Suka hatilah nak keluar, duit akak... - Utusan Malaysia

Suka hatilah nak keluar, duit akak…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH penumpang kali ini berkaitan isu semasa iaitu pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Sinar. Ramai tak sabar-sabar nak memohon pengeluaran i-Sinar termasuk seorang kakak yang menaiki Grab saya dari Cheras menuju ke Ampang ini. Dia yang saya agak dalam pertengahan usia ini, memang ramah-tamah. Tak berhenti bercakap sebaik saja punggungnya dilabuhkan ke atas kerusi belakang.

“Kau dah lama bawa Grab ke dik,” soalnya terus kepada saya. Lama tak lama la, tapi dah dekat tiga tahun jugalah kak,” jawab saya ikhlas.

“Baguslah dik, kau pandai bawa kereta, boleh jugalah bawa Grab. Macam akak ini, tak pandai memandu langsung. Pernah dulu belajar memandu, tapi kalau dua jam berlatih memandu, sejam darinya akak ajak pengajar pergi makan,” katanya riang.

Saya sekali ikut tertawa. Kelakar pula dengar, terus teringat kepada seorang teman yang juga berperangai serupa.

“Akak nak pergi kerja ke?,” tanya saya. Melihatkan gayanya, nampak seolah-olah dia bekerja di pejabat.

“Akak tak kerja dik. Syarikat tempat akak kerja dah tutup. Jenuh juga cari kerja sana-sini tapi dah tua-tua macam ni siapa nak terima lagi?

“Dulu akak kerja okay juga. Gaji pun boleh tahan tapi itulah, faktor ekonomi menjejaskan syarikat. Terus tutup. Akak pula nak tanggung dua anak yang masih belajar. Itu yang tak sabar-sabar nak keluar duit KWSP ini,” jelasnya panjang lebar.

“Mesti banyak duit KWSP akak kan?” tanya saya.

“Banyak tu taklah. Adalah RM300,000 juga. Dapatlah RM30,000 kalau lulus. Akak kenalah berjimat cermat sampai umur 55 tahun. Tak lama pun dah, dua tahun saja lagi,” katanya.
Kepala aku pun mencongak, kakak ni rupanya berusia 53 tahun.

“Habis, akak tak kerja sekarang, macam mana survive sementara tunggu dapat duit tahun depan?” Tanya aku perlahan. Bimbang dia terasa hati.

Tapi kakak itu memang selamba orangnya. Tak langsung menyorok kisah kesusahannya.

“Berjimat. Akak buat itu buat ini, dapatlah sikit-sikit duit. Mujur rumah pun dah habis bayar dan kereta pun tak ada. Banyak kos boleh jimat,”katanya.

“Tak sayang nak keluar duit KWSP tu?,” usik saya.

“Nak sayang apa, itu duit kita. Kalau yang kata jangan keluar tu, mereka tak faham dan tak rasai kesusahan orang lain.

“Macam akak nak keluar KWSP sebab nak tampung hidup, bukan nak beli handphone ke tukar kereta ke. Tu semua bukan untuk orang senasib macam akak ni.

“Kalau yang berduit tak nak keluar, suka hati mereka tapi jangan nak halang orang susah keluar duit. Mereka tak rasa apa yang orang susah lalui,” kata si kakak ini panjang lebar.

Tak lama kemudian, kami sampai ke destinasi yang dituju. Sebelum turun dari kereta, kakak tersebut bertanya kepada saya.

“Tak nak keluar duit KWSP ke? Kau ini pun pernah kerja pejabat kan? Mesti Akaun 1 banyak,” katanya.

Saya tersengih. Sambil otak ligat memikir untuk memberi jawapan padu.

“Saya muda lagi kak, baru 25 tahun. Mana ada duit banyak,” gurau saya sambil bersulam ketawa.

Si kakak ketawa berdekah-dekah sambil turun dari kereta. Mengeleng-ngeleng kepalanya dengan pengakuan saya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×