Konflik yang melibatkan kumpulan otai bernama ‘besar’ dalam kes penyingkiran anggota serta masalah dalaman seakan menjadi lumrah sejak kebelakangan ini.
Tidak dinafikan perkara seumpama ini banyak berpunca daripada sifat ego dan kelemahan individu tertentu. ‘Nama besar’ serta bersifat legend bukanlah satu tiket untuk dihormati, adakalanya seakan tiada membawa makna apabila di penghujungnya berantakan sesama sendiri.
Lefthanded antara yang terkena tempiasnya. Konflik yang melanda Yan selaku pemain bass kumpulan ini bukan lagi rahsia, bahkan sudah berlarutan sejak Disember tahun lalu dan sehingga kini belum ada penyelesaian.
Bersama Mingguan Malaysia, sosok bernama Amran Marsiman atau lebih dikenali dengan nama Yan Lefthanded berkongsi luahan dan pandangan tentang apa yang berlaku di sebalik penyingkiran serta hijrah baharunya dalam pembabitan terkini menerokai muzik underground.
“Sehingga ke hari ini, saya masih tidak tahu punca disingkirkan dan tidak pernah dimaklumkan. Namun sebagai seorang profesional saya akur yang khidmat saya sudah tidak diperlukan lagi walaupun sudah bersama Lefthanded sejak awal penubuhannya lagi pada 1979.
“Saya merupakan anggota pengasas kumpulan ini bersama Man Kidal dan arwah Man Dayak. Di awal penubuhan dulu kami sudah aktif bermain muzik di kenduri kahwin serta menjadi band pengiring Ramli Sarip dan Rahim Maarof, kemudian barulah kami dikenali setelah menyertai Juara Rock pada 1983.
“Mereka kena ingat, nama saya tidak mungkin dapat dipadamkan daripada lipatan sejarah Lefthanded. Lagu-lagu ciptaan saya seperti Debunga Wangi, Kenangan Bersamamu dan Arah Yang Hilang adalah sebahagian kekuatan Lefthanded selama ini. Jadi perlu ada penyelesaian baik untuk kedua pihak menangani kemelut ini,” katanya mengulas panjang.
Kali terakhir dia bersama Lefthanded adalah dalam Konsert Rockmania 2019 yang dianjurkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 19 Oktober tahun lalu di Pulau Pinang, itu pun menurutnya kerana permintaan dari pihak RTM.
Ketika itu dia akui sudah tahu tentang perancangan ‘mereka’ untuk menyisihkankannya apabila langsung tidak dimaklumkan tentang Konsert Sunday Night Live Bersama Lefthanded di Hard Rock Cafe yang akan diadakan pada 1 Disember, malah gambarnya juga tidak digunakan di poster iklan dan promosi kecuali gambar Nash dan Man Kidal sahaja.
“Mereka perlu jujur kerana perancangan ini mereka yang buat dan aturkan. Seharusnya mereka hubungi saya dan berterus terang. Oleh itu, tidak ada isu kenapa saya tidak hubungi mereka. Perlu perjelaskan apa niat mereka. Kalau tanya saya pasti saya jawab ini adalah satu perancangan dan niat yang tidak elok,” katanya.
Jenama Lefthanded, kata Yan, bukan hak peribadi sesiapa. Beliau juga berhak menggunakannya.
Namun, jelasnya lagi, bagi mereka yang mahu menggunakannya perlulah ikut tatacara dan saluran betul, kerana dia masih hidup lagi.
“Saya akui dalam sesebuah kumpulan ini memang tiada anggota kekal. Namun perlu hormat antara satu sama lain. Jangan tipu peminat. Jangan sesekali guna ayat reunion kalau tidak mahu jemput anggota asal.
“Sebaiknya guna ayat reform. Kena ingat peminat Lefthanded kebanyakannya ‘otai’ belaka. Ramai hubungi saya dan luahkan rasa terkilan mereka,” ulasnya panjang lebar.
Sebagai pemuzik profesional yang pernah menggalas tanggungjawab bersama kumpulan ternama seperti Search dan XPDC, beliau menyifatkan langkah yang dibuat oleh ‘mereka’ ini cukup mengecewakan kerana tidak menghormati baktinya yang selama ini mengabdikan hampir 40 tahun hayatnya bersama Lefthanded.
Tidak menafikan setiap anggota ada kekuatan dan trademark tersendiri. Namun jika wujud permasalahan yang seolah tiada berpenghujung seperti ini, adalah lebih baik jika nama Lefthanded tidak dikaitkan sama sekali dalam setiap hala tuju masing-masing. Sejujurnya lebih baik jika bergerak atas nama sendiri.
Tukar kiblat muzik
Terbaharu, Yan dilamar oleh salah sebuah kumpulan underground, Suffercation yang telah lama bertapak di negara ini.
Idea tersebut dipersetujui oleh Pengarah Rockstage Entertainment, Talib Othman, selaku penerbit dan pengedar bagi album ini.
Sebagai seorang pemuzik profesional, Yan akui tugas tersebut bukanlah masalah besar baginya, cuma genre muzik sahaja berbeza dari sebelumnya.
“Pada mulanya saya berfikir, bolehkah mereka menerima atitude rock saya, kerana sebelum ini saya menghabiskan usia dan muzik hanya dalam genre tersebut, tapi kini nak main underground pula.
“Pertama kali di studio menggigil juga tangan, maklumlah muzik deathmetal ni fast dia lain macam. Tidak dinafikan pada mulanya pening juga kepala saya untuk hayati muzik macam ini, namun bila dah diberi kepercayaan saya cuba buat yang terbaik.
“Dua, tiga hari juga jari dan urat-urat saya tegang dan lenguh. Dan alhamdullillah kami siap rakam dalam masa cukup singkat.
“Memang ini pengalaman indah buat saya. Rakan-rakan dalam Suffercation pun tidak menganaktirikan saya. Kami sama-sama berbincang dan bertukar idea, walaupun saya bukanlah siapa-siapa dalam kumpulan ini,” katanya.
Menurut Yan, Suffercation dijadual mengadakan pertunjukan pentas pada hujung tahun ini bersama beberapa kumpulan underground lain dalam satu festival muzik. Namun masih belum ada kata putus memandangkan pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.
“Buat masa ini penganjur masih menunggu status yang akan dikeluarkan kerajaan. Jika ada rezeki nanti adalah, jika tidak mungkin akan tangguh ke satu tarikh sesuai. Dalam situasi sekarang ini kesihatan perlu diutamakan.
“Dalam kerjaya sebagai pemuzik semuanya saya sudah tempuh dan lalui, dari tahap paling rendah sehinggalah ke paling tinggi. Rasanya tiada apa lagi perlu saya kejar. Semuanya sudah dinikmati. Namun sebagai seorang pemuzik saya tetap mengabdikan diri dan mencurahkan karya selagi termampu,” katanya mengakhiri perbualan. – Khabar Legenda, Pancaindera










