KETIKA berlegar di Wangsa Maju, saya mendapat Ping di hadapan salah sebuah pusat beli-belah di sana. Setibanya di pick up point, naik seorang wanita duduk di kerusi belakang. Tersenyum manis wajahnya sambil memberi salam kepada saya.
Saya menjawab salam sambil mengerling ke wajahnya. Lawa, bisik hati saya.
“Lega saya dapat pemandu perempuan,” katanya yang nama tertera pada pesanan Grab sebagai Sue.
“Kenapa, pemandu lelaki mengurat ke?” usik saya menyerkap jarang. Maklumlah, orang lawa macam dia, tak mustahil hati pemandu lelaki berdebar melihat wajahnya. Saya sebagai perempuan pun memuji kecantikan dia, apatah lagi kaum Adam.
“Taklah macam tu kak. Cuma ada kisah terjadi dulu dengan pemandu Grab,” katanya.
Naluri wartawan saya mula terungkap. “Wah, apa kisahnya. Mesti best,” pancing saya.
“Saya ini, kadang-kadang bawa Grab sambilan juga dulu. Nak cari duit lebih sebab saya ibu tunggal anak tiga. Hujung tahun lepas, saya pergi umrah. Balik umrah, saya pesan Grab dari KLIA.
“Pemandu yang ambil saya itu lelaki. Kacak orangnya dan nampak berpendidikan tinggi. Dari situ kami berkenalan. Saya bercerita tentang pengalaman umrah saya. Dia pun seronok dengar.
“Dia meminta nombor telefon sebab katanya berminat nak ke umrah. Nak ambil pakej sama dari syarikat yang saya pergi itu. Saya ini baru balik umrah, maka seronoklah nak berkongsi perkara baik-baik. Tak mahu bersangka buruk.
“Kami pun bertukar nombor. Lepas itu mulalah kami cuba berkawan dan mengenali diri masing-masing,” kata Sue terus terang. Saya biarkan dia bercerita, sesekali bertanya soalan untuk penjelasan.
“Dia dulu rupanya orang berada dan ahli perniagaan berjaya. Tapi hidup macam roda, dia jatuh teruk dalam bisnes sebab kena tipu.
“Kebetulan saya ibu tunggal dan dia pun duda. Ingatkan jodoh saya sebab baru balik umrah kan, itu pun juga doa saya. Dia pula lelaki pertama saya jumpa sebaik saja tiba di Malaysia.
“Tapi saya tak tahan dia asyik nak berkepit manjang. Asyik nak jumpa, malah kalau saya bawa Grab, dia pesan jangan bagi penumpang lelaki duduk depan. Aduh, tak tahan saya kak. Saya ini dah berdikari lama, bila orang kongkong ini, saya lemas,” kata Sue sambil membetulkan tudung.
Kata Sue, bila asyik kerap nak berkepit, bila masanya nak bekerja? Lebih-lebih lagi kerja sebagai pemandu Grab, masa umpama emas.
Habis, apa jadi? Saya bertanya tak sabar.
“Saya putuskan hubungan. Dia macam orang gila juga. Telefon tak berhenti, sampai terpaksa block nombor telefonnya. Tapi dia beli kad telefon baru.
“Dia telefon, saya block. Sudahnya lebih 10 kad baru dia beli. Akhirnya saya yang tukar nombor.
“Saya balik rumah pun cemas sebab dia tahu rumah saya. Sudahnya saya minta kawan lelaki menyamar jadi boyfriend saya, habis cerita,” kata Sue. Orang lawa memang banyak dugaan dik, kata saya mengusik.
“Ini mesti ramai nak tackle kan?” sambung saya.
“Sekarang ni, setakat cinta saja tak jadi apa. Nak beli kicap sebotol pun guna duit,” kata Sue
Saya ketawa, membenarkan kata-katanya ini! – Mingguan Malaysia







