MUNGKIN salah satu kekurangan Putrajaya yang tidak disedari banyak pihak ialah wilayah terkecil ini langsung tiada institusi kepenjaraan. Situasi sama seperti jirannya, Kuala Lumpur.
Cuma bezanya selama 101 tahun, warga ibu kota itu pernah bangga dengan Penjara Pudu yang dibuka penjajah British pada 1895 dan megah mencatat aneka ‘sejarah’ menarik waima bertaraf dunia. Antaranya dimasukkan dalam The Guinness Book of Records untuk lukisan mural terpanjang di dunia pada 1984 dengan jarak 262 meter, dihasilkan banduan tempatan bernama Khong Yen Chong.
Ironi selepas ditutup pada 1996, generasi muda Putrajaya mungkin cuma mengenali apakah itu penjara jika pernah melalui lebuh raya bersebelahan Kompleks Penjara Kajang, Selangor.
Antara punca Penjara Pudu ditutup dan berpindah ke Sungai Buloh, Selangor dek lokasinya di tengah bandar yang sesak waima berdepan dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur!
Selain itu, isu kesesakan teruk banduan hingga terpaksa tidur bergilir-gilir akibat tiada ruang untuk diisi berbanding kapasiti idealnya 2,000 tahanan tetapi dimuatkan mencecah 6,500 tahanan.
POLIS RAJIN
Isu ini pernah dibangkitkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar akhir tahun lepas, mendedahkan 25 daripada keseluruhan 38 penjara di negara ini ‘nazak’ sesak. Pada ketika itu, jumlah banduan yang sedang menjalani hukuman penjara di seluruh negara direkodkan sudah mencecah 74,000 orang berbanding sepatutnya hanya 52,850 orang.
Di mana silapnya? Adakah polis kita terlebih ‘rajin’ menangkap penjenayah atau penjenayah kurang mahir melarikan diri atau sistem mahkamah terlalu cekap menjatuhkan sabit hukum penjara?
Mungkin ada dilema antara pihak penguatkuasaan undang-undang dan perundangan sendiri tetapi hasilnya, penjara dibebani lebihan banduan hatta berlaku kluster wabak Covid-19.
Sekadar rekod tahun lalu, Penjara Kota Kinabalu di Sabah sesak lebih 2,000 banduan diikuti Sungai Buloh, Kajang serta Seberang Perai di Pulau Pinang dan Pengkalan Chepa, Kelantan.
Senario sama dialami hampir semua negara dan Amerika Syarikat (AS) unggul paling ramai banduan iaitu 665 per 100,000 penduduk, menurut Institut Kajian Dasar Jenayah di Britain.
Kajian meliputi 223 sistem kepenjaraan di semua negara merdeka dan wilayah berdaulat itu mendapati ada lebih 11 juta banduan di seluruh dunia dengan pertumbuhan 3.7 peratus.
Negara paling tinggi kemasukan banduan ialah Kemboja sebanyak 68 peratus, Nicaragua (61%), Mesir (53%), Filipina (48%), Indonesia (45%), Ecuador (37%) dan Turki (31%).
Namun, ada pula negara mencatat kejatuhan banduan iaitu Mexico 23 peratus, diikuti Romania (22%), Kazakhstan (21%), Ukraine (19%), Jepun (15%), Vietnam (11%) dan Rusia (10%).
Anehnya, ada negara yang dilabel miskin, namun kadar banduan bagi setiap 100,000 penduduknya boleh dianggap setaraf negara maju di Eropah, antaranya India dan Pakistan.
Tidak ketinggalan Afghanistan, Bangladesh, Burundi, Mozambique, Nepal, Sierra Leone dan Timor Leste yang kadarnya rendah hampir setara Jepun cuma 41 per 100,000 penduduk.
Senario penjara di Malaysia pula agak sederhana tahap kesesakannya di peringkat Asia Tenggara apabila berada lebih baik berbanding Thailand, Singapura, Filipina dan Kemboja.
Lucunya, negara kita di belakang Myanmar, Vietnam, Brunei, Laos dan terbaik iaitu Indonesia yang mencatat kesesakan paling rendah. Sekali lagi, di mana silapnya penjara Malaysia?
IMPORT TAHANAN
Mungkin kita patut belajar daripada sistem negara rantau Eropah Barat yang kurang banduan seperti Belanda yang terpaksa ‘import’ tahanan dari negara jirannya, Jerman dan Belgium. Bayangkan, penjara tertua negara itu di Utrecht berusia 158 tahun pun kena tutup. Bukan kerana isu kesesakan macam Penjara Pudu, tetapi tiada banduan selama lima tahun berturut-turut!
Kerajaannya juga mengubah penjara menjadi hotel agar ada hasil dan lebih produktif daripada terbiar kosong sunyi dek kadar jenayah amat rendah dan warden pula ‘bosan’ tiada kerja.
Hakikatnya, ada usaha bagi atasi kesesakan penjara Malaysia bahkan dianggarkan lebih 11,000 banduan sepatutnya boleh dibebas lebih awal di bawah sistem parol yang wujud sejak 2008.
Ini diakui Timbalan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak ketika membuat lawatan ke pejabat Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak) di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Beliau memuji inisiatif badan amal itu bekerjasama dengan pihak penjara melalui program I-Kembali untuk banduan berstatus Orang Bebas Berlesen diserapkan Pergak memasuki alam pekerjaan dengan pemantauan pejabat parol daerah, sekali gus mengurangkan kebergantungan majikan kepada pekerja asing.
“Setakat ini, seramai 32,000 banduan menjalani sistem parol dan hampir 5,000 lagi mengikuti sistem kehadiran wajib yang banyak membantu meringankan masalah kesesakan penjara,” katanya.
Apa yang pasti, Malaysia belum terlewat mencontohi Belanda dan siapa tahu, suatu masa, penjara negara kita hanya tinggal sejarah. Namun, bolehkah perkara mustahil ini menjadi realiti?










