Hikmah Covid-19 kepada Sasmec - Utusan Malaysia

Hikmah Covid-19 kepada Sasmec

PENGURUSAN dan kakitangan Sasmec gigih menjalankan amanah yang diberikan walaupun menghadapi pelbagai dugaan seperti dialami petugas barisan hadapan lain di seluruh negara. – IHSAN UIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahun 2020 hampir melabuhkan tirainya. Tahun ini begitu mencabar bagi warga dunia apabila pandemik Covid-19 menyerang. Sultan Ahmad Shah Medical Centre@IIUM (Sasmec), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun ini juga sudah beroperasi selama empat tahun. Sebagai salah sebuah agensi yang bersifat essential berkepentingan, sudah semestinya dengan usia setahun jagung turut sama merasai bahang dalam mendepani Covid-19 dengan hikmahnya.

Realitinya, tidak ada satu negara pun di dunia yang bersedia untuk menghadapi pandemik ini. Negara maju seperti Amerika Syarikat, England, Itali dan China lumpuh dek penangan Covid-19.

Tiada lagi kuasa dunia yang mendabik dada pada ketika ini. Masing-masing seperti menyerah kepada penaklukan pandemik ini di negara masing-masing. Masing-masing bergelut untuk menang dalam peperangan ini termasuk negara kita.

Apabila direnung dan difikirkan kembali, sememangnya pandemik ini ada hikmahnya untuk warga Sasmec. Banyak perkara boleh dipelajari bagi sebuah hospital pengajar yang baru empat tahun penubuhannya dan pertama kali menghadapi krisis besar sebegini. Walau apa pun ujiannya, semua mestilah bertawakal, berdoa disertai usaha dan ikhtiar demi pengakhiran yang sempurna.

TAPISAN

Kepelbagaian ujian dan hikmah Allah mengingatkan bahawa setiap manusia pasti diuji untuk melihat kualiti amalan yang dikerjakannya. Sesiapa yang ditimpa sesuatu musibah perlu diingatkan supaya bersangka baik dengan Allah, kita mesti memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar. Antara hikmat sesuatu ujian ke atas manusia ini ialah tapisan daripada Allah bagi memperlihatkan sifat orang beriman yang sebenar. Oleh itu, sikap orang beriman, sentiasa mencari hikmah di sebalik sesuatu ujian dan kejadian agar mereka kembali kepada Allah.

Pandemik mengajar kita untuk menjaga sesama kita. #kitajagakita, satu tanda pagar yang menterjemahkan keprihatinan kita, sesama manusia. Sepertimana Sasmec, ia tahu dan amat prihatin dengan well-being kakitangannya. Perkhidmatan kaunseling disediakan secara berterusan oleh Sasmec demi menyuntik semangat serta kekuatan kakitangannya dalam menjadi benteng barisan hadapan. Ujian sebenar ialah apabila dalam mendepani rasa rindu kepada anak dan ibu bapa, isteri dan suami serta keluarga. Untuk kakitangan Sasmec, ia adalah pada tahap yang maksimum, tidak semua dapat duduk sekali ketika waktu ini demi menjaga benteng daripada penularan pandemik.

Pada ketika ini, tiada istilah #stayhome, work from home (WFH) untuk majoriti kakitangan Sasmec. Hujung minggu, para frontliners, backliners, masih bertugas 24 jam seminggu dengan gigih menjalankan amanah yang diberikan. Ada pasukan yang terpaksa dikuarantin, pasukan lain akan datang membantu. Walau apa sekalipun, amanah tetap dilaksanakan. Seperti juga para petugas barisan hadapan yang berada di seluruh negara. Istiqamah meneruskan perjuangan.

PERIUK BERKERAK

Pada ketika ini, bukan sahaja warga barisan hadapan Sasmec menjadi satu unit yang utuh dalam memerangi wabak Covid-19, malah petugas kesihatan di seluruh negara turut sama mengembleng tenaga dan keringat. Ibarat adat periuk berkerak, adat lesung berdedak, para petugas barisan hadapan terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan yang pasti akan mencapai kejayaan, dengan izin Yang Maha Esa.

Untuk warga Sasmec, ini adalah satu pengalaman yang akan menjadi ingatan kepada majoriti petugas dan kakitangan. Ia juga menjadi titik tolak kepada satu kejayaan yang besar bagi Sasmec yang usianya hanya beberapa tahun. Semuanya akan didokumentasikan dan bakal menjadi warkah sejarah amat bernilai kepada warga Sasmec dan ia juga akan menjadi panduan pembelajaran untuk generasi pelajar perubatan pada masa hadapan dalam mendepani wabak yang menyerang.

PENARAFAN

Ketika masing-masing menjalankan tugas dan bergelut melawan pandemik ini, dua kejayaan besar juga dikecapi. Dengan tagline Leading the Way, Sasmec berjaya memperoleh pensijilan komprehensif ISO 9001:2015 serta MS 1900:2014 (syariah-based QMS) dan menjadikan Sasmec sebagai hospital pengajar pertama di Malaysia mendapat penarafan tersebut dengan cemerlang walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Penubuhan Halimatussaadia Mother’s Milk Centre di Sasmec adalah salah satu pusat yang pertama seumpamanya di negara ini. Halimatussaadia Mother’s Milk Centre kini sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan untuk beroperasi secara rasminya.

Dengan penganugerahan tersebut, barisan kepimpinan, para petugas pentadbiran dan pakar-pakar perubatan di Sasmec akan terus bertugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang demi agama, bangsa dan negara.

Sebagai kesimpulannya, setiap perkara yang terjadi ada banyak hikmahnya. Pada masa pandemik ini, selain ujian kecintaan kita ditambah baik, kita lebih menghargai hubungan kekeluargaan dan lebih peka dengan persekitaran, justeru kehidupan seharian kita pun menjadi lebih bermakna.

Ini juga perancangan terbaik daripada Allah SWT supaya tidak terlalu mengejar kesibukan dunia dan berhenti merosakkan alam dan dunia ciptaan-Nya. Untuk semua petugas barisan hadapan di seluruh negara, kalian sememangnya hebat! Semoga usaha semua dirahmati Allah SWT. Kalian akan terus berada dalam doa kami. Kami tahu pentingnya kalian di medan tempur ini. Semoga terus istiqamah dan diberi kesabaran yang tinggi.

Penulis ialah Timbalan Pengarah di Sultan Ahmad Shah Medical Centre@IIUM (Sasmec).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN