Kita bakal ada vaksin sendiri? - Utusan Malaysia

Kita bakal ada vaksin sendiri?

Khairy Jamaluddin (kanan) berbincang dengan Naiyl M. Latypov (empat dari kiri) berhubung kerjasama dua hala antara Malaysia dan Rusia dalam bidang bioteknologi termasuk Sputnik V di Putrajaya, baru-baru ini. – TWITTER KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa bulan lalu, dunia dikejutkan apabila Rusia mendakwa berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 pertama di dunia. Vaksin yang diberi nama Sputnik V ini sebenarnya tidaklah begitu mengejutkan memandangkan dunia akur dengan kehebatan teknologi dan perubatan Rusia. Lihat sahaja ribuan pelajar Malaysia yang pernah dan sedang menuntut di bumi Rusia dalam pelbagai bidang.

Dalam penulisan kali ini, saya ingin memfokuskan kepada pembangunan vaksin Rusia yang mungkin boleh dikatakan jarang diperbincangkan atau didedahkan kepada masyarakat kita. Maka ada eloknya juga untuk kita meneliti vaksin Rusia yang sedang rancak dibangunkan ini. Untuk pengetahuan para pembaca, Sputnik V adalah vaksin berdaftar pertama di dunia yang dicipta berdasarkan platform berasaskan vektor adenoviral manusia yang telah dikaji dengan teliti. Sebelum itu, nama vaksin Sputnik ini diambil sempena nama satelit pertama Soviet, Sputnik-1 yang dilancarkan pada 1957.

Vaksin Sputnik adalah antara 11 calon vaksin dalam senarai Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang bakal menamatkan tahap akhir ujian klinikal dan memulakan pengeluaran secara besar-besaran. Seramai 40,000 sukarelawan divaksinkan di 29 pusat kesihatan di Rusia. Menurut Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF), Sputnik V disahkan 91.4 peratus berkesan berdasarkan analisis data titik kawalan akhir dalam ujian klinikal yang diterima selepas 21 hari pemberian dos pertama.

MOSTI

Platform Sputnik V mempunyai beberapa kelebihan utama termasuk keselamatan, keberkesanan dan tidak menyebabkan kesan jangka panjang yang negatif. Perkara ini dibuktikan oleh lebih 250 kajian klinikal selama dua dekad (sejarah penggunaan adenovirus manusia dalam vaksin bermula pada 1953). Lebih 100,000 orang telah menerima vaksin yang diluluskan dan didaftarkan berdasarkan vektor adenovirus manusia.

Pada 19 November lalu Duta Besar Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov mengadakan perbincangan rasmi dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) diketuai oleh Menterinya, Khairy Jamaluddin dalam usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara terutama bidang bioteknologi.

ANGKASAWAN

Menerusi kenyataan Facebook rasmi Khairy Jamaluddin, perbincangan tersebut turut menyentuh tentang akses kepada Malaysia bagi perolehan vaksin buatan Rusia iaitu Sputnik V yang telah menunjukkan data awal ujian klinikal memberangsangkan.

Sehingga kini, terdapat permintaan sebanyak 1.2 bilion dos vaksin Sputnik V dari 50 buah negara. Ujian klinikal bagi vaksin Sputnik V sedang dan telah dijalankan di negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Brazil, Venezuela dan India. Menurut laporan agensi berita Rusia, TASS bertarikh 18 Disember lalu, kerajaan India akan mengeluarkan sekitar 300 juta dos vaksin Sputnik V pada 2021. Baru-baru ini juga, Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin bertindak memvaksin angkasawan-angkasawan mereka seperti Oleg Artemyev dan Nikolai Chub dengan Sputnik V.

PERJANJIAN

Khabar gembira daripada Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan telah mengadakan rundingan akhir dengan Sinovac, Can Sino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta. Menurut kenyataan Perdana Menteri pada 22 Disember lau, perjanjian dengan Sinovac, Can Sino serta Gamaleya juga akan memberi nilai tambah terhadap sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat dan pembangunan negara. Ini termasuklah melakukan proses pembotolan vaksin di dalam negara, penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi.

Untuk pengetahuan semua, Gamaleya adalah Institut Penyelidikan Epidemiologi dan Mikrobiologi Rusia yang ditubuhkan pada 1891 berpusat di Moscow. Perwakilan Perdagangan Rusia di Malaysia juga sedang bergiat aktif dalam meningkatkan kerjasama dengan badan kerajaan antara kedua-dua negara untuk membawa masuk vaksin ke Malaysia secepat mungkin dan melaksanakan projek pemindahan teknologi bagi pembuatan vaksin tempatan.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×