SEINGAT sayalah, zaman hebat negara ditunjangi secara muhibah adalah sekitar tahun 90-an sebelum catatan akhir 2004.
Semasa era pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu mulus-mulus belaka. MCA dan Gerakan dengan tertibnya ikut nasihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad waktu itu. Tak sentuh isu-isu sensitif. Dalam Kabinet pun, jarang diperbualkan ada unsur provokatif. Lebih banyak yang bersyukur. Ngam-ngam sahaja menteri untuk MCA. Tiga atau empat orang. MIC pula satu ke dua orang.
Ketika zaman kecemerlangan muhibah itu, Kabinet cukup mencerminkan komposisi kaum. Pendek kata, ‘tak besar kepala’ sehingga menjadikan DAP ketika zaman itu tidak relevan langsung. Dan sehinggalah kemuncaknya era Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau panggilan mesranya Pak Lah cukup gemilang tahun 2004 memimpin kejayaan BN menang 91 peratus kerusi Parlimen (199 daripada 219 kerusi) melalui 61 peratus undi popular.
Itu sejarah tahun 90-an yang termasuk sedikit awal 2000. Tapi selepas 9 Mei 2018 dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) 22 bulan, kepekaan muhibah itu kelihatannya tidak terasa. Cuma banyak terdengar – tuntutan sama rata, sama rasa. Mesti sama peratusannya. Untuk di pihak DAP sahaja sudah memiliki enam menteri dan enam timbalan menteri. Termasuklah portfolio Kewangan yang tradisinya disandang Perdana Menteri.
ICERD, UEC, RUU 355
Dari sejak Mei 2018 hingga Februari 2020, banyak cakap-cakap kurang enak, kurang molek berkisar sensitiviti kaum. Kisah-kisah mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), memperakui Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan bantahan terhadap pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang dicemuh penentangnya telah menggamit perhatian dan perasaan orang Melayu.
Di bandar-bandar besar, pinggir bandar dan ceruk-ceruk kampung dalam tempoh itu semasa saya sendiri menghadiri kenduri-kendara – tak kira majlis kecil besar, majlis kahwin, aqiqah anak, sambutan hari jadi – para tetamu tuan rumah bercerita di bawah khemah kecil dipasang depan rumah isu satu ini sahaja – “nasib Melayu tidak terjamin hari ini.”
Kata mereka, orang Melayu sudah hilang status quo dalam menentukan untung rugi, jatuh bangun dan simpang siur nasib bangsanya sendiri meski masih membentuk bangsa majoriti dalam Malaysia.
Kefahaman mengenai kedudukan orang Melayu sebagai bangsa teras dalam kemajmukan Malaysia semakin pudar secara perlahan-lahan. Prinsip first amongs equal atau pertama di antara yang sama – sebagai prinsip asas pembinaan Malaysia semakin dicabar oleh pihak yang mahu menggantikannya dengan prinsip-prinsip yang lain.
Pembawakan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP kata mereka telah mencengkam identiti dan jati diri ke-Melayuan mereka.
Kemenangan PH dalam PRU-14 itu seakan satu kejanggalan. Janggal kerana hari ini apabila orang Melayu mahu membela kepentingan bangsanya, mereka dikatakan rasis, tidak toleran dan pada satu ketika digelar pula sebagai ‘Taliban’.
Janggal kerana apabila orang Melayu mahu mempertahankan kedudukan Islam, mereka dikatakan ekstrem, walhal Islam sudah sedia termaktub sebagai agama Persekutuan.
Janggal kerana apabila orang Melayu menuntut haknya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial, maka mereka digelar sebagai pengguna ‘tongkat’ yang tegar dan gagal untuk berdiri di atas kaki sendiri.
Tetapi apabila wujud organisasi-organisasi dan individu yang memperjuangkan hak dan ideologi songang mereka, seperti LGBT, liberalisme dan cauvinisme, mereka pula dibenarkan atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi.
Dan apabila wujud pihak-pihak yang mempersoal hak keistimewaan Melayu dan mempersenda agama Islam serta Raja-Raja Melayu, dikatakan pula mereka sebagai reformis peneraju Malaysia Baharu.
Itulah yang terjadi. Sejarah 22 bulan yang terpadam, tetapi parut lukanya masih ada.
MCA, GERAKAN TIDAK RELEVAN
Namun, hakikat atau realiti yang tidak dapat orang politik tolak adalah masyarakat Cina hanya menyokong satu parti ini sahaja. Bukan MCA, bukan Gerakan tetapi DAP. Bahkan, Presiden Parti Maju Sabah, Datuk Yong Teck Lee yang berdegar-degar depan saya menghentam DAP semasa kempen Pilihan Raya Negeri Sabah, September lepas pun malu-malu alah, tak mampu menahan rejaman undi DAP.
MCA khususnya harus akur, parti itu tidak relevan lagi dalam kalangan masyarakat Cina. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tempoh hari pun, MCA hanya menang satu daripada 39 kerusi Parlimen dan dua daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri. Itu kekalahan paling teruk dalam sejarah 69 tahunnya. Itupun saya tambah terkejut bila sempat lagi beberapa bulan selepas BN tumbang, MCA mencadangkan gabungan itu dibubarkan. Padahal parti itu sendiri yang sudah kalah hatrik di tangan DAP (PRU 2008, 2013 dan 2018). Kenapa menuding jari kepada parti lain?
Jadi, adakah DAP masih harus diberi peluang lagi oleh parti-parti Melayu untuk disepakati? Adakah barangkali boleh dengan syarat tanpa Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang? Maka dibawa bersama sertai gabungan dengan parti Melayu yang dominan akan nama-nama seperti Anthony Loke, Liew Chin Tong dan Hannah Yeoh?
Mampukah dikembalikan harmonis MCA yang dulu dalam diri DAP? Label MCA 2.0 buat DAP mungkin tidak beberapa kena. Tetapi lebih elok perubahan DAP yang lebih harmoni butir-butir percakapan serta hujahnya – agar penerimaan rakyat lebih lunak terhadap DAP.
Tetapi pokok pangkalnya, bersediakah DAP menjadi MCA 2.0?










