Riuh semula harga barang naik - Utusan Malaysia

Riuh semula harga barang naik

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN harga barang riuh semula di sana-sini. Bermula dengan kenaikan harga bawang dan cili, mungkin ada lagi benda-benda lain yang akan mengalami kenaikan. Harga petrol dan diesel naik sedikit demi sedikit selepas beberapa negeri tidak lagi terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat [PKPB] dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat [PKPD]. Yang di bawah perintah kawalan pun bergerak sana-sini, apatah lagi yang tidak dikenakan perintah kawalan.

Maknanya, sudah ramai yang merentas negeri, daerah dan sebagainya. Bergolek sahaja tayar, mesti pakai minyak. Ini tentu tidak menghairankan kerana jika kenderaan tersadai sahaja di depan rumah, tidak pakai minyak dan permintaan terhadap minyak kurang, maka harga minyak ikut turun.

Berbeza dengan benda-benda makan. Bergerak atau tidak, perut mesti diisi. Jika duduk sahaja di rumah, lagi banyak benda hendak dimasak. Apabila sekolah cuti dan anak-anak duduk di rumah kerana institusi pengajian tinggi belum bermula, lagi banyak perut hendak diisi. Lima atau sepuluh kilogram beras kadang-kadang tak mampu bertahan sampai dua minggu.

Nasib agak baik kerana barang-barang kawalan tidak naik harganya. Jika barang-barang kawalan seperti beras, gula, tepung ikut naik harga, tentu ramai yang pening kepala. Kalau ayam, telur, segala macam jenis kopi, susu dan sebagainya memang turun naik selalu tetapi apabila naik, susah hendak turun semula, itu sudah jadi perkara biasa. Orang faham sangat perkara ini kerana ia menjadi lumrah perniagaan.

Permintaan tinggi mempengaruhi kenaikan harga. Apabila barang berkurangan tetapi permintaan tinggi memang harga akan naik. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, harga telur dan ayam turun seketika. Kenduri-kendara tidak diadakan sedangkan majlis sedemikian memang banyak menggunakan telur dan ayam. Segala macam perayaan sepanjang tempoh Covid-19 yang tidak disambut sama ada secara sederhana atau besar-besaran seperti selalu menjejaskan permintaan ke atas barang-barang yang selama ini mengalami kenaikan harga. Ramai berasa lega walaupun di sebalik kelegaan itu, ramai peniaga yang tertekan kerana barang tidak begitu laku seperti selalu.

AYAM

Dalam soal kenaikan harga barang, kuasa untuk mengekangnya memang terletak di tangan kita sendiri. Kenaikan harga barang seringkali dikaitkan dengan kekurangan bahan, permintaan tinggi dan kerenah pembekal, sampailah kepada peniaga. Jika bahan kurang, harga menjadi tinggi dan kesalahan tidak boleh diletakkan di bahu peniaga semata-mata kerana memang mereka dibekalkan dengan harga yang tinggi. Harga barang akan dianggap tinggi di mata mereka yang kurang berkemampuan tetapi disebabkan keperluan dan ada kemampuan bagi sesetengah orang, barang tetap dibeli. Kebanyakan orang kaya tidak kisah malah ada yang mempertikai apabila isu kenaikan harga barang digembar-gemburkan kerana mereka tidak berada di tempat orang susah dan sederhana.

Bulan Mei lalu, apabila harga ayam mencecah RM10.50 sekilogram, ramai yang riuh kerana kenaikannya sangat tinggi sehingga ada yang hendak memboikot makan ayam. Perkara hendak memboikot ayam bukan isu baharu kerana 10 tahun lepas pun pernah berlaku. Tetapi apabila ayam menjadi menu utama di asrama sekolah dan dianggap lebih murah daripada daging dan ikan, ayam juga jadi pilihan.

MENANG-MENANG
Mei lalu juga, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna [KPDNHEP] turun padang dan menyiasat punca kenaikan tersebut. Biasanya, sepanjang Covid-19 ini pelbagai masalah timbul sehingga harga sesetengah barang naik disebabkan masalah pengangkutan, rentas negeri, daerah dan sebagainya sehingga bekalan menjadi terhad, tetapi permintaan tetap berlaku. Malah, kekangan disebabkan Covid-19 menjejaskan pengeluaran, penyediaan bahan dan sebagainya kerana sesetengah tempat terpaksa dicutikan pekerjanya untuk mengelak jangkitan.

Situasi menang-menang boleh dijadikan alternatif apabila isu kenaikan harga barang digembar-gembarkan. Kita mesti menganggap isu ini tidak boleh dielak apatah lagi bagi sesetengah barang yang logik dinaikkan harga. Usaha mengekangnya memang terletak di tangan pengguna, iaitu dengan mengurangkan penggunaan barang yang mengalami kenaikan harga, apatah lagi bagi barang-barang yang memang boleh dikurangkan penggunaannya.

Jika sayur-sayuran mengalami kenaikan harga, bukannya tidak boleh kita usahakan tanaman jangka pendek ini dengan pelbagai kaedah tidak kira di mana kita tinggal. Kita memang boleh mengecualikan perbincangan ini bagi orang bandar yang kebanyakan mereka memang tidak ada ruang hendak tanam apa-apa. Namun apa yang menjadi masalahnya, di kampung pun kita beli serai, cili dan kunyit hidup sedangkan benda-benda itu boleh diusahakan sendiri.

Sekarang, seolah-olah tidak janggal lagi jika kita menjual serai dan benda-benda yang disebutkan tadi di kampung kerana orang kampung pun sibuk tanam bunga dan pelbagai pokok hiasan lain yang tidak boleh dimakan. Maka tidaklah hairanlah sebiji kelapa pun boleh mencecah RM2.50 sebiji di kedai-kedai runcit di kampung dan serai pula empat atau lima batang RM1.00.

Semua ini terletak di tangan kita!

PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×