Entah di mana silapnya, kebelakangan ini ketika pelbagai pihak sedang berjuang melawan pandemik Covid-19 dan masyarakat bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam suasana ekonomi mencabar, kita disajikan dengan berita-berita berkaitan salah laku penjawat awam terutama yang terlibat dengan urusan penguatkuasaan undang-undang dan menjaga kepentingan serta keselamatan negara.
Penahanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berserta rampasan kereta mewah, wang tunai dan pelbagai barang berharga membuktikan ada yang sanggup menggadaikan maruah dan amanah dipertanggungjawabkan bagi memenuhi kerakusan nafsu duniawi.
Bukan bermaksud mengatakan penjawat awam dalam sektor perkhidmatan lain tidak terlibat dengan salah laku, tetapi yang ingin ditegaskan di sini ialah isu rasuah dan salah laku dalam kalangan penjawat awam seakan tiada kesudahan.
Apa yang lebih menggerunkan, gejala rasuah oleh segelintir penjawat awam yang curang ini dikaitkan pula dengan masalah kemasukan pendatang asing tanpa izin, aktiviti scam, penyeludupan dadah, pemerdagangan orang, jenayah kekerasan dan sebagainya. Apa yang berlaku ini selari dengan perakuan berulang kali Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa rasuah mempunyai hubungan dengan pelbagai bentuk ketidakstabilan, keganasan dan ekstremisme.
Rasuah dan salah laku wujud di mana-mana sahaja, baik di negara maju, membangun mahupun mundur. Gejala yang bersifat destruktif ini mampu memberi kesan buruk kepada masyarakat, institusi dan negara. Menurut Association of Certified Fraud Examiners (ACFE), sektor awam dan swasta di seluruh dunia kerugian sebanyak lima peratus daripada perolehan mereka setiap tahun akibat jenayah penipuan dan salah laku. Jika angka ini diterjemahkan dalam bentuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, ia menyamai USD3.7 trilion KDNK 2013 global. Angka ini adalah lebih besar berbanding anggaran kerugian akibat aktiviti rasuah yang dibuat oleh Bank Dunia mahupun World Economic Forum yang masing-masing meletakkan angka USD1 trilion dan USD2.6 trilion.
ENJIN
Di peringkat nasional, menurut Global Financial Integrity Report 2017, antara 2005 hingga 2014, Malaysia kehilangan RM1.8 trilion menerusi aliran kewangan tidak sah yang mana sebahagian daripadanya berpunca daripada amalan rasuah. Dalam perspektif lain, jumlah ini menyamai 5.59 kali Belanjawan 2021 yang dikatakan bajet terbesar dalam sejarah negara. Jadi, jika rasuah dan salah laku tidak berlaku, Malaysia sebenarnya boleh membiayai kos operasi dan pengurusan negara untuk tempoh lima tahun dengan jumlah RM1.8 trilion ini.
Penjawat awam merupakan enjin kepada pentadbiran kerajaan. Tanpa mereka, sudah pasti operasi dan perjalanan aktiviti pentadbiran negara akan tergendala. Akan tetapi, apabila ada segelintir terlibat dengan kancah rasuah, sudah pasti perkara ini amat membimbangkan kita. Apa akan terjadi kepada negara jika jenayah rasuah tidak dibendung dan diperangi sehingga peringkat akar umbi? Lebih membimbangkan, SPRM melaporkan sebanyak 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan dari 2014 hingga Jun 2019 akibat rasuah merupakan kakitangan awam dan separuh daripada jumlah ini membabitkan mereka yang berusia bawah 40 tahun.
GAJI
Ramai mengatakan, unsur gaji yang rendah menjadi punca utama rasuah berlaku. Bagaimanapun, masalah ini juga dilakukan oleh mereka yang berpangkat dan mempunyai kedudukan dalam perkhidmatan kerajaan. Bahkan saiz rasuah yang dilakukan adalah lebih besar dan memberi kesan berganda lebih buruk berbanding salah laku oleh kakitangan bawahan yang dikatakan bergaji kecil.
Dalam hal ini, teori-teori penipuan Barat seperti fraud triangle theory atau fraud diamond theory juga tidak menyenaraikan isu gaji kecil sebagai punca berlaku penipuan dalam organisasi. Jika adapun, ia lebih menjurus kepada tekanan ekonomi berpunca daripada tekanan kewangan seperti sikap tamak dan gaya hidup di luar kemampuan. Menurut Albrecht, Hill, et al. (2006), hampir 95 peratus daripada kes-kes penipuan bertitik tolak daripada masalah tekanan kewangan ini.
Selain tekanan ekonomi atau insentif monetari, teori-teori penipuan ini turut menyenaraikan faktor peluang dan faktor rasionalisasi sebagai punca yang mendorong seseorang terlibat dalam salah laku. Peluang untuk melakukan rasuah dan salah laku wujud apabila terdapat kelemahan kawalan dalaman (internal control) dalam sesebuah organisasi.
Menurut fraud diamond theory, walaupun unsur peluang melorongkan jalan kepada penipuan, dan unsur insentif serta aspek rasionalisasi menjadi penguat kepada dorongan untuk melakukan tindakan tidak beretika, semua ini tidak akan terhasil tanpa unsur kapasiti. Unsur kapasiti boleh wujud dalam bentuk kedudukan atau fungsi seseorang dalam organisasi. Menteri, ketua setiausaha, ketua pengarah – jika di jabatan kerajaan atau ketua pengarah eksekutif atau ketua pegawai operasi mahupun akauntan – sekiranya di sektor swasta, mempunyai lebih kapasiti untuk melakukan salah laku berbanding pegawai bawahan atas dasar mereka mempunyai lebih kuasa dan kedudukan yang boleh dimanipulasi bagi tujuan tersebut. Kapasiti juga dikaitkan dengan kemampuan seseorang untuk mengatasi tekanan risiko kemungkinan dia akan ditangkap akibat salah laku. Selain itu, dia juga perlu mempunyai ego dan keyakinan bahawa kegiatan jahatnya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa atau pihak atasan.
Bagi kita orang Islam, iman adalah pendinding kepada perilaku jahat. Dalam konteks organisasi, amanah dan ikhlas dalam melakukan tugasan merupakan cerminan iman. Walaupun wujud tekanan, insentif dan peluang di depan mata, dan kemampuan untuk berbuat jahat sudah ada, namun jika seseorang itu mempunyai iman, dia tidak akan melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.
PENULIS ialah Felow Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










