Akhbar tempatan minggu lalu memetik kenyataan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahawa kira-kira 43 peratus atau 5.38 juta ahli di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 mereka. Mengikut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, fakta ini bermakna pesara akan menjalani kehidupan pasca- pencen dengan wang belanja kurang daripada RM41 sebulan sepanjang tempoh 20 tahun sekiranya pesara tidak berusaha mencari sumber pendapatan baharu.
Selain fakta yang mengejutkan itu, kira-kira 54 peratus atau 137,000 daripada 245,000 ahli KWSP berusia 54 tahun pada awal tahun ini mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000. Apabila golongan ini bersara nanti, mereka juga akan menjalani usia senja dengan wang belanja kira-kira RM200 sebulan bagi tempoh 20 tahun.
Mengikut kaji selidik Social Wellbeing Research Centre, seorang warga emas perlu ada wang belanja sekurang-kurangnya RM2,450 sebulan untuk menampung keperluannya serta ahli keluarganya. Dengan bahasa mudah, untuk menjalani usia senja, kita perlu ada wang belanja paling minimum RM600 untuk setiap minggu atau RM80 setiap hari.
Pada Ogos 2016, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Jessica Chew Cheng Lian menyatakan, kira-kira 92 peratus rakyat bimbang dengan kedudukan kewangan mereka menjelang usia senja.
Bercakap dalam satu sesi panel bertemakan Your Retirement Aspiration: Making It A Reality pada Persidangan Jaminan Sosial Antarabangsa 2016, beliau menegaskan, hanya 40 peratus daripada rakyat Malaysia mengatakan mereka bersedia untuk bersara, manakala 80 peratus menyatakan mereka perlu terus mencari sumber pendapatan baharu selepas bersara.
Tambahnya lagi, sebahagian besar warga kerja di negara ini tidak punya apa-apa rancangan perancangan kewangan diri (personal financial planning blueprint). Sebahagiannya (42 peratus) membeli hartanah sewaktu muda, selebihnya (25 peratus) menyimpan wang dalam bank dan bakinya (18 peratus) bergantung kepada wang simpanan mereka dalam KWSP. Wang simpanan jenis terakhir inilah yang dikhuatiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP sebagai amat tidak mencukupi bagi pesara meniti kehidupan semasa usia senja mereka.
KEMISKINAN
Soalnya, apakah yang pesara boleh lakukan untuk mereka boleh terus hidup di atas tahap kemiskinan?
Mengikut seorang sahabat, iaitu pesara sektor swasta, seseorang perlu buang dari pemikirannya perkataan ‘bersara’. Tegasnya lagi, selagi hayat dikandung badan dan diberi kesihaatan oleh Ilahi, kita hendaklah terus berusaha mencari sumber pendapatan yang halal kerana terus berusaha untuk menampung diri dan keluarga adalah ibadah.
Bagi Datuk AB (ketua pengarah di sebuah jabatan kerajaan sewaktu beliau bersara), walaupun saya kira dia tidak perlu bekerja lagi selepas bersara, namun dia segera menubuhkan sebuah syarikat yang membolehkannya menawarkan khidmat perundingan (consultancy services) kepada pelanggannya.
Kita akui tidak semua pesara ada kemahiran tertentu yang boleh dipasarkan. Oleh itu, adalah perlu bagi pesara (yang tidak punyai kemahiran atau pengalaman tertentu yang boleh dipasarkan) untuk segera mendapatkan kemahiran baharu (reskilling atau upskilling) menjelang tahun persaraan.
SEPARUH MASA
Satu portal kerjaya (https://www.moneycrashers.com/best-job-ideas-retirees-seniors/) pula menasihatkan mereka yang menghadapi usia senja untuk mencari kerjaya baharu pasca-pencen misalnya sebagai perunding atau konsultan (semestinya dalam bidang yang seseorang itu ada penuh minat) atau sebagai personal coach atau mentor, jurulatih (sukan atau bidang lain), penulis bebas, guru/guru ganti/tutor/pensyarah, penterjemah, pemandu (teksi biasa, Grabcar), pekerja/pengurus di restoran (atau hotel, kelab, resort pelancongan), sukarelawan dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sebagai ejen hartanah, sama ada sepenuh masa atau separuh masa.
EKONOMI GIG
Andainya seseorang itu tidak ingin lagi bekerja dengan pihak lain dan punyai modal mencukupi, dia boleh mulakan perniagaan sendiri. Pada mulanya secara kecil-kecilan seperti membuka kedai untuk membaiki kereta, peralatan elektrik, membaiki rumah, atau menyewakan kenderaan ikut jam, hari, minggu.
Kini ramai golong muda, termasuk yang punyai ijazah dari universiti menceburi ekonomi gig. Ada yang menjadi penghantar barangan atau makanan (seperti Food Panda, Grab Food) dan ada yang bekerja dari rumah, menjual barangan atau produk dalam talian. Pesara boleh juga memikirkan ke arah sama andainya mereka ada minat dan kesabaran dalam bidang tersebut.
Sebuah portal kerjaya lain mencadangkan pesara menceburi perdagangan barang lama (antik), penghantaran barang, karya penulisan (sebagai penyunting), pakar rujuk, pengkaji, penghias bunga, pereka grafik, pereka kemeja T, bidang pertukangan dan landskap, penghias rumah, pencuci rumah, pemeriksa rumah, peneman/penjaga bayi atau kanak-kanak, penjaga haiwan, peraga (model) pakaian, tenaga pengajar dalam talian serta cef peribadi.
Sebuah portal tempatan (https://therohani.com/pasca-pencen-aktiviti-selepas-bersara/) mencadangkan 11 aktiviti untuk pesara, sambil menasihati mereka agar tidak terus duduk di rumah sahaja.
Untuk mencari kerjaya baharu, portal itu menasihatkan, carilah bidang kerja yang diminati. Misalnya, sekiranya anda seorang kaki pancing dan berminat dengan peralatan memancing, anda boleh memohon kerja di kedai pancing di mana ia tidak memerlukan kelayakan yang tinggi.
Bagi mereka yang berminat berniaga, portal ini menasihatkan pesara jangan melaburkan wang simpanan mereka dalam apa-apa skim atau bidang yang mereka tidak ketahui asal usulnya kerana orang baru bersara sering menjadi sasaran pihak tertentu (scammer). Begitu juga, pesara dinasihati tidak ceburi bidang perniagaan yang mereka lansung tidak ada kemahiran atau pengalaman.
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Presiden Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










