Sanusi tak patut ‘melatah’ - Utusan Malaysia

Sanusi tak patut ‘melatah’

Mampukah Muhammad Sanusi Md. Nor satukan pemimpin pelbagai parti dalam kerajaan PN? – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya hendak membicarakan isu latah Menteri Besar (MB) Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dalam kes keramat Hindu dan kata hina terhadap kaum India serta dua tokoh politik India tanah air.

Terdapat keramat atau sembahan berupa patung anutan Hindu yang dibina di atas tanah kerajaan negeri dan tidak mendapat kebenaran atau kelulusan. Patung atau sembahan itu dimusnahkan oleh pihak berkuasa tempatan, maka marahlah masyarakat India beragama Hindu. Selepas itu, MB memberi amaran, semua patung berhala atau keramat sembahan yang tidak dilulus perlu diubah sendiri atau akan dimusnahkan. Maka dua orang pemimpin India dari MIC dan DAP pun bersuara menegur tindakan yang dianggap tidak sensitif kepada hubungan antara agama di negara ini.

Muhammad Sanusi pun melatah, mengecam kedua-dua tokoh tersebut dan dikatakan menghina mereka dengan kata-kata perli.

Kita hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia, Asia dan dunia. Umat Islam di Indonesia pun menghormati Candi Borobudur sebagai artifak sejarah, rumah berhala sesuatu kumpulan penganut agama dan juga sebagai tarikan pelancongan yang menjana ekonomi setempat. Rasulullah sendiri selalu berpesan kepada tentera Islam, mereka tidak boleh memusnahkan tanaman yang menghasilkan makanan dan rumah-rumah ibadat penganut agama lain.

DIPLOMATIK

MB perlu belajar dari sifat toleransi dan diplomatik Rasulullah dan umat Melayu pun kena fikir tentang perkara tersebut. Memusnahkan sebuah binaan seperti kedai, gelanggang permainan, gerai makan atau pondok silat tidak boleh disamakan dengan berhala anutan agama. Kalau seseorang tak kenal antara kedua-duanya, maka tak layaklah dia jadi pemimpin negara ini. Kalau pemimpin itu seorang Muslim, maka dia tak tahu sangat tentang aspek kepimpinan Rasulullah sebagai model politik Islam.

Sewaktu Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup, saya pernah bersyarah di depannya one on one tentang seni bina masjid. Saya menghujah tentang tidak kemestiannya elemen kubah, gerbang dan menara wujud dalam seni bina masjid. Beliau akur dan setelah itu melancarkan dan merasmikan Masjid Cina yang mempunyai bahasa seni bina ala Masjid Kampung Hulu di Melaka. Pokok pangkalnya untuk menjadi pemimpin, kita kena sensitif tentang agama orang lain. Kalau tidak, jadi pemimpin di kampung Melayu boleh kut.

Dalam hal keduanya, MB telah menghina dua tokoh politik dan kaum India dengan menuduh kedua-duanya mungkin mabuk dan berkata yang bukan-bukan dalam hal pemusnahan berhala tersebut. Sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh menuduh membabi buta dan juga bercakap melatah-latah. Dalam kitab Ihya Ulumuddin Bab Bencana Lisan, Imam Al-Ghazali menukilkan bagaimana lidah boleh mengheret kita ke neraka walau banyak ibadat dan sedekah yang kita amalkan.

HAMBA RAKYAT

Sebabnya, lidah atau kata-kata adalah cerminan roh sebenar kita. Kalau kita tak tengok kedua-dua tokoh India itu minum arak, bagaimana kita nak tuduh sedemikian? Dan kalau kita tidak pastikan yang mereka mabuk, bagaimana kita boleh tuduh sedemikian juga? Akhir sekali, kenapa kita terus anggap semua orang India minum arak? Saya kenal beberapa orang India yang tidak makan daging dan tidak minum arak. Sifat menstereotaipkan sesuatu dengan sifat negatif adalah sesuatu yang tidak layak sebagai pemimpin dan Islam.

Akhir sekali, MB semacam tidak menganggap diri beliau sebagai ‘hamba rakyat’. Dalam sistem demokrasi, jawatan MB adalah lantikan rakyat untuk menjaga kebajikan rakyat.

Dalam hal pemimpin sebagai hamba rakyat, saya suka menggunakan dua contoh. Contoh pertama, pada suatu ketika, Rasulullah sedang bermesyuarat dengan seorang pemimpin besar Arab dan tiba-tiba datang seorang wanita tua mengadu keperitan hidupnya. Wanita itu jelas melanggar protokol mesyuarat tetapi Rasulullah memberhentikan bicaranya dan pergi kepada wanita tersebut dan mendengar rintihannya sehingga orang tua itu beredar. Rasulullah tahu beliau akan disoal oleh Allah jika mengabaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat jelata, tidak kira siapa mereka.

Contoh kedua, sewaktu Umar Al-Khatab menjadi Khalifah. sebagai Amir-ul-Mukminun, beliau selalu menyamar seperti rakyat biasa dan berjalan malam-malam melihat sendiri keadaan tanggungannya. Seketika beliau terdengar tangisan kanak-kanak kelaparan dari sebuah rumah. Apabila beliau menyiasat. didapatinya keluarga itu kaum miskin yang tidak ada makanan. Beliau sendiri pergi ke baitulmal dan menjunjung seguni gandum dan keperluan lain. Apabila dilihat bebanan yang dipikul sendiri Khalifah Umar, pembantunya memohon untuk memikul sebahagian guni-guni tersebut. Tetapi Umar berkata kepadanya, “adakah saudara akan menanggung dosa saya sebagai pemimpin di akhirat kelak?”

REFORMIS

Kedua-dua cerita tersebut menjadi pedoman saya sebagai reformis Islam dahulu dan ia sebagai kayu pengukur terhadap mana-mana ahli politik yang memimpin negara.

MB Kedah perlu merenung dua contoh ini dan sedar bahawa kepimpinan bukan ertinya kita bongkak memerintah itu dan memerintah ini dan berkata kesat itu dan berkata ini. Kepimpinan dalam Islam adalah amanah daripada Tuhan supaya belaku adil kepada semua manusia dan beradab dalam tata bicara serta perilaku.

Sebagai MB, Sanusi dilantik Ahli-Ahli Dewan Undangan yang dipilih rakyat, maka itu jawatan MB adalah amanah rakyat untuk semua tidak kira agama atau status sosial.

Maka itu, demi kepimpinan negara dan Islam, saya rasa MB Kedah perlu berubah atau beliau perlu ‘diubah’. Saya ingin ingatkan juga kepada semua pemimpin Malaysia tentang kalimat keramat zaman reformasi dahulu – Rakyat Hakim Negara

PROFESOR Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi ialah ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN