Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan hasil persefahaman yang termeterai antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri secara mengejut pada 23 Februari lalu.
Penubuhan kerajaan baharu ini juga disokong sepenuhnya oleh Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.
Semua ketua parti tersebut sebulat suara bersetuju untuk memperakukan Presiden Bersatu sebagai calon Perdana Menteri Malaysia yang baharu dan kesepakatan tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ini akhirnya menyaksikan Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan yang sah berdasarkan Perlembagaan negara. Seluruh rakyat menjunjung kasih ke bawah Seri Paduka atas kebijaksanaan menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada ketika itu.
Hakikatnya, PN lahir ketika negara menghadapi krisis politik dan perkauman yang semakin parah. Keperluan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu tercetus akibat ketidakpuasan hati rakyat atas beberapa dasar dan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
22 BULAN
Jangka masa 22 bulan di bawah PH menyaksikan kegagalan mereka menunaikan pelbagai janji manifesto, pertikaian mengenai hak istimewa orang Melayu, pengurusan ekonomi yang lemah dan pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.
Ekoran itu, beberapa perbincangan awal diadakan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen mewakili parti-parti politik yang berkongsi aspirasi sama untuk merangka strategi menyelamatkan negara dan mengambil-alih kerajaan daripada PH supaya Perdana Menteri ketika itu meneruskan kepimpinan dengan kerajaan baharu.
Bagi memastikan segala perancangan ini dapat direalisasikan, beberapa ahli Parlimen terpaksa berkorban dengan membuat beberapa keputusan yang penting. Ini termasuklah penyertaan ahli-ahli Parlimen tertentu ke dalam parti baharu untuk memastikan usaha ini dapat dijayakan.
Oleh itu, tidak timbul persoalan sama ada mereka adalah pengkhianat ataupun duri dalam daging kepada mana-mana parti yang pernah mereka wakili kerana apa yang lebih penting adalah matlamat untuk menumbangkan PH dan menubuhkan kerajaan baharu tercapai.
Ketika pembentukan kerajaan PN di peringkat Pusat, kedudukan kerajaan-kerajaan negeri juga diambil kira bagi memastikan wujud keseinambungan antara kepimpinan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.
Bagi tujuan tersebut, kerjasama politik tidak dijalinkan atas dasar parti yang mempunyai bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbesar semata-mata, tetapi juga atas dasar tolak ansur dan persetujuan bersama antara semua parti terlibat.
Dalam hal ini, pembahagian jawatan-jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar perlu diputuskan secara konsensus bagi memelihara kerjasama politik yang kukuh dan utuh. Ia juga dipengaruhi oleh keperluan dan situasi politik semasa di negeri-negeri berkenaan.
Contohnya di Perak, jawatan Menteri Besar dikekalkan menjadi milik Bersatu memandangkan ia telah pun dijawat oleh wakil Bersatu sebelum pembentukan kerajaan PN.
Sementara itu di Johor, jawatan Menteri Besar dipersetujui diserahkan kepada UMNO walaupun pada asalnya jawatan tersebut milik Bersatu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan negeri yang diketuai wakil daripada UMNO adalah empat buah negeri termasuk di Melaka, Perlis dan Pahang.
Bagi Pas pula, persetujuan dicapai untuk mengetuai kerajaan di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala PBB yang mewakili GPS dipersetujui untuk kekal menerajui kepimpinan Sarawak.
Alhamdulillah, persefahaman politik ini terbukti dapat mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan PN. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, PN menguasai semula negeri tersebut dan persetujuan dicapai untuk wakil Bersatu menjawat jawatan Ketua Menteri.
Bergerak ke hadapan, persefahaman politik ini harus dikekalkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) agar PN bukan hanya dapat terus memerintah sebagai kerajaan Pusat tetapi juga berjaya mengambil alih kerajaan negeri yang masih lagi diperintah oleh pembangkang.
Untuk memastikan kelangsungan permuafakatan ini, saya mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar iaitu PN, Barisan Nasional dan GPS.
Gagasan itu bakal menjulang wawasan dan aspirasi diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bergabung di bawahnya. Oleh itu, satu piagam persefahaman politik antara tiga gabungan parti besar ini harus segera direalisasikan.
Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara.
Dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum dan agama, gagasan ini nanti mampu melahirkan satu manifesto yang benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat.
Saya yakin sekiranya semua pemimpin benar-benar ikhlas untuk menentukan masa hadapan negara yang lebih baik, insya-Allah, tanah air ini akan menjadi sebuah negara kebanggaan rakyatnya dan disegani dunia.
DATUK Seri Hamzah Zainudin ialah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pandangan sidang pengarang Utusan Malaysia.










