Taraf Mandarin tak boleh sama rata - Utusan Malaysia

Taraf Mandarin tak boleh sama rata

Ada pihak mahu kerajaan mencontohi sistem persekolahan di Switzerland semata-mata mahu mempertahankan kewujudan sekolah vernakular di negara ini. – GAMBAR HIASAN/SUMBER INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Untuk mempertahan kewujudan terus sekolah vernakular, satu lagi dalil dikemukakan bahawa menjadi hak mana-mana kaum untuk mempelajari bahasa ibundanya. Untuk itu, ideologi kepelbagaian diajukan lagi dengan mengutarakan aliran persekolahan di Switzerland untuk dicontohi di Malaysia.

Tidak dapat dinafikan Switzerland yang memiliki empat bahasa rasmi, iaitu Jerman, Perancis, Itali dan Romansh mengggunakan kesemuanya dalam bidang pendidikan. Ini kerana empat bahasa itu juga merupakan bahasa kebangsaan Switzerland. Itulah acuan Konfederasi Swiss.

Untuk mencontohi acuan Switzerland itu, sepatutnya bahasa Melayu sahajalah yang digunakan dalam bidang pendidikan, bukannya bahasa lain. Ini kerana hanya bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi Malaysia. Namun di Malaysia, kekecualian wujud apabila bahasa Mandarin ikut dibenarkan digunakan dalam ranah negara, khususnya bidang pendidikan. Ini berlaku atas konsesi penduduk asal Melayu, bukannya kerana hak kaum bukan Melayu.

Konsesi ini hendaklah bukan sahaja dihargai dengan penuh penyanjungan, ia juga haruslah diikuti kesediaan kaum bukan asal untuk mengidentifikasikan diri dengan kaum asal, lebih-lebih lagi secara tersurat. Ia perkara lumrah yang memperlihat kaum bukan asal sudi menyesuai dan sanggup mengasosiasi diri dengan kaum asal. Antaranya bergaul mesra, menerima amalan mereka dan yang seumpamanya.

Yang paling penting pada sisi penyesuaian diri ini ialah penerimaan bahasa kaum asal. Ia sepatutnya menjadi perkara yang bukan sahaja lumrah tetapi semula jadi tanpa perlu adanya gesaan, apatah lagi paksaan. Namun, ini tidak berlaku di Malaysia. Sehubungan itu, penerimaan bahasa Melayu seboleh-bolehnya cuba dielakkan. Ini dapat dilihat dengan jelas pada kelakuan kebahasaan kaum bukan Melayu secara umumnya, meskipun selalu menyatakan penerimaannya dan dalam pengakuan terbuka pula.

Masalah tidak menerima bahasa Melayu dalam kalangan kaum bukan Melayu perlu ditangani dengan cara betul sama ada bagi tujuan instrumental, yakni keperluan belajarnya kerana ia berupa syarat. Antaranya sebagai mata pelajaran wajib lulus ataupun bagi tujuan integratif, iaitu untuk menjadi ahli yang fungsional dalam komuniti nasional yang mendukung bahasa Melayu selaku bahasa perpaduan.

INSTRUMENTAL

Dalam hal ini, perimbangan antara tujuan instrumental dan integratif ialah cara sebaik-baiknya. Namun, ia tetap dicurigai kerana ditakuti tujuan integratif itu berupa proses asimilasi yang tersirat.

Sebenarnya tujuan instrumental sahaja tidak akan membawa hasil integratif itu, melainkan sisi integratif itu sendiri yang tidak semesti asimilasi sifatnya diamalkan untuk mewujudkan perpaduan.

Selain mahu mengamalkan sisi instrumental sahaja, kaum bukan Melayu kini giat menganjurkan kepelbagaian untuk semua hal di negara ini, iaitu keadaan wujudnya pelbagai kaum yang kesemuanya memiliki taraf sama rata antara satu sama lain. Justeru, bahasa Melayu hendaklah diketahui atas dasar sama rata dan bukannya ia lebih agung daripada bahasa lain meskipun bertaraf bahasa negara.

Sebenarnya sisi integratif memang mampu menyerlahkan identiti nasional di samping memupuk perpaduan lebih erat dalam konteks bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Untuk ini, bagi kaum Cina, cara yang diingini ialah juga menggunakan bahasa Melayu dan bukannya mahu hanya berbahasa Mandarin pada sepanjang masa, meskipun dalam kehidupan nasional.

Terdapat saranan peningkatan identiti nasional ditanggap sebagai tiada pada lepasan persekolahan aliran Cina kerana tiada penguasaan bahasa Melayu yang baik. Tetapi ia yang mengusulkan bilangan murid Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina dipertingkat untuk membolehkan murid Cina berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Mandarin untuk tujuan pemupukan identiti nasional adalah cara yang sama sekali salah.

Walaupun dalam keadaan sebegini genting, iaitu penguasaan bahasa Melayu yang sangat penting untuk tujuan identiti nasional dan perpaduan negara, saranannya bukan sahaja tersasar jauh, ia masih mahu menegakkan nasionalisme etnik Cina tanpa mengira keadaan dan tempat!

Sebenarnya desakan untuk menutup sekolah vernakular, khususnya Cina adalah lebih sebagai tindak balas kepada keengganan kaum Cina untuk memperbetul masalah tidak cekap dalam bahasa Melayu. Mengapakah mereka begitu liat dalam hal ini? Sedangkan masalah yang wujud itu begitu terang lagi bersuluh. Selesaikannya dengan cara betul. Jangan cuba mengalihnya dengan mencadangkan cara bukan sahaja salah tetapi yang memperlihat kerakusan mereka.

Satu lagi cara yang memperlihat sikap rakus ini sehingga timbulnya keperluan penterjemahan daripada bahasa Melayu, ialah segala padanan dalam bahasa Mandarin itu adalah pertama-tamanya untuk meraikan kepelbagaian. Ia tidak sesekali dilakukan untuk mengatasi masalah pemahaman dalam bahasa Melayu oleh kaum Cina.

Sudah tiba masanya kaum Cina sedar untuk tidak lagi terus mengeksploitasi ideologi kepelbagaian yang cuba diherotkan dalam entiti politik yang simbol. Proses sosiobudaya Melayu adalah identiti nasional untuk Malaysia dan identiti budaya bagi rakyatnya. Sebaliknya, mereka perlu menerima hakikat kepentingan bahasa Melayu dan hal Melayu yang lain sebagai aspirasi negara bagi sama-sama ikut melunaskannya untuk kejayaan Malaysia sebagai juga tanah air mereka.

PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN