Tanah sebagai salah satu sumber ekonomi amat diperlukan bagi menjamin kelangsungan hidup manusia. Tanpa ketersediaan tanah, kegiatan ekonomi manusia sukar dijalankan. Tanpa tanah pertanian yang tersedia, sawah bendang tidak dapat dikerjakan untuk menghasilkan beras sebagai makanan ruji kita. Begitu juga perniagaan seperti peruncitan, pasar raya, kilang dan perdagangan yang memerlukan tanah.
Malangnya, kuantiti dan kualiti tanah yang ada terbatas. Pakar ekonomi tanah berpendapat, bekalan tanah adalah terhad sedangkan permintaannya sentiasa meningkat. Ahli ekonomi tanah mengatakan, walaupun penawaran tanah terhad atau tidak anjal, permintaan yang selalunya tinggi menyebabkan harganya melambung dari semasa ke semasa. Apabila harga rumah melambung tinggi, golongan berpendapatan rendah sukar membelinya. Bukan lagi mampu beli tetapi hanya mampu tengok.
OPTIMUM
Justeru, kepakaran ahli profesional hartanah diperlukan untuk mengurus, mentadbir, merancang dan menyenggara. Pengurusan dan pentadbiran yang cekap dapat memastikan kos pengeluaran hasil tanah berada pada tahap optimum dan berdaya maju tanpa ada yang tersisa.
Lanjutan itu, kemahiran diperlukan untuk mengurus dan mentadbir tanah. Justeru, satu profesion khusus bagi menjaga hal-ehwal tanah perlu diwujudkan secara profesional sama seperti profesion hartanah lain. Pentadbir dan pengurus yang profesional menjamin pentadbiran dan pengurusan sumber tanah mengikut amalan terbaik.
Pada 24 November lalu, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) dengan Institut Perancang Malaysia (MIP) untuk memartabatkan profesion berkaitan hal-ehwal tanah di negara kita. Melalui MoU ini, ahli-ahli Pertama akan berafiliasi dengan MIP seterusnya boleh dilantik menjadi perunding tanah profesional.
UTM
Menoleh ke belakang sejenak, program akademik berkaitan pentadbiran dan pembangunan tanah dimulakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1996. Pelajar-pelajar dilengkapi ilmu pengetahuan mengenai hal-ehwal tanah seperti pendaftaran, pelupusan, pengambilan, pencerobohan dan penguatkuasaan, jual beli, pelaburan dan pembangunan. Mereka juga cekap dalam mentadbir dan menguruskan tanah rizab Melayu, tanah adat, tanah wakaf, tanah pusaka dan tanah natif.
Pelajar dilatih dengan segala macam kemahiran dan kepakaran untuk mengatasi isu-isu pentadbiran tanah yang ada. Mereka sering mengadakan bengkel, seminar, persidangan di seluruh negara dengan bantuan bekas-bekas profesor pelawat.
Dengan bantuan pakar-pakar, pelajar mengadakan pelbagai lawatan perbandingan mengenai sistem pertanahan di dalam dan luar negara. Antara yang dilawati termasuklah pejabat-pejabat tanah, badan-badan dan agensi berkaitan tanah dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara. Selain itu, lawatan akademik dan seminar juga diadakan dengan pihak luar seperti Universiti Teknologi Istanbul, Turki; Universiti Sharjah dan Texas A&M di Dubai; Universiti Dunedin dan Christchurch; New Zealand, Universiti Bon dan Universiti Teknologi Queensland, Australia.
Buat masa ini, terdapat kira-kira 1,000 lulusan bidang pentadbiran dan pembangunan tanah di peringkat ijazah pertama dan 500 lulusan di peringkat sarjana dan kedoktoran di negara kita.
Kebanyakan lulusan ini mendapat pekerjaan di firma tanah serta agensi tanah di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri dan sebagainya. Ada juga lulusan pentadbiran dan pembangunan tanah yang dilantik jawatan tinggi di peringkat negeri. Ada juga lulusan yang bekerja sebagai pentadbir dan pengurus tanah di luar negara seperti Brunei dan Indonesia.
Oleh kerana kebanyakan lulusan dalam bidang ini sudah mempunyai kelulusan diploma atau ijazah pertama dalam bidang berkaitan tanah seperti juruukur tanah, juruukur bahan, arkitek, jurutera, jurunilai, perancang bandar, pemaju perumahan dan ejen hartanah, mereka mudah membantu dan menyelesaikan isu-isu berkaitan yang timbul. Menurut pengkaji hartanah di United Kingdom, Cadman dan Topping, dengan ilmu pengetahuan yang bersepadu, sesuatu projek pembangunan tanah mudah dijalankan. Terutama sekali apabila isu tanah rizab Melayu, tanah wakaf, tanah adat, tanah pribumi seperti cadangan pembangunan semula tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur hendak dilaksanakan.
KECURANGAN
Selaras keperluan negara yang memerlukan kemahiran dan kelayakan profesional dalam bidang berkaitan tanah, MoU yang ditandatangani akan melahirkan ahli profesional baharu dalam pentadbiran dan pembangunan tanah yang akan dikenali sebagai perunding tanah profesional. Ahli-ahli perunding profesional tanah ini akan melengkapi profesion hartanah lain seperti penilai, arkitek dan perancang bandar. Lantaran, pembangunan tanah menjadi lebih cekap tanpa sebarang penyalahgunaan dan kecurangan profesional. Akhirnya, penghasilan alam bina menjadi lebih baik untuk kehidupan manusia sejagat.
PROFESOR Dr. Ismail Omar ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) dan pensyarah bidang tanah dan wakaf di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.










