MUKADIMAH
KETIKA ditanya tentang rasuah di negara ini, ternyata beliau bimbang. Baginya, gejala itu sudah menjadi pandemik. Sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat.
Paling merisaukan Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, DATUK SERI AKHBAR SATAR, rasuah paling banyak dilakukan oleh mereka yang mempunyai kuasa.
Beliau yang juga bekas Presiden Transperancy International Malaysia berkata, jika rasuah dalam kalangan ahli politik, pegawai kerajaan khususnya polis, imigresen dan kastam masih tidak dapat dibanteras, maka negara akan musnah.
Ikuti temu bual pakar kriminologi ini dengan wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan jurugambar, FAUZI BAHARUDIN di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pandangan Datuk Seri tentang rasuah di Malaysia?
Gejala rasuah merupakan satu pandemik di negara ini. Dahulu tabiat negatif ini pernah menjadi budaya, kemudian senyap. Sedih, kini jadi budaya balik.
Golongan mana paling banyak terlibat rasuah?
Berdasarkan laporan Global Corruption Barometer (GCB) 2020 yang dikeluarkan oleh Transparency International, rakyat Malaysia berpendapat, ahli-ahli Parlimen merupakan yang paling ramai iaitu 36 peratus.
Ini diikuti polis (30%), penjawat awam (28%), eksekutif perniagaan (27%), pejabat perdana menteri (25%), pihak berkuasa tempatan (18%), pertubuhan bukan kerajaan (15%), hakim dan majistret (13%), pegawai bank (10%) serta pegawai tentera dan pemimpin agama (9%).
Pandangan Datuk Seri berhubung ahli politik terlibat rasuah?
Rasuah adalah ibu kepada semua masalah termasuk kestabilan politik dan ekonomi. Selagi rasuah masih ada, sampai bila-bila pun kestabilan politik dan ekonomi tidak akan wujud.
Ketika rakyat menghadapi masalah, ekonomi negara menjunam, syarikat kecil khususnya milik bumiputera banyak yang terpaksa ditutup, apa tindakan dan rancangan mereka untuk membantu?
Sikap ahli politik yang dilihat tidak kisah dikritik, tidak peduli keluhan rakyat akan memberi impak negatif kepada rakyat.
Imej negara akan tercalar, rakyat akan jemu dan hilang keyakinan. Wang negara sudah banyak habis, malah negara terpaksa pula menanggung hutang.
Harap jika ada yang terlibat, mereka kembali kepada tujuan asal menjadi wakil rakyat. Rencanakan perancangan untuk membela nasib rakyat terutama semasa Covid-19 ini.
Ingatlah, undi yang diberi rakyat kepada anda adalah harapan, terutama rakyat bawahan yang merana. Sumber kewangan mereka terjejas malah ada yang tak mampu nak makan. Jika rakyat sudah tidak mampu mencari rezeki dengan cara yang betul, tidak mustahil mereka akan pilih jalan yang salah untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dan jika ini berlaku, bahaya kepada negara.
Bagaimana nak bendung?
Bagi membendung masalah ini, tiba masanya kita memperkenalkan Akta Anti Lompat Parti dan Akta Dana Politik. Selagi rasuah politik tidak dibanteras dahulu dan tiada akta sebegini, kestabilan politik susah wujud dan dikhuatiri pergolakan politik berterusan, seperti yang kita saksikan dalam tempoh setahun kebelakangan ini termasuk terbaharu di Perak.
Sekarang nak kekal jawatan, terpaksa bagi jawatan trade off trading. Selagi benda ini tidak jadi kesalahan jenayah, orang politik akan terus buat.
Sejauh mana serius gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam pula?
Dalam laporan GCB 2020, sebanyak 71 peratus responden berpendapat, rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan merupakan satu perkara serius.
Kalau lihat data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari 2015 hingga Oktober lalu, sebanyak 47.4 peratus iaitu 2,607 orang yang ditahan merupakan kakitangan awam. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,884 atau 72.2 peratus dalam kategori kumpulan pelaksana, 658 orang (25.2%) kumpulan pengurusan dan profesional manakala selebihnya 65 orang (2.5%) kumpulan pengurusan tertinggi.
Selain itu, sebanyak 2,873 orang atau 52.3 peratus yang ditahan SPRM adalah golongan belia berumur 40 tahun dan ke bawah. Ini bermakna, kita sedang berdepan krisis integriti. Bukan sahaja generasi kita tapi juga gen-Y, gen-Z dan gen-Alpha. Maknanya masa depan anak cucu kita turut gelap.
Kebanyakan rasuah yang dilakukan penjawat awam melibatkan kerjasama dengan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), pemalsuan cap imigresen, penyeludupan rokok, pemerdagangan manusia, judi dalam talian, pelacuran, scam, pencemaran kilang haram, pengubahan wang haram dan duit rampasan diambil dan tidak diserahkan kepada kerajaan.
Agensi mana yang mudah terdedah dan paling bermasalah dengan rasuah?
Berdasarkan laporan sama (GCB 2020), persepsi masyarakat mengikut institusi mendapati pasukan polis paling tinggi kadar terlibat rasuah iaitu 57 peratus, diikuti bahagian percukaian dan pihak berkuasa tempatan (48%).
Apa faktor yang mendorong penjawat awam terlibat rasuah?
Puncanya, tiada tadbir urus yang baik – tiada integriti, akuntabiliti dan ketelusan dalam kalangan sebahagian pegawai kerajaan.
Mengikut diamond fraud theory, terdapat empat sebab kenapa seseorang terlibat rasuah iaitu tekanan, peluang, rasionalisasi dan keupayaan.
Tekanan – apabila dia dipaksa melakukannya. Sebagai contoh, mungkin dia seorang pegawai, ketua dia paksa meluluskan sesuatu projek. Kalau tak buat, dia diugut oleh ketua akan dipindahkan ke tempat lain. Jadi, nak tak nak terpaksa buat.
Peluang – contohnya mereka di bahagian kontrak, permit, kewangan dan penguat kuasa. Mereka ini umpama duduk dalam lubuk emas, terdedah untuk menerima habuan.
Rasionalisasi – inilah faktor paling banyak berlaku dan paling relevan. Ini faktor paling mustahak sekali untuk ditangani. Berlaku dialog dalaman, kadang-kadang pegawai bawahan kerja teruk, datang pagi balik malam. Tapi tengok bos dia relaks saja, balik awal pergi main golf. Jadi, pegawai ini tengok, kalau bos boleh hidup senang lenang, maka dia pun terpengaruh untuk terlibat rasuah supaya dapat hidup mewah.
Keupayaan – kalau peluang ada tapi tiada pengetahuan atau pangkat yang besar pun tak jadi juga. Lagi besar pangkat, lagi banyak jumlah rasuah boleh dilakukan.
Berkesankah peranan SPRM?
Kerja menghapuskan rasuah bukan terletak pada SPRM sahaja. Bagaimanapun, SPRM telah menjalankan tugas mereka dengan tekun dan baik.
Setakat ini, tiada kajian dibuat kerajaan, apa punca sebenar berlaku rasuah. Adakah disebabkan cara kita dibesarkan? Atau sistem pelajaran? Atau sistem sosioekonomi? Sebab tiada kajian imperikal.
Dari dahulu lagi kita berbelanja besar menubuhkan pelbagai jabatan selain SPRM untuk membanteras rasuah. Tapi malangnya masih ada ramai pemimpin dan pegawai kerajaan ditangkap oleh agensi penguat kuasa. Maknanya, apa yang dibuat termasuk belanja yang banyak tapi hasilnya kurang berkesan. Sebab kita tidak tahu punca sebenar berlakunya rasuah.
Apa cadangan Datuk Seri untuk mengatasi masalah ini?
Setiap tahun, Jabatan Audit Negara menimbulkan isu-isu ketirisan di banyak jabatan, seolah-olah tiada tindakan diambil. Ketua jabatan sepatutnya bertanggungjawab mengawasi dan mengambil tindakan sewajarnya
Walaupun kita boleh import sistem terbaik dari United Kingdom dan Amerika Syarikat. Guna kajian Universiti Harvard dan Universiti Oxford. Tapi kalau pegawai atau pengendali sistem tiada integriti pun tiada guna.
Kita boleh guna sistem mudah yang dihasilkan oleh universiti tempatan, kenapa nak belanja besar untuk beli sistem dari luar? Selesaikan krisis integriti dalam masyarakat dahulu, baharu kita boleh selesaikan masalah rasuah di negara ini. Untuk lebih berkesan, pastikan pelajaran berbentuk integriti diterapkan pada peringkat tadika lagi. Di samping itu, ibu bapa perlu sama-sama menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak di rumah.
Nasihat Datuk Seri kepada mereka yang masih bergelumang dengan rasuah?
Masalah besar kita, perasuah sendiri yang pandai-pandai beri ceramah, nasihatkan rakyat supaya tidak amalkan rasuah. Sebelum nak nasihatkan orang, kita sendiri kena bersih.
Sebagai kakitangan kerajaan, kita tidak boleh halang orang politik untuk campur tangan tapi kita ada hak untuk tidak patuh kepada arahan (rasuah) mereka.
Di Malaysia, kalau nak selesaikan rasuah, negarawan perlu lakukan tugas itu, bukan ahli politik. Agak sukar nak cari negarawan. Yang masuk politik kebanyakannya untuk kepentingan sendiri.
Jarang yang masuk politik untuk kepentingan rakyat.
Kita kena tahu tanggungjawab sebagai pemimpin. Kalau dapat gaji, jalankanlah tanggungjawab. Kalau tidak, di mahkamah akhirat nanti kita sebagai ketua akan diadili.










