KEBENARAN rentas negeri yang diumumkan kerajaan kecuali kawasan yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) umpama talian hayat kali kedua kepada penggiat pelancongan di Melaka yang terkenal dengan jolokan bandar raya bersejarah.
Sebagai destinasi percutian hujung minggu, pengumuman tersebut amat dinanti-nantikan pihak hotel, peniaga, pengayuh beca, pemilik inap desa, hotel bajet dan pengusaha produk-produk pelancongan di negeri ini.
Betapa lebau senyuman yang diukir pada wajah masing-masing ketika mendengar pengumuman pada 5 Disember lalu oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditonton menerusi kaca televisyen atau skrin telefon mereka.
Masakan tidak, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di Lembah Klang pada 14 Oktober lalu, tempias impak perniagaan berkonsepkan pelancongan di Melaka amat dirasai banyak pihak.
Ini kerana penduduk Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya memang diakui sebagai penyumbang terbesau kehadiran pelancong ke Melaka di samping dua negeri jiran, iaitu Johor dan Negeri Sembilan.
Keadaan bertambah parah apabila PKPB diperluaskan ke negeri lain termasuk Melaka sendiri, tiada siapa dapat bercuti ke negeri-negeri lain.
Dalam tempoh tersebut, ada peniaga mengeluh apabila hujung minggu mereka ibarat hari biasa dan kadang-kala hari biasa lebih ghamai berbanding Sabtu dan Ahad sebelum ini yang sepatutnya sentiasa sesak dengan kenderaan dan orang ramai lalu lalang di Banda Hilir.
Malah, ada peniaga restoran dan kedai makan mengambil keputusan menutup sementara perniagaan mereka pada hari biasa kerana tidak mahu menanggung kerugian lebih tinggi jika terpaksa beroperasi tanpa pelanggan.
Kini, selepas orang ramai kembali boleh merentas negeri atau bahasa ‘rasminya’ boleh bercuti di Melaka, para pemain industri pelancongan terlibat seperti mendapat tonik baharu apabila mereka mula membuat persediaan untuk menerima semula kedatangan pelancong.
Meskipun tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana perlu bersedia terhadap sebarang kemungkinan, mereka percaya industri itu akan mampu bernafas semula di negeri ini.
Bak kata seorang peniaga di Pahlawan Walk yang mesra dipanggil Kak Tipah, ini peluang kedua mereka untuk membina kembali perniagaan selepas berdepan keadaan terumbang-ambing sejak Mac lalu.
Kak Tipah yang menjual pakaian beridentitikan Melaka antara yang terjejas teruk sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini.
Malah, perniagaan agensi pelancongannya pun ibarat hidup segan mati tak mahu kerana dia tidak boleh menguruskan perjalanan pelanggan ke luar negara seperti tahun-tahun sebelumnya.
Pengayuh beca di Bangunan Stadthuys yang lebih senang disapa Pak Bakar juga berkongsi kegembiraannya yang tidak sabar hendak ‘beraksi’ membawa penumpang pusing tempat-tempat menarik di bandar Melaka.
Bukan sekadar Pak Bakar dan Kak Tipah, ramai lagi sebenarnya yang mengharapkan peluang ini dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh orang ramai di samping terus mengamal langkah pencegahan Covid-19.
Bukan apa, kata mereka, sekiranya kes meningkat kembali, risau pula akan dilaksanakan lagi sekali PKPB atau kawalan-kawalan yang boleh menggugat perniagaan dan sektor pelancongan Melaka.
Maka, marilah kita bersama-sama menjana semula sektor-sektor ekonomi yang terkesan tetapi pada masa sama kena beringat juga dengan ‘poket sendiri’, takut terbocor tanpa sedau kecuali yang masih berkemampuan untuk membawa keluarga berjalan-jalan.
AMBUAT TU – i-Sinar macam tak berapa nak bersinar, cuti-cuti di rumah sendirilah nampak gayanya…alamak tuan!
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Melaka.










