Segera tambah baik infrastruktur internet - Utusan Malaysia

Segera tambah baik infrastruktur internet

NFCP akan meningkatkan liputan selular ke 95 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia menjelang 2023. – GAMBAR MEDIA SOSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DILAPORKAN hampir 20 peratus kawasan luar bandar berdepan masalah capaian internet lemah atau berstatus merah di seluruh negara. Keadaan itu memerlukan langkah penambahbaikan sistem yang komprehensif agar capaian internet memenuhi kehendak rakyat dan industri di negara ini.

Keadaan itu juga menuntut kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi segera memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komunikasi menyeluruh dan penyediaan platform internet yang setanding negara serantau lain.

Langkah ini boleh dilaksanakan melalui penyediaan liputan jalur lebar menggunakan pelbagai teknologi terkini membabitkan talian tetap dan mudah alih. Akses dan capaian internet yang efisien akan meningkatkan produktiviti dan melicinkan pentadbiran berasaskan aktiviti dalam talian terutama sektor awam dan swasta termasuk institusi perbankan, pendidikan, pembuatan, automasi, perkilangan, multimedia serta pengurusan sumber manusia.

Oleh itu, antara aspek yang perlu disegerakan adalah perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi di mana kerajaan boleh melaksanakan Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan Projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) di seluruh negara.

Kerajaan juga perlu segerakan pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital negara berjalan lancar.

Kerajaan juga perlu mengambil langkah praktikal bagi mengatasi gangguan internet di kawasan pedalaman yang disebabkan oleh vandalisme membabitkan gentian optik yang dirosakkan atau set generator dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab seperti yang sering dilaporkan dalam media massa.

DR. MOHAMAD SOFEE RAZAK
Peguam bela & peguam cara
Sungai Petani, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya