Daripada kemelut politik dan krisis ekonomi sehinggalah impak pandemik Covid-19 yang sedang dihadapi, suara ahli akademik sentiasa dirujuk oleh media bagi menghuraikan polemik dan merungkaikan tanda tanya. Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu turut mengundang pelbagai sudut pandangan daripada ahli akademik.
Dahulu, universiti dilihat sebagai menara gading (ivory tower) iaitu sebuah institusi elit yang agak terpisah daripada realiti masyarakat. Kini tidak lagi. Universiti bukanlah kluster kayangan tetapi dituntut menjadi sebuah institusi barisan hadapan yang berdamping dengan masyarakat, mendepani dan memimpin negara dengan idea dan pemikiran unggul.
Konsep menara gading telah lama dibuang jauh-jauh oleh universiti. Konsep menara ilmu dianggap lebih tepat kerana di universiti, ilmu itu diteroka, disampaikan kepada pelajar dan dipindahkan kepada masyarakat. Oleh kerana itu jugalah, universiti dijolok sebagai taman ilmu dan pemikiran.
Berbicara tentang peranan ahli akademik dalam konteks masyarakat awam atau sumbangan mereka sebagai intelek awam, Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid adalah contoh terbaik.
Beliau merupakan satu-satunya Profesor Diraja a yang telah terbukti kebitaraan, bukan sahaja dalam konteks pencapaian akademik tetapi berjaya menginstitusikan ilmu ekonominya.
Lihat saja penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang diaspirasikan oleh Ungku Aziz. Beliau yang juga bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) merupakan pencetus kepada penubuhan Pusat Asasi Sains, Rancangan Persediaan Khas Jepun (RPKJ) dan Akademi Islam UM.
LUAR BIASA
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menyebut, seseorang Profesor Diraja mesti mempunyai kepujian akademik luar biasa. Saya sendiri tidak pernah melihat kriteria pelantikan Profesor Diraja di atas kertas. Namun, dengan mengambil kira standard dan kayu ukur yang dipamerkan oleh Ungku Aziz, kita percaya seseorang Profesor Diraja itu bukan sahaja memiliki kepujian akademik luar biasa tetapi berjaya memanfaatkan ilmu dan kepakaran melalui penginstitusian ilmu.
Tanpa menunggu bergelar Profesor Diraja, ahli akademik biasa boleh menjayakan proses pemindahan ilmu dan kepakaran. Mengambil kira anjakan paradigma ‘lmu untuk ilmu kepada ilmu untuk masyarakat dan negara,’ ahli akademik boleh berperanan sebagai intelek awam yang berkesan untuk kesejahteraan masyarakat dan kepentingan negara.
Satu sumbangan besar yang boleh dilakukan oleh ahli akademik ialah pembangunan polisi. Pembangunan polisi bermaksud membangunkan polisi berasaskan penyelidikan yang boleh menjadi dasar kerajaan dan pihak berkepentingan untuk manfaat masyarakat awam.
Pembangunan polisi masih lagi asing dalam kalangan ahli akademik kerana hanya segelintir kecil terlibat. Rata-rata mereka lebih banyak membuat penyelidikan untuk diterbitkan dalam jurnal terindeks. Sedangkan pembangunan polisi diterjemahkan sebagai penerbitan buku polisi seperti pelan induk, pelan strategik, pelan tindakan (blueprint) untuk kepentingan awam.
Penerbitan polisi ini juga memberikan impak yang sama hebat sepertimana penerbitan penulisan dalam jurnal terindeks. Justeru, pengiktirafan yang sama dari segi merit perlu diberikan oleh pembuat dasar di kementerian dan institusi pengajian tinggi serta komuniti akademia agar kedua-dua jenis hasil penulisan ini dinilai secara saksama dan menjadi fokus utama penyelidik dan pensyarah dalam menghasilkan sesuatu yang bermanfaat terus kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
DASAR
Tidak dinafikan, kesedaran terhadap kepentingan pembangunan polisi perlu ditingkatkan dalam kalangan ahli akademik. Lebih-lebih lagi kita melihat kerajaan atau autoriti sudah mula beralih daripada menggunakan kepakaran konsultan antarabangsa kepada membuka penyertaan ahli akademik tempatan.
Saya bersama 11 orang ahli akademik lain dari empat buah universiti awam amat bertuah kerana diberi peluang membangunkan Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025 yang dilancarkan Oktober lalu oleh Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad. Pelan induk ini adalah contoh terbaik bagaimana pembangunan polisi berasaskan penyelidikan dan kepakaran pelbagai bidang dilaksanakan.
Pelan induk ini menjadi dasar kerajaan negeri dalam usaha memartabatkan lagi warisan budaya Johor untuk tempoh lima tahun. Idea pelan induk tercetus semasa Persidangan Tamadun Melayu Johor pada 2015 yang kemudiannya disambut oleh Menteri Besar Johor ketika itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Bagi merancakkan lagi perbincangan tentang kepentingan pembangunan polisi, satu Wacana Akademia dan Pembangunan Polisi diadakan baru-baru ini. Wacana ini menganalisis tajuk Pembangunan Polisi Berasaskan Penyelidikan: Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025 anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (Ipsas), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT).
Hasil perbincangan wacana ini secara jelas menzahirkan bahawa pembangunan polisi adalah platform terbaik bagi akademia untuk merakyatkan ilmu, merealisasikan konsep multidisiplin dan mengarusperdanakan polisi berasaskan kajian. Selain itu, pembangunan polisi ini juga boleh dijadikan bahan pengajaran bermanfaat kepada pelajar mengenai kepentingan ilmu yang meraikan kepelbagaian bidang.
Akademia wajar terlibat dan diberikan peluang untuk menjayakan pembangunan polisi. Kerajaan dan pihak berkepentingan perlu membuka ruang kepada intelek awam tempatan untuk membantu usaha pembangunan negara dengan lebih berimpak tinggi khususnya dalam situasi sukar ini.
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain ialah pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ketua Penyelaras Projek, Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025.










