Kini masanya orang muda teraju negara - Utusan Malaysia

Kini masanya orang muda teraju negara

USIA purata ahli Jemaah Menteri di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin sekarang adalah 57 tahun. – FACEBOOK PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM rencananya bertajuk Malaysia’s Mr. Yesterday the wrong man for tomorrow yang disiarkan dalam portal berita https://asia.nikkei.com, wartawan William Pesek mempersoalkan kewajaran rakyat memilih seorang tokoh lama sebagai pemimpin negara ini pada masa depan. Wartawan itu tujukan komennya kepada individu tertentu, tetapi saya kira kenyataannya terpakai juga kepada beberapa individu lain di negara ini.

Kebetulan, pada 25 November lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad juga berkata, masa bagi generasinya telah berlalu. Tiba masanya untuk generasi muda mengambil alih kepimpinan negara.

Pada 24 September lalu, Dr. Mahathir turut memaklumkan beliau tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang. Soalnya, apakah pemimpin-pemimpin lain (yang kini sudah lanjut usia) sependirian dengannya atau masih mahu terus memburu kedudukan dan kuasa sehingga akhir hayat?

Usia purata ahli Jemaah Menteri di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang adalah 57 tahun. Tidak ada menteri yang berusia 35 tahun ke bawah. Kita perlu ingat, lebih suku (28 peratus) daripada rakyat sekarang berusia antara 15 hingga 30 tahun. Sewajarnya ada seorang dua menteri muda daripada golongan mereka.

Ini tidak bermakna pengorbanan dan jasa pemimpin lama dilupakan dan tidak dihargai. Namun begitu, hakikatnya no one is indispensable dan landskap dunia kini didominasi oleh generasi Z yang hidup dan bergerak dalam alam digital (justeru, mereka digelar digital natives).

Portal berita luar negara https://gulfnews.com dalam siarannya pada 2 Januari lalu menyenaraikan 11 pemimpin negara termuda di dunia, iaitu:

1. Sebastian Kurz, 33. Menjadi ketua negara Austria pada Oktober 2017; pemimpin paling muda, digelar oleh media sebagi Wonderkid.
2. Sanna Marin, 34. Menjadi Perdana Menteri Finland pada 10 Disember 2019.
3. Oleksiy Goncharuk, 35. Menjadi Perdana Menteri Ukraine pada Ogos 2019.
4. Nayib Bukele, 37. Menjadi Presiden Salvador pada Jun 2019.
5. Xavier Espot Zamora, 39. Menjadi Perdana Menteri Andorra pada Mei 2019.
6. Carlos Alvarado, 39. Menjadi Presiden Costa Rica pada Mei 2018.
7. Jacinda Ardern, 37. Menjadi Perdana Menteri New Zealand pada Oktober 2017.
8. LeoVaradkar, 38. Menjadi Perdana Menteri Ireland pada Jun 2017.
9. Emmanuel Macron, 39. Menjadi Perdana Menteri Perancis pada Mei 2017.
10. Juri Ratas, 38. Menjadi Perdana Menteri Estonia pada November 2016.
11. Joseph Muscat, 39. Menjadi Perdana Menteri Malta pada Mac 2013.

FACEBOOK

Selain itu, dalam negara yang mengamalkan sistem monarki, kita juga temui ketua negara yang masih muda seperti Kim Jon Un (Korea Utara), Sheikh Tamim Hamad Al-Thani (Emir Qatar) dan Jigme Khesar Namgyel Wangchuckl (Raja Bhutan).

Di Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah (lahir pada 15 Julai 1946) ditabalkan sebagai Sultan pada 5 Oktober 1967, tidak lama selepas tamat pengajian di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom. Baginda pada masa itu berusia 21 tahun.

Fenomena kepimpinan muda ini berlaku bukan hanya dalam arena politik dan kerajaan (pentadbiran), bahkan juga dunia perniagaan dan industri. Mark Elliot Zuckerberg, iaitu pengasas Facebook kini memiliki harta bernilai USD101.5 bilion (RM410.6b) baru berusia 36 tahun.

Mengikut portal perniagaan https://careerbuzz.prosky/, pemimpin muda yang berjaya dalam dunia perniagaan dan industri mempunyai enam ciri penting jati diri:

1. Kesungguhan mengejar cita-cita (pursuit of passion).
2. Sanggup dengar dan belajar (listen and learn).
3. Sabar (be patient).
4. Sentiasa ingin tahu (stay curious).
5. Bersedia menghadapi kesulitan dan kepayahan (get comfortable with being uncomfortable).
6. Cekal, tekun (be persistent).

Dalam perkhidmatan kerajaan, seseorang boleh berkhidmat sehingga usia wajib bersara (kini 60 tahun). Bagi hakim di mahkamah tinggi ke atas, usia wajib bersara adalah 65 tahun. Difahamkan, dalam sektor swasta pun ada juga usia wajib bersara. Soalnya, jika ada usia wajib bersara dalam badan eksekutif dan badan kehakiman, kenapa tidak ada prinsip yang sama bagi badan perundangan?

TIME

Mengikut Global Parliamentary Report, terdapat 46,552 ahli Parlimen di seluruh dunia. Purata ada 245 ahli Parlimen dalam sesebuah negara (Malaysia kini ada 222 ahli Parlimen). Jumlah ahli Parlimen yang paling ramai adalah di China, iaitu 3,000 orang dalam Chinese National People’s Congress. Jumlah ahli Parlimen paling kecil adalah di Micronesia, iatu hanya 14 orang (http://archive.ipu.org/gpr-e/media/index.htm).

Usia purata ahli Parlimen di peringkat global adalah 53 tahun (lelaki) dan 50 tahun (perempuan). Mengikut Mandeep Singh (dari Centre for Public Policy Studies), usia purata ahli Parlimen kita pada masa ini adalah 55.5 tahun (https://www.malaysiakini.com/news/438194).

Mengikut portal https://www.forbes.com, dunia kini memerlukan pemimpin muda kerana mereka sanggup keluar dari kepompong keselesaan (comfort zone) untuk mencuba sesuatu yang baharu dan bersedia menghadapi kesusahan serta kesulitan. Selain itu, mereka bersedia menerima perubahan dan tahu masa depan adalah dunia mereka.

Mengikut majalah TIME (keluaran khas Davos 2020), populasi dunia kini berjumlah 7.5 bilion orang dan lebih separuh berusia 30 tahun ke bawah. Justeru, wajar sekali pemimpin dipilih atau dilantik dalam kalangan mereka pada masa depan.

Andainya kita masih ragu-ragu tentang kemampuan golongan muda menjadi pemimpin, ingat kembali satu episod lama dalam sejarah Islam. Pada tahun ke-11 Hijriah, Nabi Muhammad SAW sedang membuat persiapan untuk berperang dengan angkatan tentera Rom. Sahabat-sahabat dalam kalangan yang sudah berusia, seperti Abu Bakar ash-Shiddiq, Umar bin Khattab, dan ramai lagi bersedia untuk dipilih baginda. Akhirnya, orang yang dipilih untuk mengetuai tentera Islam adalah seorang remaja berusia 18 tahun, Usamah bin Zaid, yang sebaya dengan Hassan, cucu Nabi.

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN