Perkahwinan adalah permulaan hidup baharu bagi pasangan lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Pastinya pasangan yang berkahwin mendambakan hidup bahagia sepanjang masa. Namun, realitinya dalam hidup berumah tangga pasti akan berhadapan dengan cabaran.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan kursus praperkahwinan Islam yang diperkenalkannya sejak 1996 gagal membimbing peserta sebelum melangkah ke alam rumah tangga sebaliknya sekadar sembang seks seperti seperti didakwa sesetengah pihak.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, kursus tersebut sebaliknya bermatlamat memberi pendedahan ilmu kekeluargaan supaya masing-masing mengetahui hak mereka dalam perkahwinan termasuk jika berlaku perceraian.
Katanya, para peserta bukan hadir kursus berkenaan sekadar suka-suka tetapi memberi ilmu tentang persediaan selengkapnya sebelum melayari rumah tangga. Kursus berkenaan telah pun memanfaatkan 259,383 peserta pada 2017 dan 245,377 orang pada 2018.
Bercakap tentang berkahwin memang seronok. Namun ia bukan semata-mata untuk menghalalkan hubungan kelamin. Ia bukan tentang bab ‘ada keras dan beras’ sahaja tetapi ia disertai tanggungjawab dan amanah terutama kepada golongan lelaki.
Ini ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita…(an-Nisa’: 34)
Dalam hidup berumah tangga, peranan utama ialah lelaki iaitu suami. Ringkas kata, kalau suami itu baik maka baik dan bahagialah sesuatu rumah tangga itu. Oleh itu, amat wajar ‘diwajibkan’ kursus praperkahwinan sebagai persediaan membina keluarga bahagia seterusnya ‘rumahku syurgaku’.
Atas sebab itu, suami menjadi pembimbing isteri. Sementelahan sifat wanita itu ibarat tulang rusuk. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bila mana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para wanita. (Riwayat Bukhari)
Sebagai peserta kursus praperkahwinan, mereka perlu mengikutinya dengan sepenuh hati. Jika ini diamalkan, nescaya tidak timbul dakwaan ia sekadar sembang seks. Memang topik seks turut dibincangkan kerana ia adalah fitrah manusia selain untuk menyambung nasab kita di muka bumi ini.
Namun, tajuk seks bukanlah mendominasi kurikulum kursus. Banyak aspek lain yang diberi penjelasan oleh para penceramah. Sebabnya bab munakahat ini mengandungi banyak bab daripada rukun nikah, mas kahwin sehinggalah kepada bab talak. Semuanya untuk mempersiapkan diri bakal pengantin dengan ‘rencah’ rumah tangga.
Cuma, biasanya bab-bab begini kurang dapat sambutan para peserta berbanding hal hubungan intim suami isteri. Hal-hal yang sering tidak diberi perhatian adalah seperti berikut:
Zihar. Ia berasal daripada perkataan zahr bererti belakang. Apabila seorang suami mengatakan bahawa isterinya seperti belakang ibunya, maka berlakulah zihar.
Contoh lafaz zihar ialah kata suami: “Engkau sama seperti ibu kandungku yang haram bagiku”. Maka haramlah bagi si suami menyetubuhi isterinya.Jika penyamaan itu bertujuan memuliakan isteri seperti kata suami “kepandaian tangan kamu memasak tak ubah seperti ibuku”, maka ia tidak dikatakan zihar menurut mazhab Syafie.
Para suami dinasihatkan agar berhati-hati ketika melafazkan kata-kata terhadap isterinya dikhuatiri terungkap lafaz zihar secara jelas tanpa disengajakan.
KAFFARAH ZIHAR
Apa natijah jika berlaku zihar? Sebelum suami kembali bersama semula dengan isterinya (bersetubuh), suami hendaklah menyempurnakan kaffarah zihar mengikut tertib kemampuan seperti berikut:
a. Memerdekakan seorang hamba mukmin yang tidak cacat; jika tidak mampu.
b. Berpuasa dua bulan berturut-turut; jika tidak mampu
c. Memberi makan 60 orang miskin (secupak setiap orang makanan asasi kawasan tersebut).
Ila’. Iaitu sumpah syarie seorang suami untuk tidak melakukan persetubuhan dengan isterinya lebih daripada empat bulan atau tidak disebutkan tempoh masa.
Jika tempoh empat bulan tamat dan suami masih tetap dengan sumpahnya, beliau dianggap memudaratkan isterinya. Pada ketika itu, dengan tuntutan daripada pihak isteri, Hakim berhak mengambil salah satu daripada tindakan berikut :
a. Memaksa suami menarik balik sumpahnya dan kembali semula kepada isterinya setelah membayar kaffarah ila’.
b. Memaksa suami menceraikan isterinya jika dia enggan menarik balik sumpahnya dan tetap berpegang dengan sumpahnya.
KAFFARAH ILA’
Sebelum bersetubuh dengan isteri, suami hendaklah menyempurnakan salah satu perkara di bawah:
a. Memberi makan kepada 10 fakir miskin; atau
b. Memberi pakaian kepada 10 fakir miskin; atau
c. Memerdekakan seorang hamba muslim; atau
d. Berpuasa tiga hari (sekiranya tidak mampu melakukan tiga perkara di atas )
Lian: ia berlaku apabila terjadinya qazaf iaitu suami menuduh isterinya berlaku zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh isterinya sebagai anak.
Ia adalah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa empat saksi kecuali dirinya. Oleh itu hendaklah dia bersumpah empat kali “bahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.
Jika isteri menolak tuduhan itu, hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.
Seperkara yang mesti diketahui oleh suami isteri adalah bab talak. Walaupun kuasa talak itu pada tangan suami tetapi si isteri perlu juga faham bagi mengelak kekeliruan. Sebabnya, talak tetap jatuh sama ada ia dilafaz secara gurauan atau tidak.
Ia juga adalah perkara halal yang dibenci oleh Allah sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sebenci-benci perkara yang halal di sisi Allah ialah talak.” (Riwayat Abu Daud)
Membina keluarga bahagia tidak semudah mengungkapkannya. Suami isteri perlu melengkapkan diri dengan ilmu selain mengamalkan tunggak utama muslim iaitu solat. Tanpa solat dan amalan fardu yang lain, rumah tangga bahagia hanya tinggal impian.










