VIRUS Covid-19 dipercayai berasal dari hidupan liar seperti kelawar yang dijual di pasar di Hubei, Wuhan, China. Walaupun kerajaan China melarang keras perdagangan tempatan haiwan liar, wartawan BBC di Beijing, Rupert Wingfield-Hayes melaporkan pada 29 Jun 2002 lagi bahawa margasatwa eksotik merupakan makanan biasa golongan berada dalam sejarah China.
Di bandar raya Shanghai, 1,000 tan ular dimakan setiap tahun. Bandar Nanning yang terletak jauh di barat daya bersempadan Vietnam bangga dengan santapan menyelerakannya daripada kura-kura, beludak dan burung hantu hinggalah kepada burung helang, monyet, beruang, musang jebat dan tenggiling.
Amerika Syarikat pula merupakan pengimport terbesar hasil produk haiwan liar China yang digunakan dalam resepi perubatan seperti musang dan memerang.
Bayangkan, disebabkan manusia ingin memakan daging eksotik, Covid-19 meragut lebih 1.5 juta nyawa dan tular menjangkiti 60 juta pesakit di serata negara.
Tamadun Islam berjasa besar mengurangi dan mencegah punca wabak zoonotik hidupan liar sepanjang 1,400 tahun lalu melalui disiplin pemakanan, kebersihan dan kesihatan.
Al-Quran menyatakan: “Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira.” (3:37) Bagaimanapun, rezeki itu terbahagi kepada dua. Pertama, apa yang Allah tegah yang diistilahkan haram. Kedua, bahagian bakinya yang halal.
Firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah antara rezeki yang baik-baik (min tayyibāt) yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (2:172)]Berdasarkan ayat ini, walaupun rezeki itu terdiri daripada yang halal dan haram, Allah memerintahkan kita supaya memakan bahagian rezeki yang halal dan menyihatkan sahaja.
Oleh kerana kita dilarang memakan yang haram, sebahagian ilmuwan Islam enggan mengistilahkan makanan haram sebagai rezeki daripada Allah. Untuk menjaga adab, memadailah kita memanggil makanan yang haram sebagai rezeki tanpa menisbahkannya kepada Allah.
Sebaliknya, rezeki daripada Allah itu definisinya segala yang halal lagi menyihatkan: “Makanlah dari rezeki yang telah dikurniakan Allah kepadamu, yang halal lagi menyihatkan (tayyib) dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.” (5:91)
MUKALLAF
Rezeki halal merupakan bahagian yang ditinggalkan oleh Allah buat mereka yang beriman: “Bahagian yang ditinggalkan (atau disisakan) oleh Allah (baqiyyatullah) untukmu adalah lebih baik bagimu daripada bahagian rezeki yang haram, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (11:86)
Sesuatu yang haram untuk dimamah oleh seseorang mukallaf mengandaikan keadaan normal. Sebaliknya, jika kelangsungan hidup terpaksa bergantung kepada memakan yang ditegah, maka dihalalkan menyuapinya sekadar hajat pada waktu kejadian dan diangkatkan hukum tegahan daripadanya. (2:173, 6:145, 16:115, 6:119)
Wahyu terakhir al-Quran mengenai kesempurnaan Islam (5:3) didahului dengan penjelasan tentang pemakanan halal. Justeru, Profesor Dr. Hamidullah menyimpulkan, sesungguhnya makanan halal dan sihat ialah asas peradaban yang menghembus kesegaran kepada hati. Sementara makanan yang haram dan bahaya meracuni kekuatan rohaniah, agama dan tamadun.
MUDARAT
Rasulullah SAW menegaskan, mencari yang halal itu merupakan fardu ke atas setiap orang Muslim. Kerana itu, al-Imam al-Ghazali mengkhususkan satu bab Kitab Halal dan Haram dalam karya agungnya Ihya’ ‘Ulum al-Din. Beliau menghuraikan makan-minum yang haram mencakupi pendapatan hasil penyelewengan kuasa dan pecah amanah. Karya tersebut diterjemahkan oleh sarjana kewangan Islam di Amerika Syarikat, Yusuf Talal DeLorenzo, Islam mengharamkan sebarang makanan yang mendatangkan mudarat terhadap kehidupan, kesihatan dan akal seperti ganja, khamar serta segala yang memabukkan dan racun termasuklah makanan basi penyebab keracunan, kaca, debu, pemakanan ubat bukan pada waktu atau sukatan dos yang memudaratkan dan penyalahgunaan opioid.
Al-Quran seterusnya mengharamkan makan bangkai, darah, daging babi, binatang yang disembelih tidak kerana Allah dan haiwan jenis halal tetapi mati bukan dengan jalan sembelihan yang cukup syaratnya sebaliknya mati tercekik, mati dipukul, mati jatuh dari tempat yang tinggi, mati ditanduk atau mati dikerkah binatang buas. (5:4, 2:173, 6:145, 16:115)
ZOOLOGIS
Ada pula jenis haiwan yang haram berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW seperti baghal, keldai peliharaan, binatang ganas pemangsa, dan burung buas penyambar mangsa.
Syariah melarang memakan hidupan dua alam (amfibia) seperti katak, reptilia dan buaya. Turut diharamkan serangga jijik seperti lalat, semut, lipas dan kala.
Menurut Murtada al-Zabidi (M. 1791), tradisi kesarjanaan Islam tentang pemakanan bercirikan kesepaduan antara ilmu syariah dengan sains zoologi seperti karya Ibn al-‘Imad al-Aqfahsi bertajuk Kitab fi ma yahillu min al-Hayawanat wa ma la yahillu.
Malah wujud karangan lebih besar oleh pakar zoologis merangkap faqih bernama al-Mudiri, iaitu Kitab al-Hayawan yang sarat dengan hukum-hakam pemakanan haiwan eksotik yang aneh dan jarang dikenali. Karya ini diringkaskan oleh Jalaluddin al-Suyuti (M. 1505) dengan judul baharu Diwan al-Hayawan.
Syariah Islam turut memerintahkan kaedah higenik digunapakai sewaktu penyembelihan haiwan seperti pisau yang tajam tanpa karat, penyembelih yang mahir, cermat dan tepat. Pengharaman darah mensyaratkan supaya darah dikering dan dihilangkan terlebih dahulu daripada haiwan sembelihan sebelum boleh dimakan.
Islam yang terbit di Semenanjung Arab menghalalkan sebahagian daripada makanan lazim Arab semenjak zaman sebelum kelahiran Rasulullah SAW. Antara santapan bangsa penggembala di dusun, padang pasir dan taburan oasis termasuklah unta, banteng, kuda belang, dabb (spesies Uromastix spinipes), arnab, puyuh, landak susu (Erinaceinae), marmut, kijang (Gazella), kuda dan burung unta.
Turut dihalalkan ialah segala jenis ikan, haiwan laut, hidupan air dan serangga dengan mengambil kias halalnya belalang sebagai haiwan yang tidak mempunyai darah yang mengalir. Syaratnya hidupan air serta insecta tersebut tidak jijik dan tidak memudaratkan kesihatan badan dan fikiran.
DR. Mohd. Sani Badron ialah Felow Utama dan Pengarah, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










