Keakraban hubungan dua hala antara Rusia dan Malaysia menjadi pencetus semangat kepada seorang pemuda kelahiran Moscow untuk mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mendalam.
Pavel Naydenov, 24, sanggup menempuh cabaran mempelajari bahasa Melayu yang kurang popular dalam kalangan pelajar Sarjana Fakulti Pengajian Institut Asia dan Afrika di Universiti Moscow kerana beliau percaya peluang lebih besar menanti dalam kerjayanya pada masa akan datang.
Walaupun pada mulanya agak kekok untuk menyesuaikan diri dengan bahasa asing, namun atas dorongan keluarga, pensyarah dan rakan-rakan, beliau berjaya menguasai bahasa Malaysia dalam masa amat singkat. Malah beliau mampu menulis dengan baik walaupun sebelum ini sudah terbiasa dengan abjad Cyril yang jauh berbeza dengan tulisan Rumi.
Sepanjang tempoh enam tahun mempelajari bahasa Melayu di universiti, Naydenov yang kini merupakan Penolong Duta Besar di Kedutaan Besar Persekutuan Rusia di Kuala Lumpur mampu berkomunikasi dengan lancar serta boleh menguasai tatabahasa secara baik.
Malah keunikan Malaysia dengan masyarakat berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India dan etnik lain membuatkannya jatuh cinta dengan negara ini. Budaya negara yang unik seperti adat perkahwinan yang pelbagai, variasi makanan, tempat percutian, lokasi bersejarah, kraf tangan serta sikap penduduk yang lembut, mesra dan mudah menghulurkan bantuan menyebabkan dia percaya pilihannya untuk menetap di Malaysia adalah tepat.
“Pertama kali tiba di Malaysia, saya tidak sangka penduduk negara ini begitu ramah dan tidak lokek dalam memberi bantuan seperti menunjukkan jalan dan menempah kenderaan e-hailing untuk memudahkannya bergerak,” katanya yang menggemari sate dan durian.
PEMBACA SETIA
Selain sentiasa bertutur dengan rakan sekuliah dan pensyarah, dia gemar membaca akhbar Utusan Malaysia bagi meningkatkan kefasihan dalam bahasa Melayu. Pada awalnya, pensyarahnya yang pernah mengajar di Universiti Malaya memperkenalkan akhbar Melayu tertua negara itu semasa sesi kuliah.
Setelah beberapa kali membaca akhbar tersebut, dia menyukai isi kandungannya dan kini menjadi rutin harian.
Selain membaca, jejaka yang pernah menyertai Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri pada 2015 itu turut gemar menonton filem arahan P. Ramlee, antaranya Bujang Lapuk dan Madu Tiga selain Sepet arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.
Pun begitu, beliau sedikit terkilan kerana Malaysia kurang mempromosi persembahan teater, tidak seperti negara asalnya.
Dia yang meminati penyanyi Najwa Latif itu mengakui masih agak lemah dalam memahami pelbagai loghat di negara ini dan berhasrat untuk mempelajari melalui pelbagai medium termasuk bercuti ke sesebuah negeri, hadir ke majlis perkahwinan ataupun mengenali budaya setiap etnik dengan lebih mendalam.
GUNUNG KINABALU
Selain gemar bercuti ke pulau-pulau di Malaysia untuk menikmati suasana tenang tanpa hiruk-piruk kota, beliau tertarik dengan sukan tradisional seperti baling selipar dan tarik upih. Dia memasang angan-angan untuk mendaki Gunung Kinabalu pada suatu hari nanti.
“Saya telah membeli tiket penerbangan ke Sabah dan sepatutnya ke sana pada Mei lalu. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya terpaksa batalkan niat tersebut,” ujarnya.
Pun begitu, impian itu tidak akan mati begitu sahaja dan beliau menunggu masa sesuai untuk merealisasikannya.
Walaupun beberapa kali ke Malaysia bersama keluarga sebelum memulakan kerjaya di sini, dia masih belum berpeluang ke Pantai Timur dan teringin ke sana untuk mempelajari budaya, adat dan menikmati makanan tempatan.
Beliau yang memiliki kehebatan berpantun itu begitu teringin menjejakkan kaki ke Taman Negara di Pahang serta melawat Masjid Kristal dan Masjid Lapan Kubah atau dikenali sebagai Masjid Rusia di Terengganu.










