AWAL bulan lalu, negara digemparkan dengan kes pembunuhan kejam Siti Nor Surya Ismail, 19, di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, Hulu Terengganu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa ditemukan mati tertiarap dengan pergelangan tangan kirinya putus di samping kesan kecederaan lain pada muka dan badan.
Tragedi berdarah itu menjadi bualan ramai apabila polis mendedahkan suspek utama pembunuhan iaitu Siti Nur Athirah Azmi, 19, merupakan rakan baik mangsa. Siti Nur Athirah yang menuntut di tingkatan enam didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian Siti Nor Surya dengan motif dipercayai berpunca daripada kata-mengata semasa datang ke rumah mangsa.
KRONOLOGI
Berdasarkan kronologi kes, polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan tertuduh sebagai senjata dalam kes pembunuhan itu, namun barangan lain termasuk beg yang dibuang di Sungai Telemong gagal dijumpai.
Ketika kali pertama dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang pada 3 November lalu, tertuduh hanya menundukkan kepala dan air matanya bergenang. Bagaimanapun, emosinya tenang semasa dibawa kali kedua ke mahkamah sama untuk permohonan lanjutan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan disusuli pertuduhan pada 16 November lalu sebelum kes disambung untuk sebutan semula pada 10 Januari depan.
Saya berpeluang menemu bual ibu bapa Siti Nur Athirah di kediaman mereka dan difahamkan, anak sulung daripada dua beradik itu merupakan pelajar cemerlang menerusi keputusan 9A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula 4A.
Kejadian jenayah membabitkan tertuduh sekali gus memberi isyarat, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan menempatkan kaunselor khas untuk pelajar tingkatan enam di setiap sekolah di negara ini.
PALING DEWASA
Saranan tersebut ada asasnya kerana sebagai pelajar paling dewasa di sekolah, mereka dilihat lebih matang dan tidak cenderung melakukan kesalahan disiplin berbanding adik-adik dalam tingkatan satu hingga lima.
Pelantikan guru kaunseling khas bakal membolehkan kaedah pengendalian pelajar tingkatan enam dibuat secara lebih berfokus dan berkesan kerana mereka terdedah kepada masalah kemurungan di samping tekanan.
Sehubungan itu, kementerian digesa mengkaji keperluan untuk menambahkan bilangan kaunselor di sekolah-sekolah bagi mengelak isu-isu sosial dalam kalangan pelajar terus berleluasa.
Difahamkan, pelantikan guru kaunseling pada masa ini adalah seorang di setiap sekolah.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.










