MUKADIMAH
SEJAK kebelakangan ini, isu membabitkan kaum dalam media sosial seolah-olah semakin ketara dan agak membimbangkan. Lihat sahaja kes anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang mati dipercayai akibat parah selepas dipukul dalam kejadian rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor. Pelbagai komen berunsur kaum oleh netizen dapat dibaca di media sosial.
Bukan itu sahaja, isu sekolah-sekolah vernakular ditimbulkan semula ekoran ramai warganegara yang masih tidak fasih berbahasa Melayu hinggakan ada yang terpaksa menggunakan khidmat penterjemah ketika berurusan dengan kerajaan.
Tapi, benarkah jurang hubungan antara kaum di negara ini semakin melebar?
Bagi Profesor Antropologi Sosial di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), PROFESOR DR. SARJIT SINGH, beliau berharap memasuki tahun baharu 2021 Jumaat ini, isu-isu sedemikian tidak lagi cuba ditimbulkan oleh mana-mana pihak.
Menurutnya, rakyat berbilang kaum di negara ini seharusnya menanam azam untuk lebih bersatu hati, berdiri teguh dan bernaung di bawah Jalur Gemilang yang menjadi simbol kebanggaan kita selama ini.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, Sarjit yang juga Penasihat Sekretariat Rukun Negara UPM dan Ahli Institut Integriti Malaysia berharap, 2021 bukan sahaja menjadi azam untuk menghentikan penularan virus Covid-19 dan memulihkan ekonomi dalam kalangan rakyat berbeza bangsa dan agama, tetapi juga mengeratkan lagi perpaduan sesama mereka.
Ikuti temu bual tersebut baru-baru ini:
UTUSAN: Harmonikah hubungan pelbagai kaum di negara ini?
SARJIT: Masyarakat hidup harmoni dalam rukun damai. Kita baru saja meraikan sambutan bersejarah ulang tahun ke-50 Rukun Negara. Sambutan tersebut mempunyai hubungan sejarah dan sosial masyarakat. Perlu ditegaskan, kita tidak mempunyai banyak masalah dalam mengurus hubungan dan keganasan etnik di Malaysia.
Sehingga kini, dua peristiwa rusuhan kaum iaitu 13 Mei 1969 dan Kampung Medan 2001 berjaya ditangani secara berkesan oleh kerajaan. Pada hemat saya, kemiskinan adalah punca utama kedua-dua insiden tersebut.
Peristiwa tersebut telah mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat agar perlunya hidup bersama, saling membantu dan menghormati antara satu sama lain. Saya lihat pada masa kini, masyarakat kita hidup secara harmoni dan mulai memahami kepelbagaian sebagai kekuatan kita bersama.
Apa pandangan anda mengenai Agenda Perpaduan Nasional ketika negara dilanda pandemik Covid-19?
Agenda Perpaduan Nasional masih diusahakan secara gigih oleh kerajaan sejak merdeka pada 1957 dan pembentukan Malaysia 1963. Secara realitinya, kita masih belum mencapai perpaduan nasional seperti yang diidamkan, namun kita sudah mencapai kesepaduan sosial yang harmoni.
Saya perhatikan, kesepaduan sosial dalam kalangan masyarakat semakin utuh semasa dilanda pandemik Covid-19. Hal ini kerana masyarakat saling bekerjasama dan menyantuni untuk hidup bersama bagi menangani pandemik tersebut.
Inilah kekuatan masyarakat Malaysia kerana kita saling memahami, memerlukan dan rasa bersatu dalam mengharungi pelbagai cabaran termasuk situasi Covid-19. Pada hemat saya, pandemik ini adalah satu rahmat untuk kita berfikir sejenak mengenai tujuan hidup di dunia yang indah ini.
Saya pernah tegaskan, sebelum Covid-19, kita lihat banyak perdebatan, konflik dan persaingan. Memang ada juga kerjasama tapi agak terbatas, Namun, ketika pandemik menular, kita lihat kerjasama dalam masyarakat semakin tinggi. Konflik seolah-olah sudah tiada, isu melibatkan perkauman sudah tidak kelihatan sekarang.
Apa yang menarik, pelbagai institusi agama seperti masjid, gereja, kuil, gurdwara dan wat memainkan peranan membantu pelbagai masyarakat tanpa mengira latar belakang agama. Saya fikir, inilah tahap perpaduan yang istimewa dan bersejarah. Usaha murni ini perlu diteruskan agar kita dapat hidup secara kolektif dan saling memerlukan, bukan hanya semasa bencana semata-mata.
Sekolah vernakular cetuskan jurang besar antara kaum. Benarkah?
Sekolah vernakular tidak dilihat sebagai punca masalah perpaduan, sebaliknya ia legasi sejarah yang perlu diraikan. Terdapat juga ramai ibu bapa bukan Cina yang menghantar anak mereka belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kerana pelbagai faktor seperti tahap disiplin tinggi, peri pentingnya Matematik serta cara pembelajaran yang tegas membentuk pelajar lebih matang dan berfikir secara kritikal.
Sebagai ahli akademik dan aktivis sosial, saya memperjuangkan slogan Perpaduan dalam kepelbagaian. Itulah kekuatan Malaysia.
Banyak negara mencemburui kehebatan Malaysia dalam mengurus perpaduan kepelbagaian aspek. Buktinya, pelbagai perayaan diraikan, pelbagai sekolah aliran dibenarkan, pelbagai berita disampaikan dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Mandarin, Tamil serta Inggeris di media arus perdana dan pelbagai pusat ibadah dibina untuk kerohanian. Maka semua ini membuktikan kepelbagaian atau diversiti diraikan secara kolektif untuk tujuan mengukuhkan kesepaduan sosial bagi mencapai perpaduan nasional dalam masyarakat yang warna-warni sifatnya.
Kewujudan Kementerian Perpaduan Negara dipertikai. Komen anda?
Saya yakin dengan adanya kementerian ini, pelbagai usaha untuk mengurus kepelbagaian etnik akan lebih bersepadu dan inklusif.
Kementerian ini boleh memainkan peranan penting untuk membina satu dasar perpaduan yang inklusif dengan pendekatan bawah ke atas seperti mana dilaksanakan dalam merencana Pelan Tindakan Perpaduan Negara berdasarkan pandangan dan cadangan rakyat untuk mengukuhkan perpaduan nasional.
Pendekatan yang digunakan oleh kementerian ini dalam mendengar suara dan naratif rakyat perlu dicontohi oleh kementerian-kementerian lain untuk memahami pelbagai isu berasaskan pandangan dan pengalaman masyarakat agar agenda kemakmuran bersama dapat direalisasikan secara berkesan.
Apa keutamaan kerajaan untuk rakyat pada masa ini?
Kerajaan perlu terus memberikan tumpuan utama terhadap kebajikan rakyat dalam menangani Covid-19 kerana ia telah menjejaskan kehidupan mereka terutama golongan B40 dan M40. Isu-isu seperti kos sara hidup, kesihatan dan pengangguran paling terkesan.
Saya percaya, pelbagai pakej rangsangan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) telah memberi harapan baharu kepada masyarakat untuk mengurus kehidupan dan meringankan beban mereka.
Perlu ditegaskan, masyarakat global memandang serius pandemik ini yang menjejaskan aspek sosial dan ekonomi sesebuah negara dan rakyatnya. Pelbagai bantuan yang diberikan oleh kerajaan mendapat sambutan positif kerana adanya keperluan mendesak daripada golongan B40 dan M40. Di sinilah letaknya persefahaman antara kelas sosial dalam masyarakat untuk saling membantu.
Perlukah kebebasan bersuara disekat?
Kebebasan bersuara adalah penting, namun perlu ada batasan yang munasabah. Kita tidak boleh meluahkan sesuatu perkara sesuka hati kerana ada batasan yang perlu dihormati seperti keharmonian etnik dan keselamatan negara.
Tiada keperluan untuk mengehadkan ‘skala’ kebebasan bersuara. Kita perlu menghormati prinsip kelima Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan dalam interaksi masyarakat.
Terdapat segelintir ahli politik yang gemar memainkan isu perkauman untuk meraih populariti dan sokongan politik. Perkara ini perlu dihentikan kerana ia tidak membawa kebaikan kepada masyarakat yang cintakan keamanan dan kedamaian, sebaliknya menunjukkan teladan baik semasa perbahasan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta ketika kempen politik.
Generasi muda memerhati gelagat mereka yang kadangkala menunjukkan sifat yang tidak baik untuk diteladani.
Akta Hasutan masih relevan?
Akta Hasutan 1948 masih relevan untuk memastikan keharmonian dan kestabilan sosial. Masyarakat perlu menjaga tutur kata dan adab agar tidak menghasut dan menghina institusi diraja, agama, kaum, merendahkan martabat bahasa Melayu dan sebagainya seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penggunaan media sosial tanpa berhemah banyak mengundang masalah apabila terdapat segelintir pengguna mula berani menyentuh sensitiviti agama dan institusi diraja.
Cadangan untuk mengembalikan semula perpaduan rakyat?
Usaha kerajaan memperkasakan agenda perpaduan seperti pelaksanaan Rukun Negara, Rukun Tetangga, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, sambutan perayaan masyarakat, Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi (IPT) adalah untuk membina persefahaman bagi mencapai perpaduan dan keharmonian sosial dalam kalangan masyarakat.
Kerajaan perlu sentiasa fokus dengan agenda pembangunan sosial dan ekonomi yang adil agar tiada rakyat yang tercicir daripada menikmati pembangunan.
Pada masa sama, jurang pendidikan dan digital antara masyarakat bandar dan luar bandar serta pedalaman juga perlu diberikan perhatian, malah pandangan generasi muda juga perlu diberi perhatian agar mereka turut berasa dihargai dan bertanggungjawab dalam usaha memajukan negara.
Sementara para pembuat dasar dan pegawai kerajaan memahami segala dasar sedia ada dan melaksanakannya secara adil dan berintegriti agar masalah sosioekonomi dihadapi golongan B40 dan M40 dapat ditangani secara tuntas dan bersepadu.
Oleh itu, ahli politik wajar menjalani kursus Rukun Negara dan Perpaduan Nasional untuk meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian (diversiti) masyarakat dan undang-undang di negara ini. Perlu ditegaskan, perpaduan nasional adalah matlamat utama serta idaman semua, namun tindakan yang dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut memerlukan kesungguhan dan komitmen secara kolektif, bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.










