Nasi lemak, nasi goreng dan kuetiau bukan sahaja merupakan makanan kegemaran masyarakat tempatan, tetapi juga pelancong dan warga asing yang berkelana di sini. Lihat sahaja kisah seorang YouTuber, Darren Cronian yang sanggup terbang dari Greece ke Malaysia hanya semata-mata ingin menikmati nasi lemak.
Begitulah penangan makanan kita yang boleh membuatkan seseorang jadi ‘ketagih’. Sekalipun kaya dengan pelbagai jenis makanan yang enak dan berwarna warni, namun kita masih memberi ruang yang luas kepada warga asing untuk memperkenalkan makanan tradisional mereka di sini. Buktinya, lambakan restoran warga asing seperti dari negara-negara Arab, Mexico, Sepanyol, England, India dan Turki. Mereka benar-benar beruntung di samping kita bertuah dapat mencuba pelbagai jenis hidangan.
Namun satu persoalan, bolehkah kita cari dan nikmati makanan Rusia di ini? Jawapannya, ya. Tetapi agak sukar mendapatkannya kerana bukan sahaja disebabkan kurangnya warga Rusia di Malaysia tetapi termasuk sikap kita sendiri yang tidak menggemari apa sahaja yang datang dari Rusia. Kecuali gadis-gadis jelita mereka!
Pada Jun lalu, saya berkunjung ke sebuah restoran dikenali sebagai Restoran Asia Tengah yang terletak di tengah-tengah ibu kota. Waktu itu, saya baru sahaja berkhidmat dengan Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia di Kuala Lumpur. Jadi, sudah tentulah saya teringin untuk mencuba makanan Rusia. Restoran yang bersaiz kecil ini diuruskan oleh seorang warga Rusia bernama Evgenii Kiselev, 55, atau nama Islamnya, Azlan Abdullah. Saya dan rakan, Anwar dihidangkan sejenis makanan tempatan Rusia, iaitu chebooreki bersama teh Uzbekistan. Rasanya memang enak.
Evgenii berkahwin dengan wanita Melayu dan kini menetap di Klang bersama dua anak perempuan mereka. Selepas berhenti kerja sebagai pengurus teknologi maklumat di sebuah syarikat pelancongan, dua tahun lalu, dia kini mengusahakan perniagaan makanan bersama isterinya.
“Di Rusia sememangnya banyak pilihan makanan yang sedap dan berkhasiat. Bagi yang baru nak cuba makanan Rusia, rasailah dahulu chebooreki. Ia merupakan snek yang mengenyangkan dan sesuai untuk seisi keluarga,” katanya.
Inti chebooreki terdiri daripada daging lembu, ayam, labu, rendang ayam dan kentang lenyek. Evgenii juga dalam proses membuat testimoni inti baharu, iaitu ayam keju dan lidah lembu.
“Walaupun sesetengah orang Malaysia agak skeptikal kerana rupa paras chebooreki ini lebih kurang sama dengan karipap, tetapi sambutan tetap ada bagi yang ingin mencuba.
“Kami menyediakan penghantaran untuk gorengan panas dan produk sejuk beku setiap hari,” ujarnya.
Menurut Evgenii, sejak penutupan kios pertama di Megan Avenue 2 pada September lalu, mereka sekarang beroperasi dari rumah.
Sementara itu, Evgenia Ezdina, 37, yang merupakan seorang peguam tetapi kini aktif menguruskan perniagaan Evgenia Kitchen memberitahu, dia amat menyukai makanan pedas tempatan khususnya nasi lemak.
“Saya masak pelbagai jenis makanan Rusia dari dapur rumah sekiranya terdapat pesanan yang rata-ratanya dalam kalangan rakan-rakan.
“Kemudian saya menggunakan khidmat penghantaran makanan ke destinasi pelanggan saya,” jelasnya yang sudah tiga tahun menetap di Malaysia.
“Antara makanan Rusia yang saya sediakan adalah pelmeni bersama ayam atau daging lembu. Selain itu, saya juga buat manti yang disaluti daging lembu,” katanya.
Dalam pada itu, manisan dan kek adalah antara yang mendapat banyak pesanan. Kek paling terkenal dalam kalangan pelanggannya ialah kek madu Medovik-Rusia. Kek ini diliputi lapisan demi lapisan madu bersama krim masam yang begitu lazat.
Wanita Rusia itu juga membuat kek Napoleon. Pasti ada yang terkejut mendengar nama kek persis Raja Perancis, Napoleon Bonaporte. Mengikut sejarah, kek ini dibawa masuk ke Rusia pada awal abad ke-19 sewaktu meraikan kejayaan menumpaskan tentera Perancis diketuai Napoleon pada 1812. Kek ini begitu terkenal di Rusia sehinggakan rakyatnya menganggap sebagai makanan kebangsaan mereka.
Sebenarnya terdapat begitu banyak untuk dicatatkan tentang makanan Rusia yang enak dan unik. Saya mencadangkan pembaca mencubanya sendiri.
Jangan risau, makanan dihasilkan Evgenii dan Evgenia adalah halal kerana kedua-duanya telah memeluk Islam dan begitu menjaga kebersihan serta kualiti makanan mereka.
Priyatnogo appetita atau selamat menjamu selera!
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.










