Perkasakan TV Pendidikan - Utusan Malaysia

Perkasakan TV Pendidikan

JIKA liputan internet gagal diakses, siaran TV Pendidikan masih boleh berfungsi . – IHSAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA masih tertanya-tanya nasib anak yang sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Bagaimana dia akan melanjutkan pelajaran ke universiti jika SPM entah ke laut mana?

Bila melihat anak bergelut belajar tuisyen secara dalam talian, terfikir juga bagaimana anak-anak penduduk di pedalaman belajar. Adakah mereka perlu memanjat bukit atau pokok bagi mendapat liputan internet? Sungguh menyedihkan bila difikirkan.

Namun, pada saat ini yang disibukkan beberapa pihak adalah sama ada tahun depan pelajar sekolah patut berkasut hitam atau putih?

Seharusnya dalam suasana Covid-19 yang masih belum dalam trend mengurang, pendekatan mendidik tanpa batas perlu menjadi gagasan.

Siaran televisyen (TV) kerajaan perlu menjadi sekolah untuk anak-anak kita belajar setiap hari terutama untuk pelajar SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Jika liputan internet gagal diakses oleh pelajar, rasanya siaran TV digital masih boleh berfungsi sebagai saluran pembelanjaran jika TV Pendidikan diperkasakan.

Hari ini, bila ibu bapa tiada di rumah kerana bekerja, anak-anak akan belajar sejam dua, tetapi menonton kartun hingga tujuh atau lapan jam. Keadaan ini sudah pasti akan menjadikan anak-anak kita kehilangan skil belajar kerana persekitaran siaran TV tidak kondusif untuk mereka belajar secara lebih efisien.

KEBIJAKSANAAN

Semoga cadangan menjadikan saluran TV kerajaan sebagai TV Pendidikan secara komprehensif dapat dipertimbangkan.

Sama ada saluran baharu diwujudkan atau saluran sedia ada dinaik taraf, terpulang kepada kebijaksanaan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Tepuk dada tanya selera. Adakah kita ingin membiarkan anak-anak kita memilih saluran TV untuk berhibur atau belajar di era pandemik Covid-19 yang tidak kita terfikir akan berlaku pada tahun ini?

Semoga tahun hadapan jika anak-anak kita berisiko untuk keluar bersekolah, lebih baik kita bawakan sekolah kepada mereka di rumah. Segalanya tidak mustahil, mungkin tagline Malaysia Boleh masih relevan. Apa yang penting, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN