Sehingga diperlukan, saya di sini ... - Beto Kusairy - Utusan Malaysia

Sehingga diperlukan, saya di sini … – Beto Kusairy

BETO KUSAIRY - MINGGUAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak semua mengimpikan hidup berlangitkan kilauan bintang, sinar pujian peminat dan gemerlapan pancaran populariti. Mungkin bukan itu yang dikejar figura seni yang cukup berbakat ini. Jauh di sudut hati, dia cuma mahu mewarnai kanvas seninya dengan sinar bakat dan penghargaan sekelumit cuma.
Dia tidak pernah memacak impian untuk bergelar pelakon. Tidak sekali dia merasakan kehidupan sebagai bintang seni ini cocok buatnya. Namun segalanya berubah tatkala dia diberi peluang untuk berdiri terpacak umpama tiang ketika terlibat sebagai kru dalam sebuah drama.
Bermula dari situ, dia menerima dialog dan akhirnya, nama Beto Kusairy perlahan meniti di bibir peminat seni layar tanah air. Siapa dia? Mengapa begitu bersahaja lakonannya? Semua itu digali dalam untuk membenarkan karpet merah dibentang untuknya mula melangkah dalam dunia seni.
Namun kejayaan dan popularitinya hadir bersama episod hitam yang mungkin tidak pernah dikongsi kepada umum. Di hadapan kamera dia tersenyum, menangis dan bergelak ketawa mengikut skrip, namun realitinya dia seorang yang cukup memendam rasa. Berdiam jika tiada apa yang perlu diungkap.
Tahun demi tahun memikul gelaran pelakon, dalam hatinya dia pernah meronta mahu melucutkan sahaja selempang itu. Dia mengakui, ada ketikanya hatinya cukup sakit untuk meneruskan langkah sebagai pelakon. Hatinya tawar. Sudah tiada rasa untuk memakai topeng watak yang diberi.
“Ya, saya pernah tawar hati. Ketika itu saya rasa seperti mahu berhenti berlakon. Saya tak pernah bermimpi untuk bergelar pelakon, tetapi percaturan Tuhan, di sini saya mencari rezeki. Namun keadaan industri yang ada kala dicemari dengan politik kotor, saya muak dan jelik.
“Tetapi rasa cinta terhadap dunia lakonan semakin menebal. Sukar untuk saya menafikan kewujudan cinta itu walaupun pada mulanya bukan niat saya untuk bergelar pelakon. Maka, saya kentalkan hati, kuatkan perisai jiwa untuk menghadapi segala macam dugaan.
“Ditikam belakang? Pernah sahaja. Cuma lebih baik saya simpan rapi dalam kamus hidup sebagai pedoman. Tak perlu saya mencanang apa yang berlaku. Itu semua adalah lumrah hidup. Cuma kita perlu lebih berhati-hati dan percaya dengan aturan Tuhan,” kata pelakon Istanbul Aku Datang ini.
Memulakan kerjaya dalam bidang seni sekitar 2001, aktor hebat berusia 40 tahun ini cukup disenangi peminat. Dia berjaya membeli jiwa peminat dengan bakat dan personalitinya. Bukan kontroversi ciptaan atau propaganda murahan. Dia menolak semua itu.
Namun satu ketika dahulu dia pernah menepis populariti. Seiring usianya dalam dunia seni, kini dia percaya populariti dan bakat itu harus seiring. Maka tidak hairan, dia cukup memilih soal naskhah lakonan. Baginya, karya seni itu bukan sesuatu yang boleh ditolenrasi dan diambil mudah.
“Dulu saya fikir, populairiti itu tidak perlu. Jadi saya hanya tahu berlakon, berlakon dan berlakon. Namun, popular itu tiba-tiba hadir. Ramai kenal dan hargai saya. Tetapi jujur cakap, saya masih rasa kerdil. Saya terlalu kecil dalam industri seni ini.
“Saya tak pernah pasang cita-cita untuk bergelar pengarah pun. Biarlah masa menentukan. Andai kata satu hari nanti, rezeki saya duduk di kerusi pengarah maka tugas itu akan dilaksana seikhlas mungkin,” kata pemegang dua trofi Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin ini.

Alter ego, terapi diri

Beto memang lambat panas. Saat dia melangkah masuk ke ruang persalinan, wajahnya agak penat menimbulkan rasa gusar dalam hati penulis. Namun, seiring waktu, kami rancak berbual hingga kemesraan itu dizahirkan dengan gelak tawa.
Namun hampir tiga jam berkongsi masa dan buah fikir, Beto adalah antara anak seni yang cukup penulis hormati. Santun tatkala berbicara dan sungguh berjiwa hamba. Itu pujian yang harus diberi.
Seringkali mengungkap kata ‘saya biasa sahaja’, jauh di sudut fikir penulis, pelakon ini akan menjadi seorang legenda kelak. Biar doa itu sampai, kerana bakat dan auranya tidak seharusnya berhenti.
Berbicara terus dengan pelakon hebat ini, pantas soalan siapa sebenar Beto Kusyairy di sebalik topeng seorang pelakon? Iya, kita mungkin kenal dia sebagai pelakon berkaliber namun, siapa Nurkusyairy Zakuan Osman yang sebenarnya?
Mengakui dia sebenarnya seorang yang pendiam, Beto lebih senang duduk di rumah dan membaca buku bersama isteri tercinta. Maka, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana sudah biasa dijalani sebelum pandemik berlaku.
“Saya seorang yang pemalu dan pendiam. Tak pandai berkomunikasi. Jadi berlakon ini sebenarnya satu terapi untuk saya. Berdepan dengan orang ramai, berborak dan bersahabat.
“Terapi itu akhirnya menjadi minat. Tetapi kalau tiada kerja, memang saya lebih senang duduk di rumah, baca buku. Tak suka keluar,” katanya yang pernah memakai maskot sebagai Along suatu ketika dahulu.

Murung rasa diri tak guna

Ya, itu antara gundah dalam hati Beto yang disimpan lama. Dia merasakan hidup seperti tiada bermakna. Lama dia dirantai dengan emosi dan perasaan yang bukan mudah untuk dibuang keluar. Jiwanya bagaikan remuk, seperti kehilangan roh dan semangat hidup.
Begitu dalam emosi dan jiwa yang diberi graduan Universiti Teknologi Mara (UiTm) ini tatkala menjayakan watak pejuang negara, Allahyarham Rosli Dhobi. Berat untuk dia menzahirkan rasa yang terkandung dalam jiwanya. Ikatan antara dua jiwa itu begitu akrab.
“Saya pernah murung kerana terlalu menjiwai watak Rosli Dhobi. Ketika itu saya baru sahaja berlakon secara serius. Belum pandai untuk mengeluarkan diri daripada watak. Jadi saya terkurung dalam emosi watak tersebut. Lama juga saya belajar untuk melepaskan diri.
“Demi menjayakan watak itu, saya menyarung semula uniform yang dipakai ikon nasionalis ketika dia berjuang untuk negara. Bayangkan di usia 17 tahun, dia sudah berjuang untuk negara. Saya ketika di usia itu, satu apa pun tak tahu. Jadi saya murung dan mula mempersoalkan diri sendiri.
Mungkin dia bukan aktor paling popular negara.Tetapi dia bukan pelakon kayu. Persoalannya, tidakkah dia khuatir andai kebanjiran pelakon muda akhirnya meletakkan dia di satu sudut pelakon sendalan semata?
Hanya tergelak seraya menggelengkan kepala, bagi suami kepada Tisha Shahar ini, selagi diperlukan, dia akan tetap di sini. Andai esok adalah hari terakhir dia bergelar pelakon, dia rela mengundur diri.
“Dulu saya cukup baran bila berlakon dengan pelakon muda yang ‘kayu’. Saya rasa ada ramai lagi yang lebih layak bergelar pelakon. Tetapi kini, saya cuma nasihat diri sendiri dan sesiapa yang bertanya, andai kita ‘kayu’ perbaikilah lakonan.
“Sudah lumrah, memang populariti diutamakan. Betulkan niat dan ikhlaslah ketika berkerja,” kata pelakon KL Gangster: Underworld ini. – Pancaindera

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN