Ramai B40 tiada rumah - Utusan Malaysia

Ramai B40 tiada rumah

RUMAH PPR sepatutnya dihuni mereka yang layak dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN Belanjawan 2021 menyatakan akan memberi perhatian untuk menyediakan rumah bagi golongan berpendapatan rendah (B40), tetapi ia dilihat hanya bersifat retorik berikutan kerajaan masih gagal menangani masalah perumahan dihadapi pihak terbabit secara menyeluruh.

Antara peruntukan yang dinyatakan dalam belanjawan itu adalah RM500 juta untuk membina 14,000 rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), RM315 juta bagi pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan RM310 juta untuk Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia.

Walaupun peruntukan itu disambut baik kerana akan menyediakan lebih banyak rumah untuk B40, tetapi terdapat beberapa isu yang perlu ditangani termasuk pembayaran balik pinjaman bank, pengusiran secara paksa penghuni rumah sewa dan mengawal peningkatan harga rumah.

Selain itu, satu lagi persoalan, adakah cadangan membina 14,000 unit PPR mencukupi untuk menampung keperluan populasi B40 di seluruh negara yang memerlukan rumah?

Kerajaan masih tidak memahami isu pokok perumahan di Malaysia, iaitu harga rumah sangat tinggi yang tidak mencerminkan tahap gaji rakyat biasa, bukan hanya masalah kurangnya jumlah dibina.

Berapakah harga rumah Perbadanan PR1MA Malaysia yang akan ditawarkan dalam skim sewa untuk beli atau rent to own (RTO) seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021?

Adakah seorang pekerja biasa dengan gaji minimum RM1,200 sebulan boleh membeli rumah tersebut? Pihak bank menetapkan satu pertiga daripada gaji sebagai nilai yang boleh dibayar untuk pinjaman perumahan. Untuk pekerja B40, bolehkah mereka mendapat sebuah rumah PR1MA yang memerlukan membayar hanya RM400 sebulan?

Satu lagi isu adalah rakyat yang tidak mampu membeli rumah turut menghadapi masalah sewa kediaman yang mahal. Oleh kerana Akta Kawalan Sewa 1966 telah dimansuhkan pada 1997 kerana tidak menyebelahi kaum pemodal dan pemilik rumah, maka kerajaan tidak dapat mengawal harga sewa rumah terutama oleh pihak swasta.

Kerajaan juga gagal untuk menyelesaikan isu penyewa diusir oleh tuan rumah kerana tidak mampu membayar sewa ketika pandemik Covid-19.

Isu lain yang masih belum diselesaikan sehingga kini adalah kelewatan kontraktor menyiapkan projek perumahan untuk B40 dalam tempoh ditetapkan. Sejak 2013, sebanyak RM8 bilion dibelanjakan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk projek PR1MA tetapi sehingga 2018, hanya 1.6 peratus atau 16,682 unit rumah telah dibina.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menambah peruntukan RM1.5 bilion untuk perumahan rakyat termasuk PR1MA. Namun, isu kekurangan rumah untuk B40 masih menjadi masalah utama yang dibahaskan sehingga sekarang.

KARTHIGES RAJAMANICKAM
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya