Abadikan teladan Pak Ungku - Utusan Malaysia

Abadikan teladan Pak Ungku

Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein (kiri) merasmikan Fakulti Pergigian Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada 1975. Turut kelihatan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Menteri Pelajaran) dan Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali seorang tokoh meninggalkan alam fana ini, kedengaran pelbagai sanjungan yang diberikan kepadanya. Anehnya, semasa tokoh tersebut masih hidup, tidak banyak pula dilakukan untuk dimanfaat sebanyak mungkin daripada pengalamannya untuk dijadikan teladan. Malah ada yang tersisih, hilang ditelan zaman begitu sahaja.

Terbaharu, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang kembali kerahmatullah pada 15 Disember lalu pada usia 98 tahun. Lebih mesra dipanggil Pak Ungku, nama dan semangatnya sudah pun menyelinap ke seluruh pelosok negara terutama sektor pendidikan. Walaupun tidak pernah bersua, ramai merasakan kehadirannya dari pelbagai sudut. Malah, Pak Ungku tidak perlu diperkenalkan lagi memandangkan begitu banyak teladan yang dapat diperhatikan serta dikutip sebagai contoh terbaik.

Pertamanya, beliau amat berdisiplin serta berprinsip. Ini jelas terpampang semasa menerajui Universiti Malaya (UM) sebagai Naib Canselor selama 20 tahun sejak 1968, paling lama dalam sejarah universiti tempatan. Pak Ungku merupakan anak watan pertama dan yang ketujuh dalam senarai Naib Canselor UM selepas mengambil alih jawatan daripada Profesor James Griffith, seorang sarjana Inggeris. Disiplin yang diamal beliau membuatkan setiap gerak kerjanya berjaya tanpa banyak bergantung kepada arahan mana-mana pihak.

Kebebasan serta keluwesan ini merupakan pokok kepada perkembangan pesat ilmu sejagat tidak kira di mana sahaja dan Pak Ungku pandai serta berani menguruskannya. Beliau tidak terpengaruh dengan unsur-unsur luar khususnya politik serta birokrasi yang sering menghambat perancangan serta perkembangan ilmu sebenar. Inilah yang menjadikan Pak Ungku gergasi cendekiawan negara dengan kepemimpinan yang tegas, namun bebas. Kedua-dua aspek ini merupakan gabungan penting dalam memacu kemajuan dengan pesatnya apabila campur tangan luar dinyahkan. Pak Ungku amat menyanjung tinggi keberkecualian akademik sesebuah universiti sepertimana rakan-rakan sejawatnya sebelum itu. Inilah tradisi dan budaya ilmu seantero yang juga disanjung ramai tapi kurang berhasil di Malaysia.

Maka tidak hairanlah jika UM sudah mula terkenal pada ketika itu lagi tanpa perlunya amalan penarafan atau ranking ataupun Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seperti yang digunakan sekarang.

Perbezaannya amat ketara kerana ranking umumnya berpaksikan kepada kerangka pasaran ilmu yang menelan ribuan ringgit untuk kelangsungannya tahun demi tahun. Kesudahannya, ilmu mula diperdagangkan serta budaya menuntut ilmu turut berubah didalangi faktor-faktor pasaran yang disyaratkan. Maka cita rasa universiti pun tercemar sebagaimana dewasa ini apabila amalan kebebasan ilmiah dan urus tadbir baik terkakis sedikit demi sedikit.

MARHAEN

Sebagai tambahan daripada itu, Pak Ungku terkenal dengan amalan berdampingan dengan masyarakat. Boleh dikatakan beliau penggerak masyarakat marhaen yang sentiasa dirundung malang.

Sebagai seorang pakar ekonomi berwibawa lagi bertanggungjawab, denyut nadinya sederap dengan masyarakat kebanyakan. Hatta, wujudlah konsep-konsep terkini sebagai asas pembelaan nasib rakyat. Antaranya, penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji (Tabung Haji), satu-satunya di seluruh dunia dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), sebuah koperasi bernadikan kesejahteraan rakyat.

Mahu tidak mahu, tujuannya untuk merapatkan lagi masyarakat teramai dengan masyarakat universiti dalam pelbagai hal. Apatah lagi ramai mengakui universiti adalah sebahagian daripada masyarakat malah pendukung serta penentu buruk baiknya. Oleh sebab itulah, Pak Ungku merupakan teladan terbaik memandangkan Tabung Haji serta Angkasa masih terus berkumandang sehingga hari ini. Sedangkan kini banyak universiti mengalih pandangan ke industri-industri moden yang kononnya menjanjikan pelbagai bantuan serta laba. Lantas, masyarakat terus tercicir atau dicicirkan.

Namun, apabila pandemik Covid-19 melanda sehingga banyak industri mulai merudum dan terpaksa ditutup, suasana mula berubah dengan dahsyatnya. Universiti tidak lagi boleh bergantung harap seperti dijanjikan. Universiti kini terdesak mencari rakan kerja lain dan jelas masyarakat adalah antara pilihan utama.

Pak Ungku dalam hal ini telah mendahului apabila meletakkan teladan yang memberi impak begitu tinggi sejak begitu lama lagi. Mahu tidak mahu, teladan ini sudah mula mendapat tempat semula selagi ancaman pandemik tidak reda. Hubungan rapat antara universiti dengan masyarakat bakal mencetuskan satu dinamika ilmu baharu pascapandemik. Corak pendidikan, malah struktur serta percaturan ilmu bakal berubah dalam mengembalikan semula makna ilmu serta pendidikan, dan begitu juga peranan universiti sebenarnya. Yakni sebagai penentu masa depan rakyat teramai dengan mengambil peri penting mereka secara lebih mendalam. Universiti bukannya lagi sebuah menara gading untuk kelompok tertentu tetapi sebuah menara penyuluh masa hadapan manusia sejagat. Universiti lebih mirip kepada insaniversiti tatkala memanusiawikan ilmu melalui pendidikan.

Kesimpulannya, sanjungan kepada tokoh-tokoh negara wajar melewati hanya kata-kata kerana ia tidak membawa impak jika tidak diterjemahkan kepada kenyataan. Inilah yang wajar dilakukan sekarang oleh universiti serta kepemimpinan yang ada untuk menzahirkan sanjungan abadi kepada Pak Ungku untuk dijadikan teladan panjang zaman. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT.

Al-fatihah.

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN