Digitalisasi percepatkan proses fotofit - Utusan Malaysia

Digitalisasi percepatkan proses fotofit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan berita sadis kes kematian bekas Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dalam kejadian samun di rumahnya di Kuala Lumpur.

Kurang 24 jam selepas kejadian, pihak polis berjaya mengesan suspek. Kepantasan itu hasil kerjasama Bahagian Bantuan Teknik D6, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Mereka bertanggungjawab menghasilkan lakaran awal wajah suspek berdasarkan maklumat pengadu, mangsa dan saksi.

Persoalannya, sejauh mana bahagian ini membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha cegah jenayah? Bagaimana mereka boleh melakar wajah suspek tanpa maklumat lengkap?

Bagi menjawab persoalan ini, ikuti sedutan temu bual wartawan Utusan Malaysia, MASZUREEN HADZMAN dan FAHMI FAIZ serta jurugambar FARIZ RUSADIO dengan Ketua Penolong Pengarah D6, ASISTEN KOMISIONER SURYANI SUNGIT di Bukit Aman, Kuala Lumpur, kelmarin.

EVOLUSI

UTUSAN: Difahamkan, sistem terkini yang digunakan D6 ialah FACE?
SURYANI: Sistem ini merujuk kepada Facial Automated Composition and Editing. Ia bermaksud komposisi serta penyuntingan wajah berkomputer, yang mana ia adalah yang terkini dalam PDRM.

Boleh terangkan latar belakang sistem ini dalam membantu penguat kuasa?
Penggunaan sistem ini telah wujud seawal 1985. Gerak kerjanya berdasarkan lakaran yang digambarkan oleh pengadu atau saksi. Pada ketika itu, lakaran hanya menggunakan pensel sahaja dan dilakukan secara manual. Bolehlah dikatakan bahawa proses itu agak memakan masa. Mungkin setengah hari atau sehari suntuk.

Adakah ia berevolusi sesuai dengan perkembangan digital?
Sudah pasti, kerana kita berkembang sejajar dengan perkembangan teknologi semasa dalam membangunkan bantuan teknik untuk menyelesaikan kes-kes jenayah. Bercakap soal sejarah, seperti disebut pada 1985, kita menggunakan teknologi manual. Kemudian mulai 1986 hingga 1995, kita berevolusi dalam kerangka yang disebut PENROSE.

Sistem ini masih menggunakan teknik lakaran wajah. Bezanya, ia tidak menggunakan pensel sebaliknya menggunakan slot papan khas ibarat mencantum puzzle. Selanjutnya mulai 1995 sehingga 1996, kita mula mempertingkatkan teknologi menggunakan montaj dalam komputer. Tapi waktu itu, ia masih mengekalkan format lakaran wajah suspek. Kemudian pada 1997 sehingga kini, sistem FACE mula dibangunkan.

Melalui digitalisasi, ia percepatkan proses lakaran kerana semua maklumat sudah tersedia dalam pangkalan data. Jadi proses pemadanan lakaran wajah menjadi lebih mudah, pantas dan tepat. Ini berdasarkan kepada deskripsi yang diberikan oleh pengadu atau saksi.

MODUS OPERANDI

Boleh kongsikan sedikit mengenai kaedah dan proses unit ini?
Apabila pengadu atau saksi tampil memberi keterangan, pegawai penyiasat (IO) akan pastikan mereka boleh memberi pengecaman yang paling jelas mengenai suspek. Ini boleh dicapai melalui sistem soal jawab yang tuntas dan efisien yang dikendalikan oleh pegawai penyiasat kita. Selanjutnya, apabila IO sudah berpuas hati dengan deskripsi si pengadu atau saksi, barulah pengadu atau saksi dirujuk kepada unit kami iaitu fotofit.

Apa yang berlaku seterusnya?
Dalam keadaan itu, kita bertindak memulakan tugas kita, iaitu dapatkan gambaran secara keseluruhan mengenai susuk fizikal suspek. Selepas itu kita akan fokus kepada lakaran wajah. Di sinilah bermulanya proses melakar dan memadankan wajah yang digambarkan oleh pengadu atau saksi, dengan apa yang ada dalam pangkalan data kita. Waktu inilah, apabila selesai lakaran, skor ketepatan akan diperoleh.

Adakah sebarang tanda aras bahawa rajah lakaran itu menepati deskripsi?
Ada, malah sebenarnya kita ada pemarkahan, kita ada skor peratusan ketepatan. Daripada satu peratus, iaitu skor paling rendah kepada 100 peratus tepat. Jadi ketepatan yang seeloknya ialah kira-kira 80 peratus dan ke atas. Ini baru boleh didefinisikan sebagai satu gambaran wajah yang jelas.

Apa proses selanjutnya bila sudah ada lakaran berserta skor ketepatan?
Kita akan bawa lakaran itu kepada IO untuk memulakan proses pengesanan, perisikan dan seterusnya membawa kepada tangkapan. Pada masa sama, sekiranya perlu, kita juga akan buat hebahan melalui papan-papan kenyataan serta mungkin juga ada siaran media. Sebab bila kita dapat gambaran yang jelas yang skornya lebih 80 peratus, kita akan serah kepada IO. Mereka pula akan panjangkan kepada Ketua Polis Daerah (KPD), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) serta Ketua Polis Negeri. Sepanjang proses inilah, sidang atau siaran media akan dibuat.

Kenapa sidang media perlu dibuat?
Ini bertujuan menghebahkan kepada masyarakat untuk tampil memberi maklumat tentang keberadaan suspek kepada pihak polis bagi membantu siasatan. Bila orang ramai nampak wajah suspek dalam prime time atau televisyen, surat khabar misalnya, jadi orang ramai boleh bantu mengecam. Ini boleh mempercepatkan lagi kita mengesan lokasi dan seterusnya buat tangkapan.

Bagaimana kalau skor itu kurang dari 80 peratus?
Kita masih pakai lagi lakaran itu. Sebab kita ada satu sistem lain yang boleh membantu menghasilkan gambaran wajah yang lebih jelas. Misalnya, seorang pengadu hanya nampak bahagian sisi suspek sahaja. Namun, atas kapasiti teknologi yang kita miliki, kita mampu lengkapkan wajah-wajah yang tidak sempurna gambarannya.

Bagaimana pula kes yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV)?
Untuk makluman, ada satu bahagian yang bertanggungjawab untuk itu. Namun, fotofit masih diperlukan jika pengadu atau saksi mendepani suspek, yang pada masa sama kejadian itu dirakam CCTV. Dalam konteks ini, pengadu atau saksi perlu mengesahkan bahawa suspek yang dilihatnya, adalah sama dengan lakaran fotofit yang digambarkan serta sama dengan rakaman dalam CCTV.

PENCAPAIAN DAN KEJAYAAN

Boleh kongsi pencapaiannya?
Sepanjang 2020, beberapa kejayaan telah dicapai hasil daripada lakaran-lakaran gambar yang kita buat. Bercakap pasal data, dari Januari hingga Oktober 2020, sebanyak 758 lakaran telah dibuat.

Secara keseluruhan yang boleh dikongsi, dari 2018 hingga sekarang, ada 2,987 lakaran yang kita hasilkan, dan ini sangat membantu pasukan penyiasat PDRM dalam selesaikan kes-kes yang dilaporkan, antaranya seperti samun, rogol dan bunuh.

Boleh ulas kejayaan di sebalik angka itu?
Fotofit ini sebenarnya sangat membantu siasatan polis sehingga tertangkapnya penjenayah. Ini kerana dengan adanya fotofit ini, kita akan dapat gambaran lebih jelas kerana pengadu itu sendiri yang menceritakan keadaan suspek itu dan kita beri gambaran yang sebenar penjenayah itu.

Maksudnya, kita menangkap orang yang betul dan kita bukannya fabricate atau mengada-adakan suspek itu. Sebaliknya ia diceritakan sendiri oleh pengadu atau saksi, bahawa inilah suspek jenayah. Ini boleh membantu dalam selesaikan kes.

Kalau ikutkan tindakan IO selepas dapat lakaran itu, dia akan edar kepada detektif. Mereka ini adalah penggerak yang mengesan penjenayah, sebab lakaran ini jadi ‘lead’ untuk mereka. Ada sesetengah kes di satu-satu kawasan, detektif ini biasanya orang lama di kawasan tersebut dan mahir dengan kawasan itu.

Jadi dengan lakaran yang diedar, berserta familiarity mereka dengan penjenayah-penjenayah di kawasan itu yang pernah ditangkap, ia memudahkan detektif criss-cross. Misalnya, bila detektif dapat lakaran, segera terlintas di minda mereka, oh ini aku pernah tangkap, aku tahu mana tempat dia selalu lepak.

SAYA NAK MAKAN

Apa cabaran sepanjang mengendalikan bahagian ini?
Ada macam-macam kerenah si pengadu, mangsa serta saksi ini. Kadang-kadang mereka ini, ada yang tertidur sewaktu proses lakaran dibuat. Tau-tau senyap sahaja, rupanya tertidur.

Bila keadaan itu, kita kejutkan mereka semula. Rupanya mereka ini sudah keletihan. Keduanya, ada kes pengadu dah sampai, tapi tiba-tiba dia cakap, saya tak ingat lah wajah suspek. Kemudian ada juga pengadu pernah datang dan kita temu bual, dah separuh jalan dia cakap, eh saya tak boleh buat lah.

TIDAK PERLU PANDAI MELUKIS

Adakah jurulakar fotofit PDRM ini rata-rata pandai melukis?
Ini satu soalan yang bagus. Yang penting, mereka harus meminati sistem yang diterokai, dan bonus jika mereka juga seorang yang berjiwa seni. Untuk juru fotofit, mereka kena ada kemahiran. Itu kita peroleh melalui kursus yang kita anjurkan selama seminggu. Dalam kursus itu memang kita ajar daripada asas sampai boleh mengendalikan sistem. Untuk memperoleh kepakaran, mereka harus memiliki daya visual yang tinggi supaya dapat menepati gambaran oleh pengadu, mangsa atau saksi.

Kita ada modul-modul yang berperingkat, kalau katalah pelakar itu walaupun bukan seorang pelukis, bukan ada latar belakang seni reka atau seni lukis, tapi dia masih boleh buat satu lakaran yang bagus dengan menghadiri kursus kita ini selama seminggu.

Sebab kita bergantung kepada praktikal dan bukan teori, kerana itulah inti pati kursus kami ini. Hal ini berbeza dengan sistem terdahulu. Kalau manual dulu, kita memang perlukan orang yang mahir melukis. Tapi sekarang ini tidak lagi kerana kita ada sistem berteknologi tinggi.

Apa komponen wajah asas dalam satu-satu lakaran fotofit?
Ini termasuk beberapa anggota tubuh, namun saya kira tidak perlulah ia diterangkan secara terperinci. Penjenayah sekarang sudah advance dalam memintas tradecraft kita. Namun apa yang boleh dikongsi, bahawa apa sahaja anggota tubuh badan boleh membantu penghasilan lakaran gambar suspek. Untuk rekod, secara purata kita mempunyai lebih 1.7 juta data yang terkandung dalamnya maklumat untuk kita buat pemadanan lakaran suspek.

Kita tanya kenapa tak boleh, dia cakap rasa macam stres, nanti lah esok lah saya datang semula. Selain itu, baru-baru ini juga sewaktu kita sedang temu bual, tiba-tiba pengadu bangun. Saya nak makan, dah sampai waktu makan saya, katanya. Macam-macam kerenah, tapi kita kena bertoleransi demi nak dapatkan maklumat yang lengkap.

NASIHAT

Apa nasihat puan kepada masyarakat?
PDRM amat mengalu-alukan semua warga masyarakat dapat tampil memberi kerjasama. Sekiranya mereka berada di tempat kejadian jenayah, mereka disarankan untuk tampil memberi segala keterangan dan maklumat yang mereka ada kepada pihak polis di balai berdekatan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN