Covid-19: Kita tiada pilihan - Utusan Malaysia

Covid-19: Kita tiada pilihan

Pihak berkuasa perliu memperketatkan peraturan dan SOP semasa yang dilonggarkan secara berperingkat-peringkat merangkumi kesemua sektor bagi mengurangkan keberangkalian jangkitan Covid-19. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sama ada kita akan menyambut kehadiran 2021 dengan peraturan-peraturan tertentu, hanya masa yang bakal menentukan. Kita ada lagi sekitar satu bulan untuk melihat perkembangan seterusnya menjelang 1 Januari 2021. Apa pun, kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi norma baharu kehidupan.

Selain kes jangkitan yang terus meningkat, kes kumulatif setakat 29 November lalu mencecah 64,485 kes dan 357 kematian, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa menunjukkan negara kini berhadapan dengan gelombang ketiga wabak Covid-19. Pada masa sama, kerajaan menjangkakan penularan Covid-19 akan terus meningkat memandangkan Kementerian Kesihatan menjalankan ujian saringan secara lebih agresif termasuk di penjara dan pusat-pusat tahanan.

Kerajaan tiada rancangan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 2.0 di seluruh negara pada waktu ini. Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekiranya PKP dilaksanakan sekali lagi, ia akan membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara.

SUKAR

Sebenarnya, pihak berkuasa telah mengingatkan orang ramai sejak Jun lalu bahawa setiap orang perlu mematuhi peraturan, arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan demi kebaikan dan manfaat bersama. Memutuskan rantaian Covid-19 memerlukan kerjasama dan sokongan setiap individu. Ini bukan isu yang hanya membabitkan seorang dua, tetapi kesan buruk akibat ketidakpatuhan akan membawa mudarat kepada setiap orang dan seluruh negara.

Sebagai antara mereka yang terlibat secara langsung dalam sektor perkhidmatan, saya boleh rasai laluan sukar dialami oleh semua pihak. Ekonomi baru mula kembali pulih. Kerajaan yang meramalkan impak itu, mengumumkan siri pakej rangsangan ekonomi sejak Februari lalu. Ini termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). Kesemua empat pakej itu melebihi dana RM305 bilion yang dilihat sangat penting dan wajar, di mana usaha ini dijangka membawa sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020. Pada Ogos lalu, semasa sidang kedua sejak wabak melanda Malaysia, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020. Usaha-usaha susulan ini amat mustahak untuk mengubati ‘kesihatan’ ekonomi negara yang turut terkena tempias perang perdagangan ekonomi antara Amerika Syarikat dan China.

Pada 14 Jun lalu, hari ke-89 PKP dikuatkuasakan, rakyat dikongsi dengan berita menggembirakan – Malaysia diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam mengawal pandemik Covid-19. Malaysia menjadi salah satu negara contoh, iaitu penerimaan rakyat terhadap tindakan kerajaan dalam mengekang wabak berkenaan. Kita ada tanggungjawab untuk mempertahankan pengiktirafan ini.

TIADA PILIHAN

Kita tiada pilihan. Pihak berkuasa perlu memperketatkan peraturan dan SOP semasa yang dilonggarkan secara berperingkat-peringkat merangkumi kesemua sektor. Ini termasuk cadangan untuk mengehadkan majlis dan perhimpunan orang ramai termasuk persidangan besar dan kenduri kahwin bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan Covid-19. Ini perlu dilakukan tanpa berkompromi sebab dalam keadaan yang tertekan sekarang, kestabilan ekonomi sangat penting bagi menjamin kesejahteraan negara dan rakyat.

Apa yang pasti, impak Covid-19 tidak akan berakhir tahun ini. Virus ini akan kekal untuk satu tempoh enam bulan sehingga setahun dua tahun akan datang. Kemungkinan ia akan menjadi sebahagian daripada senarai penyakit dalam kehidupan manusia sangat tinggi. Kemungkinan kita boleh berhadapan dengan gelombang keempat sekiranya sempadan negara dibuka kepada kehadiran rakyat asing atau pelancong dalam skala besar-besaran kelak.

Situasi semasa juga menunjukkan negara memerlukan pelan strategi kesihatan dan ekonomi jangka panjang yang menyeluruh. Kita perlu kembali kepada sejarah krisis lalu untuk merombak sistem, undang-undang dan dasar sedia ada. Negara-negara maju juga telah ditundukkan oleh Covid-19. Jadikan semua itu sebagai teladan dan pengajaran untuk masa depan yang lebih terjamin.

Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi semakin buruk. Amalan norma baharu harus dipraktikkan secara menyeluruh. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Setiap individu tidak kira pangkat dan kedudukan mempunyai peranan. Di depan virus Covid-19, kita semua adalah ‘sama rata’.

Kita boleh melakukan perubahan. Ini adalah masa untuk kita mendidik kepentingan mengutamakan amalan kesihatan berkekalan sepanjang masa. Masa untuk mendidik norma baharu kerja dan menjalankan operasi perniagaan.

Disiplinkan diri kita. Insya-Allah, kita kekal selamat dan sejahtera.

DATUK Seri Dr. Irmohizam Ibrahim ialah Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur dan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik (Persidangan dan Pameran), Pertubuhan Pusat Perdagangan Dunia (WTCA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN