Artis yang menghasilkan kraf tangan turut menerima tempias susulan pandemik Covid-19, khususnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020.
Baru-baru ini, saya berpeluang bertemu seorang artis seramik dan usahawan muda yang berasal dari Kapar, Selangor. L. Thanesh Kumar ialah graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan kini mengusahakan Studio Seramita di Pusat Inkubator Kraf Balik Pulau, Pulau Pinang.
Secara kebetulan, pemuda ini membuka studio pada awal Mac lalu tetapi hanya sempat membersih dan mengecat sebelum PKP. Hanya pada Jun lalu, Thanesh Kumar berpeluang kembali beroperasi di studionya.
“Memang banyak kerja yang tertangguh apabila studio terpaksa ditutup berikutan arahan kerajaan. Saya juga tidak dapat pulang ke rumah di Kapar, sebaliknya menumpang di rumah kawan di Taiping, Perak,” pemuda berumur 26 tahun itu menceritakan pengalaman.
Saya tertarik mendengar dan berkongsi kisah Thanesh Kumar kerana minat dan kesungguhannya boleh dijadikan penguat semangat kepada golongan belia. Malah, saya sendiri meminjam sedikit semangat dan kegigihannya walaupun kami tidak terlibat dalam bidang sama.
Dia memulakan pengajian di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Unimas tanpa apa-apa pengetahuan tentang bidang berkenaan. Kemudian, dia tertarik dengan seni seramik kerana merasakan mampu memanfaatkan sepenuhnya kreativiti dan berkongsi pemikiran secara penuh seni.
“Saya mendapat sokongan dan galakan daripada pensyarah dan para senior. Berkat kesungguhan dan sokongan mereka, saya kini satu-satunya belia kaum India yang terlibat secara profesional dalam seni seramik. Hal ini membuktikan bahawa ruang dan peluang terbuka kepada semua, asalkan ada minat dan usaha,” katanya.
KOREA SELATAN
Thanesh Kumar mengakui hakikat belum mampu bergantung sepenuhnya kepada karya seni semata-mata. Sebaliknya, terpaksa juga menerima dan menyiapkan tempahan produk seramik daripada pengusaha restoran. Dalam keadaan itu, kreativiti terpaksa dihadkan kerana perlu memenuhi permintaan pelanggan.
Pemuda itu turut mengimbas pengalaman di Pusat Kajian Seni Seramik Antarabangsa Namwon, Korea Selatan pada 2018. Kraf tangan berkonsepkan mandala yang dihasilkannya mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kraf seramik itu dibeli terus oleh peminat seni di pameran tersebut.
Thanesh Kumar amat menghargai sokongan dan panduan yang diterima daripada pensyarah di Unimas dan mentornya, Dr. Shamsu Mohamad dari Universiti Sains Malaysia (USM).
“Saya membuat latihan industri di studio beliau semasa belajar di Unimas. Kemudian, beliau terus menjadi mentor. Malah, beliau yang menggalakkan dan membantu saya membuka studio di Balik Pulau. Saya sangat bertuah kerana mendapat sokongan daripada rakan-rakan, peminat seni seramik dan artis terkenal,” Thanesh Kumar mengakui.
BUDDHA
Bagi memastikan kraf tangan yang dihasilkannya memiliki identiti tersendiri, pemuda ini cuba memasukkan unsur falsafah dan budaya India-Hindu. Dalam hal ini, Thanesh Kumar mengakui perlu memastikan unsur yang diterapkan sesuai dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Seni seramik mandala yang dihasilkannya bagi pameran di Korea Selatan menggabungkan unsur mandala yang biasa dalam budaya India-Hindu dan ajaran Buddha. Turut diterapkan ilmu sains berkaitan planet di cakerawala.
“Saya suka membaca dan mengkaji teks klasik India seperti Mahabharata, Ramayana, dan karya purana untuk mendapatkan idea dan inspirasi yang sesuai diterapkan dalam seni seramik yang diusahakan. Sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana pencinta seni dan kraf seramik mengharapkan sesuatu yang baharu dan ada kelainan,” Thanesh Kumar menceritakan dengan penuh bersemangat.
Satu lagi sikap unik yang saya temui pada pemuda ini adalah kemahuannya supaya orang ramai menyentuh dan memegang seni seramik yang dihasilkannya. Atas sebab itulah juga beliau kurang menyenangi pameran seni secara maya. Beliau tidak kisah jika hasil seninya pecah apabila dipegang orang ramai.
Sebagaimana diterangkan oleh Thanesh Kumar, tanah liat yang digunakan memang bersifat tidak tahan selama-lamanya. Maka, tidak perlu kecewa jika sesuatu hasil seni pecah kerana itulah sifat sebenar tanah liat.
Rata-rata hasil seni Thanesh Kumar menampilkan arca seramik yang seolah-olah separuh siap. Bahagian luar biasanya tidak diwarnakan langsung. Hanya bahagian tengah, atau salah satu bahagian tertentu, menampilkan ukiran dan kerja seni terperinci dan berwarna.
“Saya melihat kraf tangan sebagai objek yang hidup dan bernyawa. Maka, sebahagian besar seramik dibiarkan poros supaya objek seni boleh bernafas. Ini juga satu falsafah yang cuba saya sampaikan, supaya kita tidak terlalu menyesakkan diri dengan hidup duniawi sehingga tiada ruang bernafas,” katanya.
Artis seramik ini diundang menjadi fasilitator program Kemakmuran Seni Bersama Komuniti Negeri Pahang anjuran Balai Seni Negara di Kampung Seni Sari Chempaka, Karak, mulai hari ini hingga 22 Disember.
Dia berharap, peluang ini bukan hanya untuk berkongsi ilmu seni seramik dengan orang ramai tetapi juga bagi menimba pengetahuan daripada masyarakat setempat.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










