‘Dulu Bersatu-UMNO baik-baik saja’ - Utusan Malaysia

‘Dulu Bersatu-UMNO baik-baik saja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

UMUM sedia maklum, Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) sehingga kini belum lagi menemukan ‘perpaduan’ dalam politik.

Malah, persepakatan itu turut menjangkiti Selangor apabila UMNO negeri menyatakan sudah bersiap sedia sekiranya terpaksa bertembung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar memaklumkan, parti itu tidak akan menentang Pas berikutan telah ada perbincangan strategi antara kedua-dua pihak. Pada masa sama, beliau meminta Bersatu menghormati kerusi tradisi UMNO dengan tidak meletakkan calon di situ.

Jika dilihat kedudukan Bersatu Selangor kini mempunyai enam kerusi iaitu di Selat Klang (Datuk Abdul Rashid Asari), Dengkil (Adhif Syan Abdullah) dan empat lagi bekas ahli PKR iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya) dan Dr. Daroyah Alwi (Sementa).

Kepada wartawan Utusan Malaysia, SITI ROHAIZAH ZAINAL dan jurugambar, ZULFADHLI ZAKI, Pengerusi Bersatu Selangor, DATUK ABDUL RASHID ASARI berkongsi pandangannya berhubung kerjasama antara ketiga-tiga parti dan keadaan terkini Bersatu Selangor.

Ikuti temu bual tersebut di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini:

Hubungan dengan UMNO

UTUSAN: Bagaimana hubungan antara Bersatu, UMNO dan Pas?
ABDUL RASHID: Hubungan dalaman antara Bersatu dan Pas baik-baik sahaja dan kami boleh duduk berbincang tentang hala tuju kedua-dua parti. Namun, dengan UMNO tidak begitu baik seperti semua sedia maklum terikut-ikut pemimpin-pemimpin Pusat mereka. Sebenarnya, hubungan Bersatu dan UMNO dahulu baik, tetapi sejak pimpinan tertinggi mereka mengambil tindakan drastik untuk keluar daripada PN, segalanya berubah dan bermula hubungan tidak baik.

Bagaimanapun, buat masa ini, kita sedang memperkukuh hubungan dengan Pas. Malah, baru-baru ini juga ada perbincangan dengan mereka termasuk isu-isu melibatkan PRU-15 dan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti.

Adakah Bersatu tetap meletakkan calon di kerusi ditandingi UMNO?
Sebenarnya, kita juga tidak mahu pertembungan tiga parti ini dan menyokong sepenuhnya hasrat Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyeru kita semua bersatu demi perpaduan Melayu dan penyatuan ummah. Buat masa ini, kita menunggu arahan daripada Pusat berhubung peletakan calon.

Namun, secara peribadinya, di Selangor kita masih berharap UMNO akan bersama dengan kita untuk menawan semula daripada Pakatan Harapan (PH). Ini kerana jika kita bergabung, potensi untuk merampas semula Selangor cerah.

Kesan jika UMNO tetap tidak mahu bersama Bersatu?
Orang UMNO perlu fikir semula sama ada mereka hendak menjaga pemimpin teratas atau menjaga orang Melayu secara keseluruhannya. Kita perlu memikirkan kesan yang tidak akan merugikan dan menguatkan orang Melayu. Sekiranya mereka hanya mementingkan diri sendiri, rugilah.

Pada pendapat saya, jika mereka bergabung dengan PH dan membiarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, nescaya akan menjadi bahan ketawa satu dunia kerana melihat bekas banduan memegang jawatan tertinggi dalam negara.

Harus diingat, perkara ini tidak mustahil kerana kita tidak tahu apa pemimpin mereka bincangkan yang boleh memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

Adilkah UMNO sahaja yang perlu berkorban dengan memberikan kerusi kepada Bersatu?
Sekiranya PN ditubuhkan di negeri ini, kita pasti akan membincangkan pembahagian kerusi secara adil dan praktikal, malah tidak ada yang lebih dan kurang. Pembahagian yang bakal dilakukan akan dibahagikan secara realitistik.

Bagaimanapun, sekiranya sesebuah kawasan yang mereka tandingi itu dirasakan tidak boleh menang, berilah kepada Bersatu. Ini kerana pada pilihan raya lalu, UMNO kalah teruk di Selangor, takkan kita hendak berikan kepada mereka?

Kita tidak kisah menghormati tempat yang mereka tandingi tetapi jika kalah teruk, tidak boleh beri mereka bertanding begitu sahaja. Ini kerana untuk meletakkan calon, kita membuat analisis dan kajian dengan melihat potensi sesebuah kawasan termasuk mengambil kira undi atas pagar serta kemungkinan pengundi muda yang baharu menyertai parti. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan calon di mana-mana kawasan.

Adakah akan ada perbincangan antara Bersatu dan UMNO?
Buat masa ini, kita tangguh dahulu sebarang perbincangan dengan UMNO, tetapi tidak menolak akan ada perjumpaan dengan mereka. Semuanya bergantung pada keadaan semasa dan jika situasi mengizinkan dan kembali aman seperti biasa, satu perbincangan akan diadakan.

Cabaran dalam merampas semula Selangor?
Peluang untuk merampas semula Selangor cerah terutama kawasan yang majoritinya Melayu. Antaranya di Hulu Langat, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Sepang. Namun, sekiranya kita bergabung dalam PN, saya berpeluang untuk menang di kawasan lain kecuali akan berlaku sebaliknya jika UMNO tidak mahu bersama Bersatu.

Sekiranya tidak bersatu, ini akan memberi kesan dan peluang untuk menawan semula Selangor tidak kesampaian. Ini kerana kita tidak mahu terdapat penambahan kerusi lagi dalam PH dan perpecahan ini hanya akan merugikan kerana mereka akan mengambil peluang untuk menambah kerusi sedia ada.

Ahli Bersatu Selangor

Bagaimana situasi Bersatu di Selangor?
Buat masa ini, Bersatu Selangor semakin kukuh walaupun tiga ketua bahagian iaitu Kuala Selangor, Bangi dan Klang meletakkan jawatan. Untuk Kuala Selangor dan Bangi, timbalan ketua bahagian telah dilantik sebagai pemangku bagi mengambil alih tugas ketua bahagian. Sementara di Klang pula diambil alih oleh naib ketua bahagian dan termaktub dalam peraturan parti.

Sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin keluar parti, itu adalah hak masing-masing dan tidak semua ahli yang menyertai mereka dengan berbuat demikian.

Namun, untuk mengatakan ketiga-tiga bahagian di kawasan ini dibubarkan adalah tidak benar sama sekali kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sahaja mempunyai hak untuk membubarkannya.

Berapa ramai ahli Bersatu Selangor?
Bersatu Selangor kini mempunyai lebih 65,000 ahli dan kita menjangkakan keahlian akan terus bertambah. Terbaharu, 1,800 ahli Parti Amanah Negara (Amanah) secara rasmi telah menyertai Bersatu termasuk dua ahli jawatankuasanya dari Klang dan Kota Raja iaitu Rashid Ahmad dan Jaafar Samsudin.

Mereka telah menghantar borang keahlian bulan lepas dan menyatakan bersama Bersatu kerana melihat kepimpinan dan cara pemerintahan Perdana Menteri (Muhyiddin) menarik minat mereka.

Bagaimana pula dengan penubuhan sayap bersekutu di Selangor?
Sayap bersekutu ditubuhkan khas untuk bukan Islam yang mana mereka mempunyai presiden tersendiri. Malah, bagi 1,800 ahli yang baharu menyertai Bersatu, 250 daripadanya adalah bukan Islam.

Mereka daripada sayap ini juga akan membuat pemilihan untuk memilih siapa ketua yang akan memimpin dan kemungkinan besar, presidennya akan diserap dalam Bersatu Pusat sebagai naib presiden atau ahli majlis tertinggi.

Buat masa ini, kita menunggu kelulusan daripada RoS dan sebaik sahaja diluluskan, sayap bersekutu ini akan digerakkan. Ahli kita juga ramai daripada bukan Islam dan mereka menyertai Bersatu kerana mengatakan hendak mencari parti lain yang lebih baik. Kita menjangkakan Selangor akan menjadi perintis kerana merekodkan ahli paling ramai bukan Islam berbanding negeri lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN