Bukan mudah pengucapan umum - Utusan Malaysia

Bukan mudah pengucapan umum

PENULIS berucap ketika program Jelajah Kemerdekaan Muafakat Pendidikan Johor di Johor Bahru pada 2017.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT kakak naik ke pentas dan berucap di hadapan orang ramai dalam satu program di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, membuka lembaran baharu dalam hidup saya.

Itulah pengenalan pertama saya kepada pengucapan umum.

Duduk di kereta sorong bayi, saya berbisik kepada ibu bahawa apabila besar nanti, saya juga akan memberi ucapan di PWTC. Ketika itu saya berusia tiga tahun.

Pada 2017, saya diberi peluang untuk memberi ucapan sempena program Jelajah Kemerdekaan Muafakat Pendidikan Johor di Johor Bahru. Bercakap selama satu jam di hadapan ratusan pelajar sekolah menengah dan guru-guru tidak mudah bagi saya yang tidak berpengalaman.

Itulah pengalaman pertama saya bercakap selama satu jam dalam program khas. Saya memilih untuk bercakap tentang pentingnya semangat patriotisme dalam pembinaan jati diri remaja.

Cabaran yang paling besar adalah menyediakan sendiri ucapan dan merangkanya supaya tidak membosankan.

Pada November 2018, saya hampir tidak percaya apabila mendapat panggilan daripada TV AlHijrah untuk menjadi panel dalam satu rancangan bual bicara yang sangat popular. Bukan mudah untuk bercakap dengan lancar di hadapan kamera secara langsung.

Pada tahun lepas, saya mendapat pengalaman baharu apabila diberi peluang membentangkan dan membahaskan usul dalam satu kongres belia di Johor Bahru. Sebagai peserta termuda dan tidak pernah menghadiri kongres sedemikian, ia satu pengalaman yang mencabar.

Saya berasa sangat kerdil apabila berada di gelanggang yang sama dengan mereka berpengalaman termasuk pemimpin-pemimpin belia yang sangat hebat.

Ada yang bertanya, apakah saya tidak berasa takut dan segan apabila berhadapan dengan orang ramai? Sebenarnya, memang ada perasaan sedemikian setiap kali berucap di hadapan umum, namun, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN