Jika kita bercakap tentang golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, sudah pasti kita sukar nafikan golongan belia turut terjejas. Menurut dapatan Institut Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), berdasarkan statistik penduduk berumur 15 hingga 40 tahun pada 2019, golongan belia menyumbang kepada 46.8 peratus atau 15.25 juta berbanding keseluruhan populasi negara ini.
Masyarakat belia pula terbahagi kepada beberapa kelompok. Antara yang paling mudah dipandang adalah mahasiswa di institusi pengajian tinggi. Ya, mereka mungkin masih belum bekerja dan tidak punya tanggungan membebankan, namun mereka juga ada masa depan yang kini kian menjadi teka teki dan penuh sepi.
Mana tidaknya, kadar pengangguran dalam kalangan siswazah ketika di awal kemunculan Covid-19 menyumbang sebanyak 29.3 peratus daripada jumlah pengangguran di negara kita.
Pada Mei lalu, media melaporkan, statistik pengangguran di Malaysia meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang dengan kadar pengangguran 3.9 peratus setakat Mac lalu. Data ini boleh dirujuk melalui statistik utama tenaga buruh dikeluarkan Jabatan Perangkaan. Ini cukup berbeza tingginya berbanding 521,300 orang penganggur pada bulan sama, 2019.
Peningkatan kadar pengangguran kepada 3.9 peratus pada Mac lalu tidak boleh dinafikan turut dipengaruhi oleh impak negatif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
KPI
Berbalik kepada kadar pengangguran dalam kalangan siswazah, ia bukanlah isu baharu. Arkian, ia merupakan salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) utama setiap menteri yang dilantik mengetuai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sejak dari dahulu lagi – turut terpakai kepada Kementerian Pendidikan ketika penggabungan kedua- dua kementerian tersebut.
Kalakian, tahun ini menyaksikan permasalahan pengangguran siswazah makin parah dan membimbangkan dengan tambahan impak Covid-19 yang sedang melanda dunia.
Sudahlah jika tiada Covid-19 sekalipun, ibu bapa dan mahasiswa sudah gusar kerana peluang pekerjaan pilihan makin mengucup. Bukan kata terkesan kepada golongan siswazah yang baru masuk kerja sahaja, tetapi mereka yang sudah berpuluh dan berbelas tahun bekerja pun berisiko untuk diberhentikan dalam notis singkat.
Oleh itu, KPT menjadi rujukan dan tumpuan ibu bapa, keluarga dan 5.29 juta siswazah selepas kadar pengangguran akibat pandemik Covid-19 kian meningkat. Di mana lagi mereka hendak pergi jika tidak KPT? Mereka tertunggu-tunggu, apakah inisiatif kerajaan untuk mengecilkan jurang ini? Apakah langkah kemenjadian KPT dalam memastikan peratusan siswazah berjaya bekerja meningkat?
SKROL
Apatah lagi tiada siapa yang mampu beri jaminan pandemik ini akan terhenti pada mana-mana tarikh tertentu. Virus tanpa tarikh akhir ini sudah tentu akan terus menghantui kehidupan kita, sekali gus membentuk pelbagai implikasi negatif yang bertambah dari hari ke hari. Justeru, jika semua ini makin merebak teruk, apa akan terjadi kepada kumulatif siswazah yang sudah berjaya memegang skrol ijazah tetapi masih gagal memegang slip gaji pertama mereka?
RM100 juta khusus untuk KPT! Berita itu berlegar dalam media tanah air beberapa bulan selepas Covid-19 mula dikesan di Malaysia. Apa maksudnya? Ia mencerminkan betapa kerajaan melalui KPT cukup ‘menatang minyak yang penuh’ isu penganguran siswazah ini. Peruntukan dana sebesar itu bagi menangani kegusaran berhubung keadaan ekonomi yang tidak lagi serancak beberapa tahun lepas. Lebih mendalam lagi, dana tersebut untuk mencipta pekerja-pekerja baharu pasca siswazah dalam kalangan belia bagi menyelesaikan masalah pengangguran yang diperkatakan.
Untuk mereka yang masih belum peka tentang dana ini, anda wajar tahu bahawa KPT memperkenalkan program Penjana KPT-CAP atau Program Peningkatan Kerjaya untuk memberi fokus khas dalam menangani isu graduan menganggur. KPT-CAP memaksimumkan dana RM100 juta untuk kesejahteraan dan memudahkan hala tuju kerjaya para siswazah.
Tiga teras utama yang ditekankan dalam pelaksanaan program ini ialah latihan dan penempatan, keusahawanan dan gerak insan gemilang.
KPT-CAP bukan sekadar idea ‘lepas batuk di tangga’, sebaliknya KPT berusaha bersungguh-sungguh agar dapat menjadikannya penuh kualiti dan berimpak tinggi. Justeru, konsep pelaksanaan KPT-CAP direka bentuk mengikut kehendak, keperluan dan disiplin syarikat yang ingin mengambil atau merekrut para siswazah yang bakal diserap sebagai pekerja mereka.
LOC
Untuk tujuan itu, KPT meletakkan syarat tambahan agar syarikat yang menawarkan kursus tersebut perlu mengeluarkan Letter of Commitment (LOC) sebagai suatu bentuk jaminan kepada lepasan siswazah untuk diambil bekerja ke syarikat berkenaan usai kursus dijalankan.
Menariknya, KPT menjangkakan para siswazah yang berjaya melepasi kursus atau modul-modul KPT-CAP ini akhirnya berjaya diserap masuk dengan upah yang diterima sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 sebagai permulaan. Ini merupakan suatu konsep paling baik yang negara kita ada setakat ini.
Apa yang ditakuti saat ini, para siswazah enggan merebut peluang yang ada sehingga ia menjadi suatu projek gajah putih yang membazirkan wang rakyat. Renung kata-kata Menteri Pengajian Tinggi, “segalanya sudah terhidang, hanya tunggu graduan sahaja untuk mengemukakan permohonan.”
PENULIS ialah Timbalan Ketua Lajnah, Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami), Cawangan Putrajaya.










