Terdapat banyak spekulasi, lebih-lebih lagi selepas insiden Menteri Besar Perak kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), menimbulkan Pakatan Harapan (PH) dapat menjalin kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Apa sahaja yang berlaku di Perak akan membawa kesan di peringkat Persekutuan. Situasi seperti ini selalunya akan membawa kepada perkara yang lebih besar dan menggemparkan arena politik.
Sebagai ahli Parlimen, saya yakin PH adalah platform terbaik untuk kita mencapai negara progresif dan adil. Segala penjajaran politik baharu mesti mengutamakan kepentingan rakyat – kita tidak boleh berkompromi dalam isu ini. Namun, kita harus akui penjajaran semula politik bukanlah perkara baharu di Malaysia.
Selepas tragedi 13 Mei 1969, Majlis Perundingan Negara (Mapen) ditubuhkan oleh Tun Abdul Razak Hussein, sebahagiannya untuk memulihkan sosiopolitik dan ekonomi rakyat.
Kecuali DAP, semua parti pembangkang utama yang lain turut serta dalam Mapen – Pas, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Gerakan. DAP memprotes penahanan Setiausaha Agungnya, Lim Kit Siang.
Proses ini membawa kepada penciptaan Rukun Negara dan sokongan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menangani kemiskinan dan identiti ekonomi berasaskan kaum.
Tidak lama selepas itu, Pas, PPP, Parti Perikatan Sabah dan dua parti Sarawak, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bergabung dengan ahli asal Parti Perikatan untuk membentuk BN. Gabungan ini menguasai politik Malaysia sehingga kekalahannya pada Mei 2018.
PKR dan DAP bekerjasama dengan Pas beberapa kali pada masa lalu termasuk melalui Pakatan Rakyat (PR). Kerjasama ini membuahkan realiti pada 2008 apabila majoriti dua pertiga BN hilang buat kali pertama di Parlimen. DAP dan PKR buat pertama kali menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor.
Kami mengetepikan tahun-tahun persengketaan dan kecurigaan untuk bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, membolehkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi ahli komponen PH pada 2017.
Pada 2018, seperti semua orang tahu, PH mengalahkan BN – kali pertama pertukaran kuasa berlaku di peringkat Persekutuan.
GAGAL
Walaupun PH melakukan yang terbaik untuk memperkenalkan agenda perubahan, kami harus mengakui ada melakukan kesilapan. Kami gagal memberi tumpuan kepada isu periuk nasi yang penting bagi kebanyakan rakyat.
Cara kami menangani isu-isu berkaitan bangsa, agama dan bahasa kebangsaan masih perlu diperbaiki. Ini bukan sahaja memberi modal kepada musuh politik kami tetapi turut memburukkan keadaan berbanding menyembuhkan luka di negara kita.
Bermula dari awal Reformasi pada 1998, kerangka politik yang wujud pasca 1969 menjadi semakin lemah sehingga dilanda ‘gelombang’ Pilihan Raya Umum 2008 dan 2018.
Jelas, model lama BN sudah tidak relevan. Ketika kejatuhan PH dan juga ketidakstabilan dalam PN berterusan, Malaysia tidak menemui penjajaran politik yang dapat dilaksanakan untuk mencerminkan realiti semasa.
Setiap ahli mahu partinya berjalan dengan baik tetapi peluang mana-mana entiti menguasai negara seperti yang dilakukan oleh UMNO dan BN pada zaman kegemilangan mereka sudah berakhir.
Kita berada dalam era politik gabungan. Pada masa sama, demokrasi terutama yang masih ‘muda’ seperti di Malaysia secara semula jadi tidak kemas dan rencam.
Kepastian koalisi parti politik sebelum pilihan raya memberi jalan kepada kedudukan yang lebih pragmatik seperti yang dialami oleh banyak negara Eropah.
Namun, kita harus memahami rakyat keletihan dan terdesak untuk kehidupan kembali biasa di semua bidang. Mereka telah dikecewakan berkali-kali.
Oleh itu, seperti yang saya tegaskan sejak awal lagi, penyesuaian semula politik harus dilakukan untuk kebaikan rakyat.
Tiada seorang pun yang boleh melupakan hal itu, terutama mengingat pergolakan sosioekonomi yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19 pada masyarakat paling rentan.
Oleh itu, apa-apa kerjasama baharu atau apa pun boleh disebut PH yang harus dilaksanakan mestilah yang membawa kestabilan, pemulihan dan pertumbuhan bagi negara.
KESTABILAN
Perkara-perkara berikut sangat penting dalam fikiran saya.
Pertama, ia mesti berterusan sehingga penggal Parlimen ini selesai yang dijangka berakhir pada 2023.
Kerajaan sekarang boleh dikatakan gagal memberikan kestabilan yang diinginkan oleh rakyat. Namun, penggantinya mesti memberikan peningkatan kehidupan rakyat untuk mempersiapkan masa hadapan yang mencabar.
Kedua, mesti ada wawasan yang sama. Kekurangan ini jelas kelihatan pada PH ketika kami menjadi kerajaan dari 2018 hingga 2020.
Sekurang-kurangnya, PH bertanggungjawab terhadap manifesto pilihan raya. PN gagal melakukannya dan itu mendedahkan kelemahan mereka.
Keruntuhan kerajaan PN akan bermaksud perubahan nasib politik dan perundangan. Ini adalah pengajaran untuk melaksanakan semua undang-undang secara adil dan mengakhiri budaya menang-kalah yang kita warisi daripada hegemoni BN, digantikan dengan budaya menang-menang.
Akhirnya, mandat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018 mesti dihormati.
Penyelarasan tidak semestinya untuk mendapatkan kuasa semata-mata. Sebaliknya, ia mesti menjadi hasil penilaian bijak tentang apa yang akhirnya baik untuk negara.
Kita tidak dapat mengabaikan kenyataan bahawa semua rakyat walaupun nampaknya keletihan dengan politik, pada dasarnya mengharapkan kedaulatan undang-undang, penghormatan terhadap muafakat Perlembagaan dan masyarakat yang adil dan saksama.
Tidak ada individu yang harus dikecualikan daripada proses undang-undang dalam usaha untuk menyulam semula penjajaran politik baharu.
Pembaharuan institusi awam untuk memastikan mereka tidak hanya berfungsi tetapi juga bebas dan bertanggungjawab mesti dimulakan semula dan diteruskan tanpa halangan.
Sebagai rakyat, kita mencintai negara kita dan menginginkan yang terbaik untuknya.
Adalah wajar dan tidak dapat dielakkan bahawa kita mungkin berada di pelbagai sudut spektrum politik.
Tetapi dalam menghadapi pelbagai krisis, kita harus bersatu dalam gabungan yang luas, berfikiran ke hadapan dan menyederhanakan suara-suara di pinggir untuk membolehkan Malaysia pulih dan maju.
PENULIS ialah Ketua Setiausaha Pengelola PKR dan Ahli Parlimen Setiawangsa.










