TAK selesa saya bila dihidangkan dengan satu screenshot Oktober lepas, akan apa didakwa ‘surat bocor’ kepada istana yang khabarnya ditandatangani dua pemimpin sebuah parti.
Tak berkenan bukan kerana saya penyokong atau ahli parti berkenaan. Tapi lebih pada soal etika. Apa kata andai benar isi kandungan surat itu? Pokok persoalan besarnya, bagaimana boleh bocor?
Namun, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Sumali Reduan telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pejabat Presiden parti itu tidak pernah mengeluarkan surat berkenaan.
Demikian juga halnya kisah surat sokongan permohonan lantikan daripada seorang timbalan menteri kepada menterinya tempoh hari. Ini supaya membuka peluang buat anaknya meraih jawatan sebagai ahli lembaga pengarah sebuah syarikat farmaseutikal. Itu pula kisah benar.
Dan menteri berkenaan pun sudah buat kenyataan tidak melantik anak timbalannya itu walaupun menulis ‘setuju’ pada surat sokongan. Ini kerana bimbang berlakunya amalan nepotisme.
APA SUDAH JADI?
Dengan erti kata lain, begitu mudah surat pekeliling atau surat rasmi membabitkan anggota pentadbiran kerajaan atau Kabinet boleh ‘bocor’.
Bahkan dalam sehari dua ini, surat mohon menghadap Sultan Perak daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun boleh ‘jatuh’ ke tangan seorang blogger politik. Apa sudah jadi?
Perilaku atau tindak-tanduk sebegini saya percaya bermula dari etika politik juga. Masa dulu seingat saya sampai ke era Perdana Menteri ketiga Datuk Hussein Onn (Tun) atau sekurang-kurangnya fasa satu pentadbiran PM keempat, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (Tun) sekitar 80-an, anggota pentadbiran kerajaan tidak dibenarkan menghantar terus surat atau mengenakan pengaruh kepada hal-hal yang akan memadam imej perjuangan.
Tapi sekarang ini sejak media sosial berleluasa terutama bermula Pilihan Raya Umum Ke-13 (2013), kita tidak ada garis panduan lagi. Curi rahsia, screenshot surat rasmi kerajaan dan barangkali dijual kepada pihak berkepentingan. Sampai begitu segelintir orang politik memperguna kedudukan dan pengaruh di luar dugaan.
Macam surat mohon menghadap Sultan Perak daripada Abdul Hadi bertarikh 10 Disember yang diajukan kepada setiausaha sulit baginda, ia tidak salah sebab terdahulu pemimpin UMNO pun berbuat demikian. Itu hak parti atasan yang ada dalam kerajaan. Lagipun sultan berhak untuk jumpa.
Dulu-dulu ada semacam budaya ‘surat layang’ merebak. Tapi selepas media sosial wujud, ia hentam terus. Banyak ‘hentam menghentam’ di media sosial. Datang daripada masyarakat kita juga, orang Melayu. Pakar psikologi harus buat kajian ini.
FAKTOR MAJORITI
Kalaulah orang Melayu sedar tentang faktor majoriti, nescaya mereka akan gunakan sebaik-baiknya. Maka akan selamatlah dari menjadi rebutan pihak-pihak yang tidak ada sifat kenegaraannya, sosial, budaya dan ekonomi. Sayangnya objektif ini tidak nampak diterima pakai oleh sebilangan pemimpin politik Melayu yang kononnya gah.
Seharusnya satu pendekatan harus diambil di peringkat Parlimen. Tidak harus dibiarkan tatalaku tidak elok ini. Kedua-dua Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu bertegas untuk tegakkan apa yang disebut etika tatacara di kedua-dua Dewan.
Elok sangat supaya anggota Parlimen yang di awal-awal dulu dianggap Yang Berhormat (YB) terus kekal beretika. Peristiwa guna isyarat lucah semasa sidang Dewan awal bulan ini suatu cerminan yang tidak beretika. Merendah-rendahkan Parlimen sebagai gedung penggubal undang-undang tertinggi negara.
Hakikat atau sebenarnya dalam Kabinet sudah pun ada dokumen tatacara anggota pentadbiran. Cukup garis panduan dan tatalakunya termasuklah untuk perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik. Mereka tertakluk kepada Kod Etika Bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen.
Malangnya insiden yang berlaku semacam tidak ada dokumen yang memandu mereka.
Bukankah semua telah disebut dalam kod berkenaan, termasuklah:
Perkara 10: Tata kelakuan Pasangan
Pasangan (spouse) kepada anggota pentadbiran atau ahli Parlimen juga sentiasa dalam perhatian rakyat.
(i) Pasangan anggota pentadbiran hendaklah tidak melibatkan diri dalam perjalanan tugas-tugas rasmi anggota pentadbiran dan tidak campur tangan dalam hal-hal rasmi.
(ii) Pasangan anggota pentadbiran atau ahli Parlimen hendaklah tidak menunjukkan satu taraf atau cara kehidupan yang melebihi daripada kemampuannya dan anggota pentadbiran berkenaan.
STATUTORY DECLARATION
Cumanya dalam perihal menghantar surat kepada Istana atau Agong andai dilakukan untuk beroleh kuasa, diakui tidak ada undang-undang menghalang. Ia tradisi kerukunan dan budi bahasa.
Cumanya, surat itu tidak ditulis sedemikian rupa. Kalau surat itu diletakkan di bawah Artikel 43, apa yang diperlukan oleh Agong adalah dalam konteks Statutory Declaration (SD). SD disebut akuan berkanun atau akuan bersumpah adalah sekadar pengakuan sah (yang benar) seseorang individu tentang sesuatu isu.
SD diberi kepada Agong bila isu penentuan Perdana Menteri boleh dikemukakan. Dengan ada kisah ‘golongan surat lama ini’, punca kecelaruan timbul. Tak pernah lagi kita dengar Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng tulis surat kepada Raja-raja Melayu. Kelak ini memberi kesan buruk yang timbul terdayung. Nanti Seri Paduka pula dianggap cenderung kepada blok politik tertentu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini kena buat homework yang sangat berat. Misalnya, antara salah di sisi undang-undang dan media sosial. Dua perkara ini berbeza.
Etika berkomunikasi mesti wujud. Bahan-bahan pornografi menerusi Google, bebas dilayari. Kalau bahan ini bebas, apa lagi surat rasmi kerajaan. Kita sudah dibasuh dunia barat benda-benda yang negatif. Hairannya yang positif tidak pula kita ikut. Tapi kita ambil budaya negatif sehingga kita tak upaya lagi menjadi ‘akta’ kepada SKMM.
Sekarang tidak ada rahsia. Akta Rahsia Rasmi pun sudah semacam tidak ada makna. Kelihatan tidak ada hukuman oleh kerajaan kita – yang akhirnya akan mencetuskan persepsi negatif kepada orang Melayu hari ini.










