PATI: Jangan cari salah saja - Utusan Malaysia

PATI: Jangan cari salah saja

Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir bot nelayan Indonesia keluar dari perairan negara. – TWITTER TLDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia kekal menjadi salah sebuah negara tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara di rantau ini. PATI secara individu atau berkumpulan sanggup bergolok-gadai untuk merentas sempadan daratan dan perairan demi kelangsungan hidup di negara kita.

Malaysia tidak pernah menjanjikan greener pasture (kehidupan yang lebih baik) kepada mereka. Persoalannya, adakah kemasukan PATI ke Malaysia disebabkan oleh tekanan hidup di negara asal atau berlakunya ketirisan dalam kalangan agensi kawalan sempadan negara atau wujudnya ‘pengkhianat negara’ yang lebih mementingkan untuk mengisi poket dengan wang sebagai tekong darat dan transporter?

Kita sedar dan amat jelas serta tidak boleh menafikan kesemua faktor tersebut menggamit kemasukan PATI ke Malaysia. Sebagai rakyat yang masih tebal dengan semangat kenegaraan, PATI ibarat jarum menikam di leher.

Sumber Jabatan Imigresen mendedahkan, mulai Januari hingga 17 November lalu, sebanyak 18,355 PATI terdiri daripada warga Indonesia sebanyak 7,018 orang, Bangladesh (3,060), Myanmar (2,401), Filipina (1,478), Thailand (1,186), India (1,095), Pakistan (795), Vietnam (366), Nepal (323), China (312) manakala baki 321 (pelbagai warganegara) ditahan menerusi 4,694 operasi.

Jabatan Imigresen juga berjaya menahan 267 majikan warga tempatan dan asing yang terlibat dalam isu PATI. Statistik agensi itu tahun lepas menunjukkan seramai 16,958 PATI Indonesia dan 11,037 PATI Bangladesh berjaya ditahan. Dalam sesi sidang Dewan Rakyat pada 17 November lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri memaklumkan, seramai 25 anggota penguat kuasa (18 pegawai dan anggota polis, lima anggota tentera dan dua pegawai imigresen) ditahan kerana terlibat dengan pencerobohan PATI.

Faktor ketirisan penguatkuasaan kawalan sempadan ini memang pahit untuk ditelan. Bagaimanapun, janganlah kita memandang serong dan berpersepsi negatif terhadap agensi kawalan sempadan negara, ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga. Ketirisan ini hendaklah dilihat sebagai kes terpencil malah pihak berwajib telah pun mengambil tindakan setimpal terhadap mereka yang terlibat.

Isu PATI sentiasa dipandang serius oleh kerajaan sekali gus mengambil inisiatif menubuhkan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan negara bertujuan membanteras aktiviti haram rentas sempadan darat dan maritim negara termasuk menangani kemasukan PATI. Kewujudan komponen darat dan maritim penguatkuasaan NTF mampu memperkukuhkan lagi kawalan sempadan negara daripada dibolosi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab.

Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan sokongan terhadap langkah tegas kerajaan mengekang kemasukan PATI.

HOLISTIK

Kebanjiran PATI bukan sahaja boleh menjejaskan fabrik sosial malah melampaui aktiviti jenayah domestik, tidak terkecuali jenayah berat. Kos tanggungan bagi seorang PATI untuk makan, minum, penyediaan tempat dan proses menghantar pulang ke negara asal adalah sebanyak RM90.

Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka Pelan Strategik Penguatkuasaan PATI yang lebih komprehensif dikenali sebagai Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI. Pelan ini membabitkan kerjasama beberapa kementerian, agensi kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP). Tindakan kerajaan untuk meminda Akta Imigresen 1959/63 ke arah hukuman yang lebih berat ke atas PATI adalah bertepatan dalam membendung isu ini.

Bagaimanapun, semangat patriotisme dan usaha murni NTF dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara tidak terkecuali daripada mendapat kritikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing. Kritikan berteraskan hak asasi manusia bertambah ketara apabila NTF mengusir keluar bot yang membawa PATI dari perairan negara.

MENUDING JARI

Terdapat pihak berkepentingan menuding jari mengatakan pencerobohan sempadan masih berlaku walaupun dengan kehadiran elemen NTF di sempadan. Janganlah kita mudah mempertikai keberkesanan NTF mengawal sempadan. Pernahkah kita berfikir situasi persekitaran sempadan negara begitu poros (berliang)?

Situasi kawalan sempadan bertambah kritikal jika ditinjau aset NTF sedia ada, amat menyedihkan. Status kapal dan bot serta kelengkapan pengawasan sempadan milik komponen NTF turut mendukacitakan. Ringkasnya, NTF tidak memiliki aset kawalan sempadan yang mencukupi. Walaupun NTF dalam serba kekurangan, komponen NTF tidak pernah patah semangat dalam memikul amanah dan tanggungjawab memperkukuhkan kawalan sempadan.

Berbekalkan semangat kental dan komitmen tinggi, komponen NTF masih digeruni oleh PATI, penyeludup dan tekong darat. Statistik tangkapan aktiviti haram rentas sempadan sudah cukup dijadikan ukuran betapa efektifnya kawalan sempadan yang dilaksanakan oleh NTF.

Sedarlah, keselamatan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama oleh setiap rakyat yang cintakan keamanan.

PENULIS berpengalaman luas dalam bidang operasi ketenteraan, secara khusus Military Operations Other Than War (MOOTW), Subject Matter Expert (SME) gerak saraf dan perang saraf termasuk operasi media serta operasi informasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN