SIAPA sangka, di sebalik kepercayaan yang diberikan oleh bekas bosnya semasa berkhidmat di Meja Rencana, Utusan Malaysia suatu ketika dahulu, membuka lembaran bagi Dr. Azlinariah Abdullah untuk mengkaji mengenai Rohingya serta memahami lebih mendalam etnik yang berasal dari Myanmar itu.
Ketika itu, banyak sisi yang perlu dikupas mengenai etnik beragama Islam tersebut yang mendiami utara Rakhine di barat Myanmar termasuk isu-isu penculikan kanak-kanak dan pengemis.
Usaha mengumpul cerita dan kajian tersebut membawa Azlinariah mengembara sehingga Norway, Belanda, Thailand, Australia dan Yangon di Myanmar.
Ia diibaratkan membuat kajian tentang masyarakat yang tiada hak untuk mengembara ke mana-mana negara. Namun, pada masa sama membawanya ke banyak negara (citizen nowhere brought me everywhere).
Di Norway, dia ke sana atas dua tiket. Pertama, sebagai pengkaji Rohingya di Malaysia menerusi pembentangan kertas kerja berjudul Challenges Faced by Rohingya Community in Malaysia dalam satu persidangan yang menghimpunkan ramai warga Rohingya dari seluruh dunia. Kedua, liputan diaspora Rohingya di luar negara.
Kedua-duanya memberi pengalaman bermakna terutama dari aspek sosial dan meneroka dasar terhadap golongan pelarian dalam konteks pencari suaka Rohingya.
MENGOREK
Dia berjaya ‘mengorek’ cerita bagaimana etnik Rohingya yang asalnya pelarian (kebanyakannya tinggal di kem pelarian di Bangladesh, Thailand dan Malaysia) ditempatkan di negara ketiga atas sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketika ditempatkan di negara ketiga, kehidupan pelarian Rohingya lebih terbela. Mereka berjaya dalam kehidupan termasuk berkeluarga dan integrasi serta berasimilasi dengan baik bersama masyarakat tempatan. Malah anak-anak mereka juga mendapat pendidikan. Bukan itu sahaja, mereka juga layak menerima pencen serta menikmati keistimewaan sebagaimana rakyat tempatan.
Seorang etnik Rohingya yang ditemuinya semasa di Norway, Ismael Raof mengakui hidupnya agak senang di Denmark. Dia menerima pencen setiap bulan walaupun tidak bekerja, mempunyai rumah yang selesa manakala kebajikan anak-anak terpelihara.
Pun begitu, Azlinariah yang merupakan lulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Malaya (UM) memberitahu, Ismael yang pernah berlindung di Malaysia selama sembilan tahun sebelum ke Bangladesh dan kemudiannya ditempatkan di Denmark lebih menyukai negara ini. Rakyat Malaysia katanya sangat baik, berbudi bahasa dan pemurah. Walaupun di Denmark hidupnya lebih senang, namun keadaan cuaca di sana sangat sejuk dan sukar untuk beribadat ekoran kekurangan masjid atau surau.
Sementara di Belanda, Azlinariah bertemu Dr. Khubye. Khubye merupakan anak seorang mufti di Rakhine. Khubye dan bapanya melarikan diri ke Bangladesh. Dia ditempatkan di situ selama lima tahun sebelum ke Belanda. Kini, dia merupakan seorang doktor di London selain pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Rohingya Eropah (ERC).
Berkongsi detik pertemuan bersama Khubye untuk satu tugasan dan seminar musim panas pada 2016 membantu Azlinariah merungkai masalah kefahaman yang tidak jelas tentang etnik Rohingya.
“Hidup sebagai pencari suaka di negara orang seperti di Belanda sangat baik dan bersyukur. Tapi apabila tiba masanya, saya tetap mahu pulang ke Rakhine untuk menabur bakti.
“Saya masih ada keluarga, ibu saudara, sepupu dan sebagainya,” kata-kata Khubye itu sentiasa diingati Azlinariah. Ini kerana banyak persepsi tidak tepat dan kurang adil dilemparkan terhadap etnik Rohingya seperti mengkategorikan kesemuanya sebagai pelarian dan menganggap mereka tidak boleh berjaya. Padahal jika diberi peluang, mereka mampu buktikan sebaliknya.
SITI NURHALIZA
Semasa Di Yangon, Azlinariah berhasrat menjejaki etnik Rohingya yang pernah berada di Malaysia dan pulang ke Myanmar untuk meneruskan hidup. Namun, media tidak dibenarkan masuk ke Rakhine atas faktor keselamatan. Maka dia hanya sampai ke Yangon. Di sana, mereka enggan mengakui diri sebagai etnik Rohingya kerana tidak mahu disisihkan dalam aktiviti ekonomi tempatan.
Sebaliknya mereka mengakui sebagai Myanmar Muslim atau Pathay (campuran Myanmar dan Pakistan atau India melalui perkahwinan). Bagaimanapun, jika berjumpa di pasar besar Bogyoke Aung San di Yangon, golongan tersebut gembira dan bangga mengakui sebagai Rohingya. Kalau tahu kita orang Malaysia, mulalah mereka bercerita tak henti-henti. Berkongsi pengalaman semasa di Malaysia, minat kepada artis nombor satu negara, Siti Nurhaliza dan banyak lagi cerita. Paling seronok, mereka belanja teh tarik dan nasi beriani yang sedap pernah dijual di Malaysia, namun tidak dapat sambutan.
Ketika di sana, Azlinariah turut bertemu Imam Masjid Chulia, iaitu sebuah masjid besar di Yangon yang juga enggan mengakui dirinya sebagai Rohingya.
Azlinariah kini merupakan Penolong Naib Presiden, Pengarang Berita dan Penerbit di Astro Awani. Dia berjaya mengumpulkan 13 artikel hasil tulisannya yang disiarkan di portal Astro Awani untuk dikongsi kepada umum mengenai kepentingan isu Rohingya. Kisah Azlinariah itu juga dibaca dalam sebuah buku yang dihasilkannya bertajuk Pengembara Tanpa Pasport.
INFO
» Tajuk buku: Pengembara Tanpa Pasport
» Penulis & Penerbit: Dr. Azlinariah Abdullah
» Harga: RM25 + penghantaran RM5 (tidak dijual di pasaran tetapi boleh hubungi [email protected])










