Keluarkan jumlah yang perlu sahaja - Utusan Malaysia

Keluarkan jumlah yang perlu sahaja

Pengeluaran KWSP sebelum ini dijangka memberi kesan kepada pelaburan dan pendapatan seterusnya dividen dana simpanan persaraan terbesar negara itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SEMASA penggulu­ngan ucapan Belanjawan 2021, 26 November lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kira-kira lapan juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mengeluarkan wang simpanan daripada Akaun 1, tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan atau pendapatan berkurangan tahun ini.

Pengumuman tersebut ternyata melegakan banyak pihak terutama mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Namun, apabila KWSP megeluarkan kenyataan berhubung kriteria kelayakan pemohon berserta beberapa syarat, baru-baru ini, ia mendapat kritikan ramai. Mereka kecewa berikutan KWSP meletakkan pelbagai syarat serta dikatakan menyulitkan proses pengeluaran.

Sehubungan itu, KWSP tampil memberi penjelasan mengenai isu berkenaan. Ikuti soal-jawab antara KWSP dengan beberapa media arus perdana termasuk Utusan Malaysia.

MEKANISME i-SINAR

Bagaimana KWSP menetapkan mekanisme dan kriteria i-Sinar?
Perincian i-Sinar ditetapkan berikutan perbincangan rapat dan berterusan selama beberapa bulan berserta perundingan dengan pihak berkepentingan utama dari sektor awam dan swasta termasuk Kementerian Kewangan. Kriteria dan mekanisme tersebut ditetapkan selepas mempertimbangkan keutamaan keperluan harian dalam menghadapi cabaran Covid-19 serta mengimbangi mandat KWSP untuk melindungi simpanan ahli untuk persaraan mereka pada masa hadapan.

Bantuan i-Sinar ini juga dipertimbangkan dalam konteks bantuan-bantuan yang telah disumbang KWSP sejak Mac lalu dan oleh kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin) yang bertujuan mengurangkan beban aliran tunai dan tanggungan individu dan isi rumah.

Ahli KWSP rata-rata kecewa dengan syarat i-Sinar yang dikatakan menyusahkan mereka. Komen?
i-Sinar tidak bersyarat dan apa yang dicirikan adalah kriteria untuk memastikan permohonan selari dengan data sedia ada KWSP yang akan membolehkan proses kelulusan dipercepatkan dengan mudah dan selamat. Proses pengesahan diperlukan untuk mengelakkan penipuan dan pengeluaran i-Sinar secara haram oleh pihak ketiga.

Ahli yang memenuhi kriteria, permohonannya akan diluluskan secara automatik. Permohonan ahli yang dibuat dalam talian memerlukan pengesahan amaun maksimum sahaja. Permohonan bermula dari 21 Disember ini. Kategori 1 adalah untuk ahli yang tiada caruman untuk dua bulan berturut-turut semasa permohonan dibuat, suri rumah dan ahli yang telah lama tidak mencarum.

Data dalaman KWSP digunakan untuk mengesahkan perkara ini.

Kategori ini juga dibuka kepada ahli yang bekerja sendiri dan yang bekerja dalam sektor ekonomi gig. Oleh itu, tiada keperluan untuk mereka memberi dokumen sokongan ketika permohonan.

Kategori 2 pula adalah untuk mereka yang mengalami penurunan pendapatan tetapi tiada cara untuk KWSP mengesahkan kedudukan mereka tanpa dokumen sokongan. KWSP hanya dapat mengesan pengurangan gaji pokok (melalui caruman) tetapi tidak dapat mengesan pengurangan pada elaun dan gaji bekerja lebih masa.

Oleh kerana setiap situasi ahli adalah unik, Kategori 2 memberi ruang untuk KWSP mempertimbangkan situasi ahli berdasarkan dokumen sokongan. Mereka hanya perlu memohon secara dalam talian.

Mengapa KWSP tidak memberi kelulusan automatik i-Sinar bagi pemohon i-Lestari?
Situasi ketika KWSP melancarkan i-Lestari dan i-Sinar sangat berbeza. Negara berada dalam situasi berlainan pada ketika itu dan sekarang. Aktiviti ekonomi terhenti sepanjang tempoh Perintan Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac lalu.

Kini, sektor ekonomi dibuka semula dan sebahagian besar pekerja telah kembali bekerja dan mula mencarum semula dengan KWSP. Bagaimanapun, KWSP memahami situasi ekonomi adalah berbeza bagi setiap ahli dan bergantung kepada sektor pekerjaan dan industri masing-masing. Justeru, i-Sinar tersedia untuk membantu ahli-ahli tersebut.

Sebilangan ahli tidak mengalami pengurangan pendapatan 30 peratus tetapi memerlukan wang tunai untuk menampung kehidupan terutama golongan B40 dan M40. Juga mereka yang berpendapatan baharu kurang daripada sebelumnya. Bolehkah mereka dipertimbangkan?
Masih ada ruang di bawah Kategori 2 untuk mempertimbangkan permohonan ahli yang terkesan. Sekiranya mengalami pengurangan pendapatan atau gaji dan mempunyai dokumen sokongan sebagai bukti, ahli digalakkan memohon pada 11 Januari 2021.

KWSP akan mempertimbangkan permohonan tersebut. Ini bagi memastikan pintu tidak tertutup dan memberi peluang kepada seramai mungkin ahli untuk memohon i-Sinar yang dianggarkan lapan juta pemohon.

KWSP menetapkan pembayaran berperingkat enam bulan untuk i-Sinar sedangkan ahli memerlukan wang dengan cepat? Mengapa tidak one-off?
KWSP ingin memastikan ahli dibantu untuk tempoh selama yang mungkin dan memahami bulan pertama adalah penting untuk mereka membayar tanggungan dan perbelanjaan awal tahun seperti persekolahan anak. Oleh itu, pendekatan secara berperingkat adalah berdasarkan beberapa pertimbangan iaitu:

• Pertama, data semasa tanggungan ahli KWSP.

• Kedua, perlunya memanjangkan (spread out) tempoh bantuan kerana ketidaktentuan tempoh penularan pandemik Covid.

• Ketiga, bagi mengimbangi aliran tunai dan struktur pelaburan sedia ada KWSP.

Untuk peringatan, pembayaran pertama i-Sinar adalah sehingga RM5,000 (bagi mereka yang mempunyai baki Akaun 1 RM100,000 dan ke bawah).

Perlu diingatkan, bantuan-bantuan perlu dilihat dalam konteks menyeluruh termasuk bantuan-bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin) bertujuan mengurangkan beban aliran tunai dan tanggungan indidivu serta isi rumah. Contohnya, bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 juga akan diberikan Januari ini dan bantuan pinjaman bank seperti moratorium serta pengurangan bayaran juga tersedia untuk manfaat individu.

Bolehkah tempoh proses permohonan dipendekkan kerana ahli terdesak? Adakah terdapat aplikasi dalam talian supaya ahli tidak perlu berurusan di kaunter?
Bagi mereka dalam Kategori 1, KWSP mempercepatkan proses permohonan melalui kelulusan automatik menggunakan data dalaman. Dianggarkan ahli menerima pembayaran pertama pada pertengahan Januari 2021.

Bagi mereka dalam Kategori 2, KWSP menganggarkan masa pemprosesan antara dua hingga tiga minggu dari tarikh permohonan bagi pengesahan dokumen dan pertimbangan kes demi kes.

Ahli akan menerima bayaran pertama pada akhir Februari depan. Ahli dikehendaki membuat permohonan dalam talian. Sebelum memohon, ahli mesti melakukan perkara berikut:
1. Pastikan i-Akaun aktif.
2. Pastikan nombor telefon dikemas kini untuk menerima nombor TAC (boleh dilakukan di kaunter KWSP atau kios).
3. Pastikan nombor akaun bank aktif.

Apakah kaedah pengisian semula untuk i-Sinar?
Bagi ahli yang memohon i-Sinar, semua caruman pada masa depan akan disalurkan ke Akaun 1 sehingga jumlah yang dikeluarkan diisi semula. Setelah jumlah yang dikeluarkan diisi semula, caruman akan kembali kepada asal iaitu 70:30 di Akaun 1 dan Akaun 2.

Bolehkah tindakan diambil untuk majikan yang enggan bekerjasama dan memudahkan permohonan i-Sinar pekerja mereka?
KWSP akan memastikan tindakan diambil kepada majikan yang tidak bekerjasama untuk memastikan kelancaran permohonan i-Sinar ahli.

IMPAK KEPADA PERSARAAN AHLI DAN PELABURAN KWSP

Apakah impak i-Sinar kepada kedudukan kewangan KWSP?
Berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) kami, pelaburan KWSP terbukti mampu bertahan sejauh ini walaupun terdapat cabaran unik yang dihadapi oleh pasaran ketika ekonomi lembab. KWSP terus mempelbagaikan pelaburannya dalam pasaran domestik dan global dengan mempertimbangkan keperluan aliran tunai mencukupi setiap waktu termasuk waktu-waktu melampau dan tidak diduga seperti wabak.

Pada asasnya, KWSP adalah pelabur jangka panjang dan setiap keputusan pelaburan yang dibuat akan terus mempertimbangkan tanggungjawabnya untuk mengekalkan dana anggota walaupun dalam situasi yang belum pernah terjadi sebelumnya seperti Covid-19. Pada masa ini dan berpandukan struktur i-Sinar sedia ada, semua tindakan KWSP akan memastikan tiada impak kepada pasaran domestik.

Apakah kesan i-Sinar kepada persaraan masa depan ahli? Apa nasihat KWSP kepada mereka?
Walaupun KWSP memahami keperluan ahli untuk mengeluarkan simpanan mereka untuk bertahan dalam waktu sukar ini, KWSP berharap ahli dapat membuat perancangan mengenai jumlah yang diperlukan agar mereka dapat memenuhi keperluan hari ini sambil meminimumkan kesan persaraan pada masa hadapan. KWSP mengalu-alukan ahli untuk berjumpa Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) bagi mendapatkan sebarang nasihat kewangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN