Kewajipan wakil rakyat kepada anda - Utusan Malaysia

Kewajipan wakil rakyat kepada anda

Seorang wakil rakyat ada hubungan fidiusari dengan pengundinya berasaskan prinsip amanah yang diletakkan ke atasnya untuk sentiasa bertindak mengutamakan kepentingan pengundinya, bukan mengutamakan kepentingan peribadinya.– UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekiranya anda tanya seorang pengamal undang-undang mengenai kewajipan fidusiari seorang pengarah syarikat kepada syarikatnya dan pemegang syer syarikat tersebut, saya yakin dia boleh menjawabnya dengan mudah dan sempurna. Jawapannya terkandung dalam Seksyen 213 dan 214 Akta Syarikat 2016 (Akta 777) selain telah dihuraikan secara lebih terperinci dalam ratusan kes oleh mahkamah.

Sebaliknya jika anda tanya pengamal undang-undang yang sama, apakah kewajipan fidusiari seorang wakil rakyat, ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada anda selaku orang yang mengundinya (memilihnya), tidak mustahil beliau sukar memberikan jawapan memuaskan.

Ini kerana kedudukan seorang wakil rakyat sebagai fidusiari kepada pengundi di kawasannya (constituency) tidak dinyatakan secara khusus dalam mana-mana peruntukan undang-undang.

Saya ditanya isu ini oleh seorang sahabat, hujung minggu lalu. Secara jujur saya nyatakan padanya bahawa saya tidak pasti. Apa yang dapat saya nyatakan kepadanya pada hari itu hanyalah satu pendapat peribadi hasil penelitian penulisan beberapa pakar luar negara mengenai isu tersebut.

Apabila saya soal balik sahabat saya itu kenapa dia ingin tahu, dia maklumkan satu kes sivil yang difailkan oleh 10 orang pengundi di kawasan Gombak, Selangor (selaku plaintif) terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (selaku defendan) pada 1 Disember lalu.

Memandangkan kes itu kini sudah jadi sub judice, saya perlu berhati-hati membuat komen mengenai fakta kes yang mengikut laporan media tempatan adalah seperti berikut:

Kesemua plaintif merupakan pengundi di kawasan Gombak yang telah mengundi defendan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2008, di mana akhirnya defendan berjaya menjadi Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa.

Plaintif menyatakan dalam tuntutan bahawa defendan telah membuat representasi palsu dan membohongi mereka sewaktu berkempen, seterusnya memungkiri kewajipan fidusiari terhadap mereka setelah menjadi wakil rakyat.

Antara representasi palsu defendan tersebut adalah kenyataannya bahawa partinya, Pakatan Harapan (PH) akan menggantikan Barisan Nasional (BN) dan menerajui Kerajaan Persekutuan. Kerana kerajaan BN telah melakukan pelbagai salah laku pada masa lalu, dan defendan serta PH akan memastikan segala salah laku itu ditangani sepenuhnya.

LANGKAH SHERATON

Plaintif juga menyatakan defendan telah membuat pelbagai janji untuk melaksanakan reformasi di bawah pentadbiran PH, tetapi semuanya tidak berlaku kerana defendan telah merancang kejatuhan kerajaan PH menerusi ‘Langkah Sheraton’ pada 23 Februari lalu.

Plaintif juga menyatakan defendan telah bertindak bagi kepentingan dirinya, bukan bagi kepentingan pengundi di kawasan Gombak. Dan dengan itu defendan telah memungkiri kewajipannya sebagai seorang pemegang amanah (trustee), bertentangan dengan segala representasi (janji) yang telah ditabur olehnya kepada pengundi, termasuklah mengatur dan melaksanakan ‘Langkah Sheraton’ dan bekerjasama dengan BN untuk menjatuhkan kerajaan PH.

Plaintif memohon beberapa perintah mahkamah, antaranya satu deklarasi bahawa defendan (selaku Ahli Parlimen Gombak) memikul satu kewajipan fidusiari atau kewajipan seorang pemegang amanah (trustee) berasaskan hubungannya dengan pengundi Gombak dan dia telah memungkiri kewajipan tersebut.

Plaintif juga mohon satu deklarasi mahkamah bahawa defendan telah melakukan satu tort penipuan (tort of deceit) terhadap kesemua plaintif, selain melanggar sumpah perlembagaannya. Plaintif juga mohon ganti rugi daripada defendan.

Dalam laporannya mengenai kes ini, media tempatan menyatakan seramai 10 pengundi di Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap defendan ‘atas dakwaan menipu dan melanggar tanggung jawab sebagai ahli Parlimen’ kawasan berkenaan sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang melalui Langkah Sheraton.

Media tempatan juga melaporkan kesediaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk tampil sebagai saksi bagi pihak plaintif, andai mereka memerlukannya. Beliau dipetik sebagai berkata: “Saya melihat keberanian rakyat mempersoal kredibiliti dan integriti seorang ahli Parlimen seperti Mohamed Azmin sebagai satu proses mematangkan pendemokrasian negara.”

EKSKLUSIF

Mengikut Laith K. Nasrawin, seorang Professor Undang-Undang Awam di Universiti Jordan, seorang wakil rakyat ada hubungan fidusiari dengan pengundinya, berasaskan prinsip amanah yang diletakkan ke atasnya untuk sentiasa bertindak mengutamakan kepentingan pengundi, bukan mengutamakan kepentingan peribadinya.

Tambah profesor undang-undang itu lagi, seorang wakil rakyat memikul beban fidusiari untuk sentiasa bertindak secara jujur, berintegriti, suci hati (good faith) dan memelihara kepentingan pengundi (selaku benefisiari) yang sentiasa terdedah kepada risiko salah guna kuasa.

Selain itu, seorang wakil rakyat juga hendaklah setia secara eksklusif (owe an exclusive loyalty) kepada pengundi kawasannya dengan mengutamakan kebajikan mereka, bukan mengambil kesempatan daripada kedudukannya itu untuk mendapatkan keuntungan peribadi.

Tambahnya lagi, kewajipan fidusiari seorang wakil rakyat untuk sentiasa memelihara kebajikan pengundi di kawasannya adalah asas kepada sistem demokrasi representatif. Tanpa kewajipan fidusiari itu, tidak ada peranan untuk dimainkan oleh parti politik dan calon-calon mereka dalam sistem kerajaan berparlimen.

Kes yang difailkan oleh 10 pengundi Gombal terhadap defendan ini masih di peringkat awal lagi. Pastinya pasukan peguam defendan sedang mengatur strategi pembelaan dan jawapan mereka.
Sama-samalah kita tunggu perkembangan selanjutnya.

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN