Dua hari lagi kita akan ucapkan selamat tinggal kepada 2020 – yang diharapkan menjadi ‘tahun kemegahan’ andainya kita berjaya mencapai status negara maju (matlamat Wawasan 2020), tetapi malangnya ditakdirkan menjadi ‘tahun penuh kejutan dan kesedihan.’
Ia memberi pengajaran bahawa kita hanya boleh merancang, Allah SWT yang mentakdirkan.
Dalam surah al-Imran ayat 54, Allah berfirman (yang maksudnya): “Dan mereka merancang, dan Allah juga merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang.”
Antara kejutan paling awal adalah kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari lalu akibat komplot beberapa individu yang mengaturkan ‘Langkah Sheraton’, sekali gus mempamerkan satu sifat buruk segelintir pengamal politik di negara ini – tidak amanah, memungkiri janji dan taasub merebut kuasa.
Kejutan berulang pada Mac lalu dengan kedatangan pandemik Covid-19. Pada 20 Mac lalu, tiga hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kes jangkitan virus Covid-19 sudah melepasi angka 1,000.
Tarikh 20 Mac itu juga merupakan hari Jumaat pertama di negara ini yang mana masjid ditutup dan umat Islam tidak dibenarkan mengerjakan solat Jumaat. Walaupun Kerajaan Persekutuan tidak mengisytiharkan darurat di seluruh negara (seperti dilakukan di beberapa negara luar), bagi umat Islam ‘darurah’ dari segi hukum syarak telah berlaku, menandakan permulaan tempoh kesedihan untuk berbulan lamanya.
Pada 14 Mei lalu, kita dikejutkan oleh mahkamah apabila Hakim Azman Ahmad melepaskan tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz, iaitu anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dituduh melakukan pengubahan wang haram US$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 18 Mei lalu, Kedah dikejutkan dengan kejatuhan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, apabila jawatanya dirampas oleh pemimpin Pas, Muhammad Sanusi Mohd. Nor. Beliau kemudian mengejutkan banyak pihak dengan kenyataannya mengenai isu bekalan air kepada Pulau Pinang, perobohan kuil Hindu dan niatnya untuk meneroka hasil nadir bumi yang dikatanya bernilai berbilion ringgit.
Pada 9 Jun lalu, negara dikejutkan lagi apabila Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepaskan dan membebaskan Tan Sri Musa Aman daripada semua 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya. Mahkamah berbuat demikian setelah pendakwa menarik balik semua pertuduhan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Pada 20 Julai lalu pula, Sultan Selangor meluahkan rasa sedih baginda apabila mural potret pemimpin negara yang menjadi perhatian ramai di Shah Alam diconteng dan dicemari kata-kata kesat.
Pada 28 Julai lalu, kejutan kali ketiga oleh mahkamah apabila Najib disabitkan kesemua tujuh pertuduhan terhadapnya dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Najib kini masih bebas dengan ikat jamin sementara menunggu rayuannya ke Mahkamah Rayuan didengar dan diputuskan.
KENDURI KAHWIN
Berbanding Musa (yang dibebaskan) dan Najib (yang disabitkan), bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad masih belum dapat meramalkan masa depannya. Setelah selesai mengemukakan pembelaannya di mahkamah pada 24 Disember lalu, beliau terpaksa menunggu hingga 3 Februari depan untuk mengetahui keputusannya.
2020 adalah tahun kesedihan bagi keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang mati akibat kecederaan dialaminya dalam satu rusuhan di pekarangan sebuah kuil Hindu pada 27 November 2018. Pada September lalu, Koroner Rafiah Mohamad menyatakan kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah beberapa individu yang tidak dikenal pasti identiti mereka.
Pada 14 November lalu, Menteri Dalam Negeri memberitahu Dewan Rakyat bahawa hasil siasatan kes Muhammad Adib akan dimaklumkan tidak lama lagi. Bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim memberitahu wartawan, beliau dan ahli keluarganya telah menunggu sekian lama untuk melihat muka pembunuh anaknya di mahkamah.
Bulan ini dikejutkan dengan berita tangkapan beberapa pegawai tinggi Jabatan Imigresen (yang disyaki terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran), skandal daging beku tidak halal, kontrak pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LC) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (RM6 bilion telah dibayar tetapi satu pun belum siap) dan kenduri kahwin anak figura awam di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya.
2020 juga dipenuhi kesedihan dengan pemergian Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid dan terbaharu, pemergian Tun Rahah Mohamed Noah, iaitu ibu Najib. Pada November lalu, kita kehilangan seorang tokoh wartawan dihormati, dan bagi saya seorang sahabat yang baik hati, Datuk Baharom Mahusin.
Pada minggu terakhir tahun ini, kita dimaklumkan, angka jangkitan Covid-19 melepasi 100,000 manakala kematian sudah mencecah 449.
Pada November lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyatakan kebimbangannya mengenai keselamatan penggunaan vaksin Covid-19 yang bakal diperoleh kerajaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan, penggunaan vaksin Covid-19 akan diperhalusi dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan untuk memastikan ia tidak memudaratkan tubuh badan bagi jangka masa panjang.
Pada 22 Oktober lalu, agensi berita, AFP melaporkan, seorang sukarelawan ujian klinikal vaksin Covid-19 yang dibangunkan Universiti Oxford meninggal dunia di Brazil. Ini merupakan kematian pertama dalam siri ujian vaksin Covid-19 yang dijalankan di seluruh dunia. Sukarelawan berkenaan, seorang doktor berusia 28 tahun bertugas sebagai barisan hadapan dan meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.
Mengikut laporan media dari United Kingdom (UK), ujian klinikal vaksin Covid-19 yang dijalankan syarikat farmaseutikal, AstraZeneca dihentikan selepas dua sukarelawan di UK mengalami penyakit neurologi yang serius.
Kita tunggu dan lihat, apakah tindakan Kementerian Kesihatan bagi mengatasi kebimbangan rakyat mengenai keselamatan vaksin ini. Yang menyedihkan kita adalah tidak ada kepastian bila pandemik Covid-19 ini akan berakhir.
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










