Tak salah berjiwa besar - Utusan Malaysia

Tak salah berjiwa besar

SIKAP Hasni Mohammad menolak ke tepi perbezaan politik dalam merangka Belanjawan Johor 2021 mendapat pujian banyak pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELANCARAN dan ketertiban perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bermula sejak 26 November dan berakhir 6 Disember lalu secara langsung mendapat pujian pelbagai pihak, khususnya ketika negara berdepan ketidaktentuan politik semasa.

Dimulakan dengan pembentangan Belanjawan Johor 2021 dan diakhiri sesi pengundian usul tersebut serta lulus sebulat suara, sekali gus menepis pelbagai andaian membabitkan kedudukan kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN).

Namun, ramai tidak mengetahui di sebalik perjalanan DUN yang lancar merupakan hasil jiwa besar dan usaha dimainkan Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad untuk memastikan sistem demokrasi terus kukuh di samping semua wakil rakyat dapat memainkan peranan bersama-sama dalam membangunkan negeri.

Ia boleh diukur dengan langkah berani Hasni sebelum, semasa dan selepas pembentangan belanjawan apabila dilihat meletakkan ke tepi perbezaan politik dan mengambil kira input untuk merangka belanjawan dari pelbagai pihak termasuklah rakyat bawahan malah wakil rakyat pembangkang.

Bermula dengan membuka laluan pintu pertemuan bersama wakil rakyat pembangkang diketuai Aminolhuda Hassan, langkah Hasni untuk mendapatkan pandangan mereka dalam membantu negeri yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Untuk makluman, ekonomi negeri pada 2020 diunjurkan menyusut sebanyak tiga hingga lima peratus dan ia adalah lebih teruk daripada penyusutan nasional. Sementara itu, dianggarkan lima hingga 10 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa ditutup akibat gangguan aliran tunai.

PKP

Semuanya terkesan akibat pandemik Covid-19 malah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta sempadan negara yang masih belum dibuka sepenuhnya juga menjadi punca keadaan tersebut.

Oleh itu, langkah berani Hasni bukan sekadar omongan kosong, namun berjaya diterjemahkan melalui pembentangan Belanjawan Johor 2021 yang menggariskan 12 agenda utama, iaitu Johor Tani, Johor Digital, Johor Niaga, Prasarana Johor, Governans Johor, Majestic Johor, Masyarakat Desa Johor, Orang Muda Johor, Johor Madani, Johor Prihatin dan Johor Berkebajikan.

Bermula daripada petani, peniaga, belia, pelajar, golongan rentan, semuanya mendapat manfaat demi memastikan rakyat di bawah dapat dibantu malah ingin membantu ekonomi negeri tumbuh dengan jangkaan 6.6 sehingga 7.6 peratus pada 2021.

Di samping itu, langkah berani Hasni boleh dilihat apabila mengadakan taklimat dengan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk wakil pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang belum lagi dilakukan oleh mana-mana menteri besar terdahulu demi memastikan kerjasama mereka dapat digembleng bersama untuk memulihkan kembali ekonomi negeri.

Pengumuman jumlah peruntukan wakil rakyat pembangkang dinaikkan tiga kali ganda daripada RM50,000 kepada RM150,000 berkuat kuasa tahun depan menjadi bukti sifat tanggungjawab kerajaan negeri membantu mereka menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing. Hasni juga mengumumkan peruntukkan tambahan sebanyak RM50,000 diberi secara one-off kepada semua ADUN Johor.

ORANG ASING

Dalam ucapan penggulungan, Hasni menganggap PH bukan orang asing dalam kerajaan negeri sebaliknya rakan strategik dalam memajukan dan memakmurkan negeri sekali gus mendapat maklum balas positif pelbagai pihak termasuk pembangkang. Misalnya, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong memujinya kerana pemimpin itu menunjukkan tauladan dalam mentadbir secara dwi-partisan.

Malah Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyifatkan Hasni bertindak secara profesional sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri tanpa mengira latar parti politik dan memahami peranan pembangkang yang memainkan soal semak dan imbang. Ia dilihat satu permulaan demokrasi subur di Johor.

Dalam pada itu, setiap ayat Hasni sama ada dalam ucapan pembentangan dan penggulungan juga memperlihatkan style kerjanya yang mahu memfokuskan soal pemulihan ekonomi negeri di atas tagline Muafakat itu Berkat. Antara menarik perhatian apabila menyentuh keunikan Johor yang pertama kali dalam sejarah, DUN mempunyai Speaker dan Timbalan Speaker yang berlainan politik.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat daripada Parti Amanah Negara (Amanah) manakala timbalannya, Gan Peck Cheng merupakan ADUN Penggaram daripada DAP masing-masing merupakan lantikan kerajaan terdahulu, PH.

Kesimpulannya, kebijaksanaan dan ketenangan Hasni membuahkan hasil apabila sidang DUN berakhir dengan tenang seperti tidak berlaku di Perak yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tersingkir sebagai Menteri Besar apabila gagal memperoleh sokongan dalam usul tidak percaya dikemukakan terhadapnya.

Sebagai rekod, DUN Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan UMNO dan DAP masing-masing 14, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 12, MIC (2), Pas (1), Amanah (9) dan PKR (4).
Ini menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.

GOYAH

Meskipun terdapat desas-desus kepimpinan Hasni goyah susulan situasi di Perak apatah lagi kedudukan PN yang tipis, namun politik cara Johor menjamin kestabilan pentadbiran negeri termasuk peranan dilakukannya sendiri.

Sementara itu, Hasni mengumumkan penghantaran bakul makanan kepada rakyat Malaysia di Singapura atas rasa simpati dan penuh kesedaran bagi meringankan beban ditanggung mereka untuk meneruskan pekerjaan demi mencari pendapatan.

Berbekalkan semangat keprihatinan, Hasni dilihat mahu membantu mereka sebagai tanda kerajaan negeri ingin bersama-sama rakyat yang menghadapi kesulitan ketika ini.

Akibat penutupan sempadan Malaysia-Singapura, mereka sebelum ini berulang-alik setiap hari dari Johor Bahru merentasi Tambak Johor atau Laluan Kedua, kini tinggal sementara di republik itu untuk meneruskan pekerjaan.

Usaha dirintis Hasni dan kerajaan negeri itu dilihat mahu menunjukkan tanda kebersamaan berhubung situasi dialami rakyat Malaysia di sana.

Bakul makanan itu mengandungi menu mudah sedia seperti nasi goreng kampung, nasi goreng daging, nasi goreng ayam, biskut, selain selimut dan set produk kebersihan diri.

Kerajaan negeri merancang mengagihkan sebanyak 1,000 bakul makanan secara berperingkat ke Singapura bagi meringankan bebanan ditanggung pekerja Malaysia
di republik berkenaan.

Misi penyerahan dan pengagihan fasa pertama 300 bakul makanan yang melibatkan kos RM30,000 akan dilaksanakan secara berperingkat.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN