, dengan sebab musababnya hanya diketahui oleh mereka.

Ahli Parlimen kerajaan, yang berusaha untuk menjerut ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong atau tidak menolak belanjawan itu, dilihat berteriak supaya mengambil gambar ‘pengkhianat’ sekiranya ada yang berani bangun berdiri untuk menolaknya.

Dr. Mahathir bangun berdiri dan menarik pelitup muka yang dipakainya, dan kemudian ketika ditanya mengapa beliau berbuat demikian, jawapannya: “Saya mahu memastikan mereka melihat wajah saya.”

Anwar, yang memilih untuk tidak berdiri, kemudian dikecam netizen yang mengejeknya berhubung dakwaannya mempunyai angka ‘besar, cukup dan meyakinkan’ untuk membolehkannya menjadi PM, namun pada kali ini tidak cukup berani untuk berdiri dan menyatakan pendiriannya.

Kekecewaan warga media sosial sememangnya difahami kerana harapan mereka menggunung agar kerajaan dapat ditumbangkan bermula dengan penolakan rang undang-undang belanjawan itu.

Terdapat usaha dalam kalangan pembangkang memberi alasan mengapa belanjawan itu tidak dapat ditolak secara total, susulan kesediaan kerajaan membenarkan pengeluaran caruman daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menangguhkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank.

TERUK

Namun, perkara sedemikian sudah pun dijawab sebelum ini bahawa ia tidak perlu dibawa bagi mendapat kelulusan belanjawan memandangkan isu moratorium telah pun dipersetujui seawal Mac lalu manakala isu pengeluaran caruman KWSP boleh diselesaikan menerusi keputusan eksekutif.

Dalam erti kata lain, apa yang dilakukan kerajaan supaya ahli Parlimen menyokong belanjawan itu adalah dengan mengaitkannya dengan isu-isu berkaitan rakyat, seperti jika belanjawan itu tidak diluluskan maka penjawat awam tidak akan menerima gaji, pencen dan elaun mereka.

Bagi ‘memeterai perjanjian’ itu, para pemimpin kerajaan dan penyokong mereka mula mempromosikan idea bahawa mana-mana ahli Parlimen yang menolak rang undang-undang belanjawan tersebut adalah pengkhianat rakyat.

Mereka terus menerus berbuat demikian memandangkan belanjawan ‘teruk’ ini adalah belanjawan memenuhi kehendak politik mereka sendiri yang tidak mungkin dapat melepasi ujian tadbir urus yang baik.

Dan sudah semestinya, bagi mewajarkan perbuatan itu, mereka yang merupakan pengkhianat sebenar kerana menjadi kleptokrat dan penyokong kleptokrat, perlu mengetepikan para pengkritik menerusi cara pelabelan yang sama dengan harapan label yang dipalitkan kepada mereka, akhirnya tergugur.

Apa yang mengejutkan adalah apabila ahli Parlimen pembangkang tidak berdiri untuk menolak belanjawan itu sedangkan mereka sendiri tahu bahawa ia adalah belanjawan yang ‘teruk’, dan mereka adalah benteng terakhir di antara rakyat dan kumpulan yang mereka labelkan sebagai pengkhianat sebelum ini.

GENTAR

Mereka ini sebenarnya memang takut dilabelkan sebagai pengkhianat untuk memastikan kesinambungan politik mereka, melepaskan diri daripada perbuatan curang tersebut.

Ironinya cukup jelas. Dr. Mahathir yang berusia 95 tahun, yang sering dituduh sebagai pengkhianat yang menggerakkan pengkhianatan amanah rakyat menerusi ‘Langkah Sheraton’ adalah insan yang tanpa sebarang rasa gentar bangun berdiri untuk menentang mereka yang membentuk kerajaan sekarang.

Dan mereka pula, yang sering dilihat dan diangkat mempunyai nilai moral yang lebih tinggi, sebaliknya tanpa segan silu tidak berbuat apa-apa. Kini, mereka pula berusaha mewajarkan pembentangan belanjawan yang disediakan oleh kumpulan yang mereka sendiri tuduh sebagai pengkhianat mandat rakyat.

Sering tampil sebagai kononnya pejuang rakyat, mereka ini sebenarnya jauh berbeza daripada kenyataan yang diperjuangkan Zapata – “Saya lebih rela mati berdiri daripada hidup melutut.”

Walaupun para penyokong menghamburkan rasa meluat dengan gelagat mereka, namun kekecewaan sebegitu mungkin tidak berpanjangan.
Ini kerana sesuatu yang buruk jika dikaburi dengan benda berharga, pasti tidak dapat dilihat sesiapa pun.

PENULIS ialah Editor The Malaysian Reserve dan komentar asal di atas ditulis dalam bahasa Inggeris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN