MUKADIMAH
BAGAIKAN hidup segan mati tak mahu. Itu perumpaan digambarkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung keadaan Mara Digital yang kini seperti nyawa-nyawa ikan.
Penubuhan pusat sehenti perniagaan teknologi maklumat (IT) yang dikhususkan kepada usahawan Melayu bumiputera, lima tahun lalu itu adalah hasil inisiatif dan tindakan berani beliau ketika menjawat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semata-mata mahu membantu golongan itu.
Ismail Sabri yang agak kecewa dengan nasib entiti Melayu itu menyifatkan apa yang berlaku berkemungkinan kurang serius dari segi tumpuan untuk meneruskan agenda terutama daripada pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sendiri.
“Kita nak lahirkan satu komuniti perniagaan IT Melayu bumiputera, tetapi malangnya perkara ini tidak diteruskan,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, METRA SYAHRIL MOHAMED dan MAISARAH SHEIKH RAHIM bersama jurugambar, FAUZI BAHARUDIN di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Kanan Keselamatan turut mengulas isu keselamatan sempadan negara selain isu-isu politik yang melingkari kerajaan ketika ini selaku Naib Presiden UMNO.
ANGKAT MARTABAT USAHAWAN MELAYU BUMIPUTERA
Dahulu, kita buka Mara Digital di Kuala Lumpur, Ipoh, Shah Alam iaitu di Anggerik Mall. Ketika itu, saya bincang dengan Perdana Menteri untuk mengubah perniagaan yang lembab agar diperhebatkan semula. Maka setelah dipersetujui, Anggerik Mall dijadikan Pusat Transformasi Bandar (UTC). Jadi, dengan adanya UTC, maka majulah Anggerik Mall sekali gus majulah Mara Digital.
Kita juga dapat tempat di Johor Bahru berhampiran stesen bas Larkin dan di Melaka pula di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan beberapa tempat lain turut dikenal pasti kerana sasaran kita, 1 ibu negara, 1 Mara Digital.
Kita mahu peniaga Melayu bumiputera bukan hanya menjadi penjual atau ejen produk IT, tetapi terlibat juga dalam perkhidmatan selepas jualan seperti membaiki peralatan dan sebagainya.
Pada waktu itu, kita juga memberikan kursus dalam bidang ini supaya lebih ramai usahawan boleh bergerak di bandar-bandar kecil yang tidak ada Mara Digital.
Namun, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara, seolah-olah agenda membangunkan Melayu bumiputera dalam bidang itu tidak lagi diteruskan.
TEKAD PULIHKAN SEMULA MARA DIGITAL
Saya akan berjumpa pengurusan Mara untuk bincang bagaimana nak pulihkan semula Mara Digital. Apabila saya membangunkan usawahan baharu IT, saya percaya ini adalah satu bidang perniagaan masa depan. Begitu juga apabila saya buat perniagaan online untuk masyarakat luar bandar, Desa Mall Online supaya produk luar bandar dapat dijual melalui online, begitu juga dengan IT.
Ini perniagaan masa depan, semua orang bergantung kepada IT. Setiap orang kampung pun ada handphone, ia digunakan secara meluas.
Ini transformasi kita lakukan untuk usahawan Melayu supaya terlibat dalam perniagaan baharu.
Jadi, bila ada aduan tentang Mara Digital, saya pergi melawat dahulu. Ketika itu saya menjadi pembangkang. Peniaga-peniaga mengadu kunjungan orang ramai tiada. Tak macam dahulu yang pernah suatu ketika banyak tempat perniagaan sekitar terjejas termasuk Kompleks Pertama.
Ini bermakna kita boleh bersaing, kita boleh lakukannya tetapi perlu diberi sokongan. Saya akan berbincang semula dengan Mara dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad. Penambahbaikan perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah peniaga ini yang kita tidak tahu termasuk dari segi rantaian nilai dan boleh menjadi pembekal.
ISU KEMARAHAN ANTARA KAUM
Penubuhan Mara Digital tidak ada kaitan dengan isu kemarahan antara Melayu dan Cina ketika itu, tetapi ia secara kebetulan berlaku kerana idea transformasi perniagaan Melayu untuk menerokai bidang lain dibuat lebih awal.
Ini termasuk melakukan kajian penglibatan golongan itu dalam bidang IT yang hanya meliputi lima peratus sedangkan mereka ini boleh berjaya sama tetapi tidak ada ruang dan peluang untuk mereka berniaga.
Kita memilih Arked Mara yang antara lain bertujuan mengubah fokus perniagaan di situ yang hanya tertumpu dengan perniagaan berasaskan makanan. Lokasi itu sebelum ini dilihat ‘mati’, jadi kita nak memeriahkan tempat itu bila ada penglibatan perniagaan orang muda seperti IT.
DILABEL RASIS
Mara Digital ini perlu dipulihkan semula dengan ada bimbingan berterusan kerana ia satu perniagaan mencabar dan ada persaingan kuat dalam kalangan masyarakat.
Saya pernah dilabel rasis dan pelbagai tuduhan lain dilemparkan ketika awal penubuhannya. Saya agak sedih jika usaha tersebut tidak diteruskan.
Ramai yang nak lihat perancangan ini terkubur pada awalnya. Apabila saya mengumumkan penubuhan Mara Digital, saya tidak mendapat sokongan pihak tertentu dan terpaksa berhadapan dengan tuduhan ultra Melayu. Saya tidak peduli.
Matlamat saya, kenapa orang lain boleh tetapi orang Melayu tidak boleh? Sebab itu saya kecewa apabila agenda ini tidak diteruskan. Sudahlah masa menubuhkannya saya menghadapi pelbagai ancaman, tiba-tiba ‘mati’ macam itu sahaja.
ISU SEMPADAN
Kawalan di seluruh sempadan negara perlu diperkukuhkan melalui penglibatan bersepadu kesemua agensi keselamatan negara dan tidak boleh lagi hanya bergerak secara silo.
Perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh dengan menambah kekuatan anggota dan aset berkaitan termasuk keperluan membina lebih banyak pos kawalan baharu.
Kita boleh guna pakai model National Task Force (NTF) yang mengetuai Operasi Benteng (Op Benteng) yang ditubuhkan bagi mengawal sempadan tanah air daripada dicerobohi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengekang penularan Covid-19.
Kita akan melihat keperluan ini secara menyeluruh terutama di sempadan utara Semenanjung selepas kejadian tembakan yang berlaku kelmarin.
Strategi sekarang ini menumpukan kekuatan kita di seluruh kawasan sempadan. Kita akan perkukuhkan kawalan keselamatan negara.
Keperluan pembinaan tembok sempadan juga akan turut dibincangkan untuk melihat dari segi kos selain menilai jarak sempadan untuk tujuan itu jika ia boleh menjadi penghalang utama kemasukan PATI atau penjenayah asing.
Ini kerana terdapat lokasi-lokasi tertentu hanya dipisahkan melalui pagar berduri yang memudahkan penjenayah meloloskan diri dengan memotong pagar itu.
Isu pagar ini juga antara yang akan dilihat keperluannya, walaupun ada dua pagar di sempadan Thailand dan Malaysia. Mungkin ada pagar yang boleh dipotong sahaja.
Jadi, kalau nak lihat semula, kena tengok keseluruhannya dari segi pagar, pos kawalan, jumlah anggota penguatkuasaan yang terlibat seperti Op Benteng yang dibuat secara bersepadu untuk mengawal betul-betul keselamatan sempadan.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengetuai NTF Op Benteng akan membincangkan perkara ini dengan agensi-agensi keselamatan lain. Saya dah minta mereka bermesyuarat.
APA STATUS MN?
Kerjasama antara UMNO dan Pas masih lagi kukuh seperti biasa, iaitu satu kesepakatan penyatuan ummah dari segi pemikiran dan tindakan, bukannya membentuk sebuah gabungan parti.
Walaupun ada cadangan Muafakat Nasional (MN) didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti, perkara itu agak sukar memandangkan Pas sudah bersama PN. Maka adalah mustahil bagi sebuah parti untuk berada dalam dua gabungan parti.
PEMBAHAGIAN KERUSI
Jawatankuasa Pembahagian Kerusi sudah berunding dengan Pas ketika saya mempengerusikan jawatankuasa itu.
Bagaimanapun, apabila Pas membuat keputusan untuk menyertai PN, isu berkenaan tidak diketahui sama ada rundingan diteruskan dengan PN, Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana jawatankuasa tersebut kini dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden UMNO).
UMNO SERTAI PN?
Kita telah membuat keputusan tidak akan menyertai PN sebagai salah satu komponen parti berkenaan.
Jadi, kita akan menggunakan lambang parti sendiri dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sepertimana sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.
Persetujuan telah dicapai agar tidak ada pertembungan antara BN dan PN memandangkan Pas juga telah menyertai PN bersama Bersatu.
Kita tak nak ada tiga penjuru. Kalau kita bertanding, PN tidak bertanding. Persetujuan itu sudah dicapai setakat ini.
BN tidak sertai PN. BN bertanding atas lambang sendiri dan PN atas lambang mereka sendiri.










