Universiti kita pilihan pelajar dunia - Utusan Malaysia

Universiti kita pilihan pelajar dunia

Lidia Plotina
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pendidikan berkualiti merupakan salah satu tarikan kepada pelajar asing untuk menyambung pengajian di negara ini. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi pilihan bagi kebanyakan penuntut asing beragama Islam. Kebolehan dan kualiti pendidikan UIAM tidak boleh disangkal lagi apabila kebanyakan graduan asing menjadi tokoh terkemuka sekembalinya ke tanah air mereka.

Antaranya Dr. Aishath Muneeza (Timbalan Menteri Kewangan Maldives), Ariff Ali (Gabenor Bank Fiji) dan ramai lagi tokoh hebat di Bosnia-Herzegovina keluaran UIAM. Tidak terkecuali kejayaan beberapa pelajar dari Rusia seperti Lakoupov Linar Gabdelnurovich yang kini merupakan Presiden Tabung Pembangunan Perniagaan dan Kewangan Islam Rusia.

Selain UIAM, Universiti Malaya (UM) juga memberi impak yang besar dalam menarik ramai pelajar asing ke negara ini. Menurut QS World Ranking 2021, UM berada di tangga ke-59 terbaik dunia.

Apa yang lebih membanggakan, hanya Malaysia satu-satunya negara Islam yang tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia! Mungkin tidak keterlaluan sekiranya saya mengatakan UM diibaratkan seperti Universiti Harvard versi Malaysia. Maka sebelum anda ingin memandang rendah terhadap kualiti pendidikan di Malaysia, lebih baik jalankan kajian terperinci terlebih dahulu.

JARANG

Terdapat sekurang-kurangnya 170,000 pelajar asing di Malaysia pada 2018. Namun seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan pelajar-pelajar asing ini datang dari negara-negara Afrika dan Asia Barat. Begitu jarang sekali untuk melihat kehadiran pelajar-pelajar dari Eropah atau Amerika Syarikat melainkan sekiranya mereka mengikuti program pertukaran pelajar bagi tempoh tertentu.

Tidak terkecuali juga dengan kekurangan pelajar dari Rusia ke negara ini.

Baru-baru ini, saya sempat menemu ramah seorang pelajar dari Rusia, Lidia Plotina, 35, yang berada di Kuala Lumpur sejak 2017 sebelum menyambung program ijazah sarjana Psikologi Gunaan dalam Kejurulatihan di Universiti HELP. Wanita dari Moscow ini juga bercadang untuk menyambung ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang psikologi di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Saya memilih untuk belajar di Malaysia kerana negara ini indah dengan kepelbagaian budaya dan bangsa berbeza. Belajar di sini juga memberi peluang kepada saya untuk melihat Asia Tenggara dari pelbagai perspektif.”

MESRA PELAJAR

Bagi Lidia, Malaysia adalah sebuah negara yang terbuka dan mesra pelajar, namun proses mendapatkan visa perlu lebih mudah dan teratur.

“Saya berharap pelajar asing yang menuntut di Malaysia dapat diberi kemudahan dan kelebihan seperti mendapatkan peluang pekerjaan dan peluang untuk menetap di sini.
Malaysia juga dapat memperoleh keuntungan yang besar sekiranya pelajar-pelajar asing ini diberi pelbagai insentif dan kelebihan supaya akhirnya ia dapat menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Liza Petrova, 21, dari Moscow pula berjaya menamatkan kursus sains biomedik di Universiti Perubatan Newcastle Malaysia (NUMed). Liza memilih NUMed kerana baginya, universiti ini mempunyai kualiti yang tinggi di samping berdekatan dengan keluarganya yang menetap di Singapura.

Menurutnya, institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia boleh menarik lebih ramai pelajar Rusia dengan menjalinkan lebih banyak hubungan atau kerjasama dengan organisasi di Rusia yang menguruskan penghantaran pelajar Rusia ke negara-negara luar.

Seruan untuk mempertingkatkan jalinan usahasama antara universiti tempatan dengan negara maju tanpa apa-apa tindakan adalah sia-sia, bak kata anak muda zaman sekarang, cerita letop! Maka saya sendiri bertindak menjemput seorang pensyarah kanan dari Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Judith Gisip untuk bertemu Duta Besar Persekutuan Rusia di Malaysia, Nayl M. Latypov beberapa bulan lalu. Pertemuan tersebut membawa kepada gerak kerja yang lebih serius apabila saya serta Pengarah Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia waktu itu, Dr. Ayrat Akhmetov mengadakan perbincangan dengan perwakilan Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa UiTM di Shah Alam.

Seterusnya pada 19 Oktober lalu, satu mesyuarat kerjasama secara dalam talian diadakan dengan pihak Kedutaan Besar Persekutuan Rusia yang turut disertai Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim. Tidak habis di situ, pada 4 November lalu, perbincangan antara Pejabat Perhubungan Antarabangsa UiTM dengan Perwakilan Perdagangan Persekutuan Rusia di Malaysia pula berlangsung.

Saya sangat berharap agar lebih banyak universiti tempatan tampil untuk menjalin kerjasama dengan pihak Rusia yang kita pun sedia maklum memiliki kehebatan dan kepakaran dalam bidang teknologi, sains, kejuruteraan dan sebagainya. Kerjasama ini bakal memberi ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi kita untuk melihat sesuatu dari kaca mata dan persepektif berbeza serta mampu menarik lebih ramai pelajar Rusia menuntut di negara ini.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN