Raja ibarat payung untuk rakyat menumpang teduh.
Begitulah keprihatinan Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap rakyat khususnya di Selangor yang ditimpa kesusahan.
Sultan Sharafuddin sentiasa peka dalam perkembangan semasa. Tatkala rakyat terus menerus dihimpit gangguan bekalan air, baginda amat dukacita apabila masalah bekalan air bersih berulang.
Susulan masalah itu, baginda mengutuskan surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, menzahirkan kekhuatiran masalah air berterusan akan menyebabkan rakyat jelata memberontak seterusnya boleh mengakibatkan ketegangan hingga menjejaskan keharmonian sosial.
Dalam perutusan surat itu, baginda mahu tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil bagi memastikan rumah dan kilang terutama premis haram berhampiran tebing sungai dirobohkan kerana berpotensi mencemarkan anak sungai serta sungai di Selangor.
Kepekaan Sultan Selangor berkaitan isu semasa juga jelas apabila baginda menzahirkan rasa bimbang melihat gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan segelintir pegawai dan kakitangan penguatkuasaan di negeri itu meningkat.
Dalam titahnya, baginda menyeru dan menasihatkan pegawai dan kakitangan penguat kuasa di semua majlis kerajaan tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan jabatan-jabatan kerajaan lain yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak melibatkan atau mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah.
Sultan Sharafuddin merupakan raja yang meminati bidang seni dan mengumpul banyak lukisan tempatan dan telah dilantik sebagai Pengerusi Galeri Shah Alam pada 1991.
Baginda juga gemar setiap apa yang berlaku sama ada peristiwa bersejarah mahupun pengalaman baginda sendiri diabadikan dalam bentuk lukisan. Malah, sekiranya terdapat lukisan baharu, Sultan Sharafuddin akan menempatkannya di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz untuk tatapan rakyat.
Sultan Selangor juga menggemari sesuatu lukisan yang indah dan cantik dan akan gemar mengabadikan sesuatu dalam bentuk lukisan kerana di sebaliknya mempunyai cerita tersendiri.
Oleh sebab itu, baginda murka dan sangat dukacita dengan kejadian vandalisme pada mural pemimpin-pemimpin negara termasuk lukisan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam pada Julai lalu.
MURAL
Baginda juga kesal dan kecewa kerana kejadian vandalisme berhubung hasil karya seni itu berlaku di negerinya dan menyifatkan perbuatan contengan kata-kata kesat ke atas mural itu sebagai perbuatan yang sangat biadab selain bermotifkan politik kebencian.
Bukan itu sahaja, sebagai ketua pemerintah negeri, baginda sangat berjiwa rakyat dan menitikberatkan kemajuan rakyatnya dalam semua bidang termasuklah ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Sebagai contoh berkaitan Laluan Rel Pantai Timur ( ECRL), baginda pernah bertitah supaya projek itu tidak memberi masalah kepada rakyat.
Titahnya, pelaksanaan projek tersebut perlu mengambil kira impak sosial terhadap kawasan penempatan kampung tradisi dan Orang Asli, alam sekitar seperti hutan simpan, kawasan tadahan.
Malah, baginda juga mahu setiap projek pembangunan di Selangor sentiasa mengambil kira masalah-masalah yang disebutkan demi memastikan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
BERSEJARAH
Dalam pada itu, Sultan Selangor selaku ketua agama juga menitahkan supaya umat Islam terus bersatu padu agar menjadi insan yang lebih baik dari segenap aspek.
Titahnya, umat Islam khususnya orang Melayu perlu berazam untuk memajukan diri demi mengukuhkan perpaduan ummah dan keharmonian negara serta terus berjaya dalam bidang sosial dan ekonomi.
Hari ini merupakan hari bersejarah bagi Selangor apabila rakyatnya menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-75, Sultan Sharafuddin.
Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor kesembilan pada 22 November 2001 dan dimahkotakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang dalam Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan pada 8 Mac 2003.
Akhir kata, Sultan Selangor adalah pemerintah negeri dan sebagai rakyat Selangor, haruslah kita menjunjung kasih semua titah baginda tidak kiralah siapa kita sama ada Menteri Besar, Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri mahu pun orang biasa.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan, institusi kesultanan Melayu harus dihormati oleh semua pihak. Rukun Negara yang kedua juga tertulis Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Saya mahu amati lirik lagu negeri Selangor:
Duli Yang Maha Mulia, Selamat di atas takhta,
Allah lanjutkan usia Tuanku,
Rakyat mohon restu,
Bawah duli Tuanku,
Bahagia selama-lamanya,
Aman dan sentosa,
Duli Yang Maha Mulia.
Daulat Tuanku!










