Dron boleh popular macam FB - Utusan Malaysia

Dron boleh popular macam FB

YAP Chee Hian menggendalikan dron untuk kerja-kerja menyembur racun di kawasan sawah padi di Kampung Kuala Sanglang, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini – Utusan/Mohd. Zaid Mohd. Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau terlambat, pasti kita akan tertinggal. Begitulah juga dengan perkembangan teknologi zaman berzaman yang berubah dengan begitu pesat dan laju.

Sekiranya tiada pandemik Covid-19 pada 2020 ini, sudah pasti Revolusi Industri (IR) 4.0 akan menjadi ‘pandemik’ dalam media cetak, elektronik, program-program kerajaan dan swasta serta cakap-cakap di kedai kopi.

Pelaksanaannya? Tidak boleh jamin pelaksanaan penggunaan teknologi yang seiring IR 4.0 mampu diasimilasi dalam kehidupan seharian komuniti kita setiap hari.

Namun, usaha tetap ada dan pasti akan berterusan dalam memastikan komuniti di sekeliling kita menggunakan teknologi yang selari dengan IR 4.0 dalam sektor pekerjaan khususnya.

Menyentuh soal pekerjaan, antara bidang paling dilihat terkebelakang atau bercirikan tradisional adalah pertanian. Justeru, mampukah bidang pertanian merebut peluang yang disajikan dalam kemajuan IR4.0 ini untuk memperkukuhkan lagi produktiviti?

Jika anda terus bersifat skeptikal dengan bidang pertanian yang dianggap kuno dan tidak mampu menepati ciri-ciri IR 4.0, ternyata anda membuat kesilapan cukup besar dan kolot.

UAV

Masih ramai yang tidak tahu, bidang pertanian juga sudah melepasi evolusi dan transformasi tersendiri dalam memaksimumkan penggunaan teknologi pada produk pertanian.

Salah satunya adalah penggunaan dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam industri penanaman padi bagi menggantikan kaedah penyemburan racun serangga secara manual yang diamalkan oleh datuk nenek kita suatu ketika dahulu.

Sebenarnya, jangan kita tidak percaya, kaedah ini sudah semakin popular dalam komuniti yang meminatinya. Penggunaan dron ini bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan tenaga kerja, malah membantu petani menjimatkan kos dan masa.

Lebih menarik lagi, jika sebelum ini pekerjaan berunsur alam atau pertanian amat jarang menarik minat anak muda untuk menceburinya, namun dengan adanya penggunaan dron ini, ia sedikit sebanyak dapat menarik minat mereka yang masih muda untuk menjadi petani moden zaman IR 4.0.

Dengan jumlah kadar pengangguran negara pada suku kedua 2020 sebanyak 4.7 peratus menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), siapa sangka penggunaan dron dalam bidang pertanian dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan anak muda.

Cumanya, mereka wajar diberi latihan yang cukup dalam mengendalikan dron dan mengurus pertanian agar dapat mematuhi spesifikasi standard yang telah ditetapkan selama ini.

CAMERAMAN

Daripada anak-anak muda ini menjadikan dron sebagai alat menangkap gambar atau video, tidakkah elok sekiranya mereka memperluaskan lagi fungsi dan kerja mereka ke bidang pertanian?

Begitu juga para penggiat industri perfileman yang sudah mula menggunakan teknologi dron dalam pembikinan filem atau drama. Kenapa pula kita banyak alasan atau takut untuk mengubah fungsi dron itu daripada menjadi cameraman kepada petani, penternak dan nelayan? Terasa seperti idea gila, tetapi tidak mustahil sebenarnya.

Sebelum itu, benarkah penggunaan dron dalam pertanian khususnya penanaman padi banyak manfaat?

Jawapannya sudah pasti ya! Ia bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja dan menjimatkan masa, malah teknologi dron untuk penggunaan input pertanian dalam jangka masa panjang.

Sebagai contoh, penggunaan dron untuk menyembur racun bagi keluasan satu hektar kawasan tanaman padi hanya memerlukan masa sekitar 20 minit berbanding kaedah manual, iaitu lebih sejam bagi keluasan sama. Tidakkah ini cukup berbaloi?

Dari segi kos pula, untuk keluasan satu hektar kos penggunaan dron dianggarkan antara RM60 hingga RM70, berbanding membayar upah tenaga kerja iaitu kira-kira RM120 bagi keluasan sama dan memerlukan masa yang lebih lama.

PAK GUARD

Penanaman anak benih, penaburan baja dan racun serangga dan bermacam lagi manfaat tambahan dapat diperoleh oleh pengusaha pertanian sekiranya mereka bertukar daripada cara lama kepada cara baharu menerusi teknologi IR 4.0.

Yang lebih seronoknya, ia bukan sahaja terhad untuk penggunaan penanaman padi, malah apa jua jenis tanaman renek dan bersesuaian boleh menggunakan ‘serangga kecil’ ini untuk berbakti.

Nak jadikan dron sebagai pak guard pun tidak mustahil suatu hari nanti.

Malangnya, di negara kita yang kononnya mencapai negara berstatus maju pada 2020 ini, masih banyak pihak yang sangsi dan berasa tidak yakin dengan penggunaan dron untuk bidang pertanian.

Seandainya mereka menerima kehadiran dron dalam kehidupan sekalipun, mereka masih menganggap dron itu hanya sekadar mainan hobi untuk mengisi masa lapang.

Kita harus ingat, pada sekitar 2007 dahulu pun, laman Facebook turut dianggap sebagai salah satu medium untuk mengisi masa lapang dan bersifat ‘kebudak-budakan.’ Namun, lihatlah sendiri revolusi yang dicipta Facebook sehingga ke hari ini, bukan sahaja mampu mencipta jutawan, malah di setiap agensi kerajaan pun ‘wajib’ mewujudkan paling tidak satu akaun Facebook.

Siapa cepat dia dapat, jadikan penggunaan dron pada hari ini sebagai salah satu kaedah membantu mengurangkan kos dan penggunaan tenaga kerja manusia untuk bidang kerja anda.

PENULIS ialah Timbalan Ketua Lajnah, Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami), Cawangan Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN