Mencari kaedah sesuai ganti UPSR - Utusan Malaysia

Mencari kaedah sesuai ganti UPSR

PENTAKSIRAN Bilik Darjah (PBD) dikatakan mampu memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk belajar tanpa terlalu cenderung dalam bidang akademik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dimansuhkan atau tidak akan diketahui tidak lama lagi. Buat masa ini, Kementerian Pendidikan sedang membuat penelitian rapi mengenai ujian tersebut yang diduduki oleh hampir setengah juta murid sekolah rendah pada setiap tahun.

Sebenarnya, soal pemansuhan UPSR sudah lama diperkatakan iaitu sejak 2016 lagi. Pada masa itu, kementerian sudah membincangkan soal tersebut kerana ingin memfokuskan kepada kemenjadian murid serta penilaian menyeluruh terhadap kemajuan pendidikan awal kanak-kanak di sekolah.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) pula ketika itu turut menggesa pemansuhan UPSR sebagai usaha mentransformasikan sistem pendidikan.

NUTP juga menjelaskan, UPSR membawa bebanan kepada murid. Oleh itu, jika pemansuhan peperiksaan dilakukan, tekanan ini akan berkurangan dan persepsi sesetengah masyarakat yang menganggap UPSR sebagai kayu pengukur kualiti bagi seseorang murid dapat dielakkan.

Seperti dahulu juga, apabila timbul ura-ura memansuhkan UPSR, timbul pelbagai rungutan dan ketidakpuasan hati sesetengah pihak. Samalah juga dengan budak-budak sekolah rendah dari tahun satu hingga tiga yang tiada apa-apa peperiksaan di sekolah dianggap tidak boleh dinilai prestasi mereka dalam pelajaran.

Belajar dan belajar tetapi tidak tahu sejauh mana pencapaian mereka. Maka sesetengah ibu bapa pula tidak ambil kisah tentang anak masing-masing kerana ukuran kebolehan anak-anak mereka tidak diuji.

UPSR bermula pada 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima. 1995, format Matematik diubah dan diperkenalkan soalan subjektif. Pada 2001, penilaiannya termasuklah kerja sekolah calon manakala pada ketika itu, subjek Sains diperkenalkan dalam kertas peperiksaan UPSR dan turut membabitkan amali sains.

Dari setahun ke setahun, peningkatan imej UPSR dilakukan termasuklah pada 2016, kertas-kertas soalan mempunyai elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Dari setahun ke setahun juga, pelbagai reaksi orang ramai, ibu bapa, ahli akademik dan sebagainya diambil kira untuk menentukan hayat UPSR dengan keperluan semasa.

Jika UPSR sebelum ini hanya berorientasikan lulus peperiksaan sebagai peperiksaan awam, UPSR mungkin difikirkan sesuai sebagai peperiksaan di peringkat sekolah sahaja manakala kaedah lain dicari sebagai menggantikan peperiksaan awam tersebut di peringkat sekolah rendah.

Jika UPSR dimansuhkan, bermakna tidak ada lagi ibu bapa yang hendak membanding-bandingkan anaknya dengan anak-anak jiran, rakan dan adik-beradik kerana ukuran kejayaan bukan terletak pada berapa A seperti sebelumnya.

ESEI, TEMU DUGA

Perkara yang sedang difikirkan oleh kementerian, jika UPSR dimansuhkan ialah kedudukan dan penilaian bagi murid-murid selepas ini adalah menerusi kaedah pentaksiran sepanjang masa, ujian esei dan temu duga.

Perubahan ini mestilah diterangkan dengan sejelas-jelasnya kepada ibu bapa mengenai kedudukan dan rasional kaedah penilaian untuk anak-anak mereka di peringkat sekolah rendah.

Bukan mudah persepsi jumlah A dalam subjek ini hendak diubah kerana ia merupakan satu ukuran klasik yang dianggap relevan sebagai penanda aras seseorang murid untuk dibawa ke sekolah menengah.

Walaupun sijil UPSR tidak dipandang sangat pada masa ini, tetapi setidak-tidaknya ia menjadi penentu ke mana hala anak-anak yang meninggalkan sekolah rendah ini akan pergi selepas itu, ke sekolah biasa atau ke sekolah berasrama penuh atau apa-apa lagi yang ada.

Maka apa-apa pun yang digantikan selepas pemansuhan UPSR, tentu sudah diambil kira oleh kementerian. Kajian demi kajian dilakukan berpandukan keperluan semasa, apatah lagi negara kita pun sudah memfokuskan kemahiran pelbagai bidang, kepentingan sahsiah diri, jati diri dan sebagainya tetapi bukan akademik semata-mata.

Kerana itulah kita lihat dalam pelbagai subjek di sekolah, pengisian temanya sentiasa berubah mengikut keperluan semasa. Maka disebabkan perubahan ini, ibu bapa pun sudah tidak mampu hendak mengajar anak-anak mereka walaupun dahulu ibu bapa mereka juga bersekolah tinggi.

Apa-apa pun nasib UPSR, kita tetap berharap jika UPSR dimansuhkan, kaedah penilaian ke atas murid-murid sekolah rendah ini tetap memfokuskan kemahiran asas seperti membaca, menulis, mengira. Inilah permulaan bagi pembentukan masa depan mereka.

Membaca untuk menggali pelbagai jenis ilmu, menulis untuk berinteraksi, manakala mengira untuk mengendalikan ekonomi. Kemahiran-kemahiran lain yang akan diperoleh oleh mereka berpandukan tiga kemahiran itu juga.

PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN