Mengurus persepsi era media sosial - Utusan Malaysia

Mengurus persepsi era media sosial

MEREKA yang melancarkan perang persepsi ibarat pengembala yang mengawal ribuan biri-biri hanya dengan satu tempikan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berhati-hati dengan media sosial. Inilah kilang persepsi paling besar lagi berpengaruh pada abad ini. Ketika media sosial menjadi salah satu daripada ‘rukun hidup’, jangan ambil mudah dengan apa sahaja yang digumpal kemudian membesar dan membadai bagai gelombang.

Perang persepsi yang paling besar tahun ini tidak lain momokan ‘kerajaan pintu belakang.’ Persepsi ini tidak ditangani dengan baik hingga sebahagian besar dalam kalangan rakyat percaya wujudnya ‘kerajaan pintu belakang.’ Padahal, proses itu bukan sahaja mengikut Perlembagaan malah melibatkan Yang Di-Pertuan Agong.

Kesan daripada persepsi ‘kerajaan pintu belakang,’ sebahagian dalam kalangan rakyat menganggap kerajaan sekarang zalim. Mereka pun bermuram durja kerana percaya ada individu dicantas dan dikhianati haknya. Inilah yang diratibkan oleh sesetengah dalam kalangan pemain media sosial.

Media sosial menjadi pentas utama melancarkan perang persepsi terhadap pihak lain. Frasa ‘pintu belakang’ terus meledak. Hingga kini, ada 47.5 juta entri di Google berkaitan ‘pintu belakang.’

Serentak dengan itu, muncul berjuta-juta ‘penganalisis politik’ dan ‘pakar undang-undang’ yang membahaskan isu ini di media sosial.

Mereka yang melancarkan perang persepsi ibarat pengembala yang mengawal ribuan biri-biri hanya dengan satu tempikan. Biri-biri akan patuh dan tidak pernah mempersoalkan apa-apa.

Begitulah juga pada era media sosial ini di mana ‘pengembala’ yang bijak mudah menguruskan ‘biri-biri’ yang malas berfikir.

‘Biri-biri’ ini memang tidak berfikiran kritis dan analitikal. Yang lebih hanya ego dan emosional. Mereka dibawa arus dan mengunyah apa sahaja yang disuap. Jenis ini tidak ubah ‘biri-biri’ kepada pihak yang berkepentingan. Mereka menjadi mangsa perang persepsi kerana tidak sedar kurang pengetahuan. Pada hal berfikir pun di sekitar kepala lutut, maknanya dalam radius yang sangat sempit.

TERSIHIR

Media sosial adalah gelombang besar lagi dahsyat kepada masyarakat yang tersihir dengan sensasi. Dalamnya ada berbagai-bagai jenis manusia. Tidak ketinggalan ‘penembak siber’ yang mencari makan di sana. Kita tidak kenal mereka tetapi mereka kenal sasarannya. Tetapi kalau tidak gelojoh dengan isu sensasi, susahlah untuk dijadikan mangsa.

Maka mengurus persepsi pada zaman kemuncak media sosial adalah berganda sukarnya. Tidak cukup dengan penafian kerana yang menjadi mangsa persepsi tidak percaya sesuatu yang bertentangan. Mereka menjauhkan diri daripada hujah atau pandangan berbeza.

Saya melihat sesetengah pihak begitu mudah membuat penafian terhadap isu-isu kritikal yang melibatkan reputasi dan kebolehpercayaan kerajaan di mata rakyat. Tertanya-tanya juga, fahamkah mereka tentang pentingnya strategi pengurusan persepsi untuk menangani isu-isu kritikal?

Ambil contoh pembentangan Belanjawan 2021. Banyak perkata yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang faedahnya menyeluruh kepada segenap lapisan rakyat. Tetapi semua itu ditenggelamkan oleh peruntukkan RM81.5 juta untuk wujudkan kembali Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Kerajaan pun diserang bertalu-talu oleh pemain media sosial yang termakan persepsi dicambahkan dengan tujuan sangat ketara politiknya. Tetapi agak bercempera untuk menangkis serangan.

Malah ada menteri yang cuba cuci tangan, tidak tahu dapat peruntukan sebanyak itu.

Sebenarnya yang membawa perhatian masyarakat pada isu Jasa, tidak lain orang politik yang ada kepentingan politik. Tetapi disebabkan masyarakat telah dididik untuk memetik yang sensasi, perkara-perkara besar mudah sahaja tenggelam.

H2O

Kita lihat sahaja pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menaikkan bantunan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM200 hingga RM300 menjadi RM1,000. Hal itu senyap sahaja kerana tidak memberikan faedah politik pihak tertentu.

Sepatutnya masyarakat boleh berfikir kenapa bantuan RM1,000 sebulan ini sepi sahaja di media sosial.Saya dapat membayangkan sekiranya Perdana Menteri mengumumkan pengurangan bantuan itu, kecaman akan bertalu-talu di media sosial. Kenapa? Yang baik untuk rakyat didiamkan, yang baik untuk politik dilambung-lambungkan.

Mengurus persepsi bukanlah seperti menyelesaikan soalan matematik atau sains. Pengurusan persepsi menuntut strategi kerana isu-isu berkenaan menjadi kritikal adalah hasil perang persepsi.

Dalam perang persepsi satu campur satu tidak semestinya dua atau H2O tidak semestinya formula untuk air.

Persepsi begini boleh menjejaskan reputasi kerajaan. Semua isu yang bertebaran di media sosial akan tertanam pada pemikiran rakyat. Penafian dengan retorik politik tidak membantu menjernihkan pemikiran rakyat terhadap sesuatu yang tidak betul.

Sebenarnya tidak ada jalan singkat untuk merangka strategi pengurusan persepsi. Jadi, jangan ambil mudah atau berpegang pada prinsip yang baik akan menjadi baik. Bersikap pasif hanya memberi peluang kepada pihak tertentu membesarkan gelombang persepsi yang buruk terhadap kerajaan.

Walaupun diserang bertalu-talu, bukanlah tidak ada penjelasan daripada kerajaan. Banyak yang menjawab dengan hujah kukuh, tetapi pada masa sama banyak juga jawapan retorik, longgar dan ini tidak menyumbang kepada pengurusan persepsi yang sepatutnya.

Pada era media sosial, benar akan menjadi tidak benar kalau kalah dalam memerangi persepsi. Yang tidak benar pula akan dilihat sebaliknya apabila ada pasukan hebat menemukan strategi berkesan mengalih persepsi pada maksud yang dikehendaki.

Benarlah seperti kata seorang teman, memiliki telefon pintar tidak semestinya pemiliknya juga turut luas pemikirannya kecuali menggunakan telefon itu untuk membuka lapis-lapis dimensi berfikir yang tidak terjangkau luasnya. Semoga suatu hari nanti ada ‘biri-biri’ yang berkata ‘tidak’ kepada gembalanya.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN